ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan tempoh darurat selama tiga bulan di 10 wilayah yang paling teruk terjejas akibat gempa bumi kuat, semalam.
Lapor Al Jazeera, Erdogan berkata, jumlah kematian akibat gempa bumi yang berpusat di tenggara Turki terus meningkat kepada 3,549 orang menjadikan jumlah kematian termasuk di utara Syria kepada lebih 5,000 orang dengan lebih 27,000 orang cedera.
Semalam, gegaran pada magnitud awal 7.8, berpusat 33 kilometer dari barat bandar Gaziantep meruntuhkan ribuan bangunan ketika orang ramai sedang tidur iaitu pada pukul 4.17 pagi (waktu tempatan).
Diikuti gempa bumi kedua berukuran 7.6 magnitud pada pukul 1.27 tengah hari (waktu tempatan).
Turkiye mengerahkan lebih 13,000 pasukan penyelamat untuk menjalankan misi pencarian dan menyelamat mangsa-mangsa yang terselamat.
Lebih 45 buah negara dari seluruh dunia juga berjanji untuk membantu operasi mencari dan menyelamat, yang dihalang oleh kesejukan dan salji.
Amerika Syarikat, Ukraine, Russia, Azerbaijan, Jerman, Perancis, Pakistan dan India merupakan negara terawal menyatakan komitmen untuk menghulurkan bantuan.