ADIYAMAN: Pertubuhan sukarelawan Syria yang dikenali sebagai White Helmets mengumumkan penamatan operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di kawasan yang dikawal pemberontak di utara dan barat laut negara itu.
Kumpulan itu berkata, mereka percaya tiada sesiapa pun yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan masih hidup selepas 108 jam pencarian.
Bagaimanapun, pihaknya kini masih mencari mayat-mayat yang masih berada di bawah runtuhan.
White Helmets dalam satu kenyataan berkata, sejak permulaan gempa bumi berlaku iaitu pada Isnin, pukul 4.17 pagi (waktu tempatan) sehingga pengumuman tamat operasi mencari dan menyelamat, sebanyak 2,166 kematian dicatatkan dan lebih 2,950 cedera di semua kawasan yang dilanda gempa bumi di utara dan barat laut Syria.
“Pasukan kami sudah menjalankan 108 jam kerja di lebih 40 bandar, pekan dan kampung di barat laut Syria di mana kira-kira 479 bangunan kediaman musnah sepenuhnya dan lebih 1,481 bangunan musnah sebahagiannya,” tambah kenyataan itu.
Menurut White Helmets, wanita dan kanak-kanak adalah antara paling ramai maut di kawasan yang paling terjejas, termasuk di bandar Jindires dan Haram di utara Syria.