TERKINI: Bau mayat makin kuat, angka korban melepasi 24,000

TERKINI: Bau mayat makin kuat, angka korban melepasi 24,000 orang

SEKUMPULAN wanita menangis berikutan ramai ahli keluarga mereka belum ditemukan di bawah runtuhan bangunan di Kahramanmaras, Turkiye. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AFRIN: Bantuan antarabangsa terus disalurkan ke bahagian Turkiye dan Syria di mana para penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan kanak-kanak dari runtuhan bangunan akibat gempa bumi kuat Isnin lalu.

Lapor AFP, jumlah angka korban terkini dilaporkan lebih 24,000 orang.

Musim sejuk di kawasan yang terjejas dengan suhu negatif lima darjah Celsius dikatakan sangat menghalang usaha menyelamat selain menambahkan lagi penderitaan berjuta-juta mangsa gempa bumi, malah, ramai kini terdesak memerlukan bantuan.

Sementara itu, lapor wartawan Al Jazeera, Resul Serdar dari bandar Kahramanmaras, pasukan penyelamat tidak henti-henti bekerja untuk mencari mangsa yang terselamat, tetapi ia seolah-olah menjadi keajaiban menemukan sesiapa yang masih hidup.

“Kami dapat merasakan bau mayat di sekeliling. Kami melihat beberapa mayat dibawa keluar dan beribu masih hilang.

“Para penyelamat di sini, mereka tahu bahawa mereka kini kesuntukan masa,” tambah Resul.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran, sekurang-kurangnya 870,000 orang memerlukan makanan segera di kedua-dua negara selepas gempa bumi yang menyebabkan sehingga 5.3 juta orang kehilangan tempat tinggal di Syria sahaja.

Gempa bumi bermagnitud 7.8 dan 7.5 di tenggara Turkiye dan sempadan Syria, Isnin lalu menyaksikan jumlah kematian semakin meningkat.

Di Syria, pertubuhan sukarelawan Syria yang dikenali sebagai White Helmets mengumumkan penamatan operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di kawasan yang dikawal pemberontak di utara dan barat laut negara itu.

Kumpulan itu berkata, mereka percaya tiada sesiapa pun yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan masih hidup selepas 108 jam pencarian.

Bagaimanapun, pihaknya kini masih mencari mayat-mayat yang masih berada di bawah runtuhan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya