TERKINI: "Bagaikan kiamat"-saksi, angka korban gempa bumi

TERKINI: “Bagaikan kiamat”-saksi, angka korban gempa bumi lepasi 4,300 orang

ORANG ramai memanaskan diri di sekitar unggun api di kawasan runtuhan di Kahramanmaras, Turki, selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda tenggara negara itu, semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HATAY: Pasukan penyelamat di Turkiye dan Syria dikatakan menggali kawasan runtuhan tanpa bantuan teknikal atau hanya dengan tangan kosong sepanjang malam tadi dalam usaha mencari mangsa yang terselamat daripada runtuhan bangunan akibat dua gempa bumi kuat semalam.

Malah, cuaca sejuk serta salji tebal dilihat menyukarkan lagi usaha mencari dan menyelamat.

Jumlah kematian yang disahkan di kedua-dua negara melonjak melebihi 4,300 selepas gegaran kuat berhampiran sempadan Turkiye-Syria yang terbesar diukur pada magnitud 7.8.

Pasukan tindak balas bencana Turkiye dan Syria melaporkan lebih daripada 5,600 bangunan ranap di beberapa bandar termasuk blok pangsapuri bertingkat yang dipenuhi penduduk yang sedang tidur ketika gempa bumi melanda.

Di bandar Kahramanmaras di tenggara Turkiye, para penduduk menjadi bingung dan tidak dapat menjangka mengenai gempa bumi kuat yang berlaku sebanyak dua kali semalam disusuli gegaran susulan.

“Kami fikir ia adalah kiamat. Itu adalah kali pertama kami mengalami perkara seperti itu,” kata Melisa Salman, seorang saksi yang juga wartawan berusia 23 tahun.

Agensi bantuan Turkiye, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) berkata, kini terdapat 2,921 kematian di negara itu sahaja menjadikan jumlah yang disahkan kepada 4,365 orang.

Terdapat kebimbangan bahawa jumlah kematian akan meningkat dengan pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sehingga 20,000 mangsa meninggal dunia dalam bencana itu.

Gempa bumi awal adalah begitu besar sehingga dirasai sejauh Greenland, dan impaknya cukup besar untuk mencetuskan tindak balas global.

Lebih 45 buah negara termasuk dari Ukraine ke New Zealand berikrar untuk menghantar bantuan walaupun suhu di bawah sifar Turkiye dan Syria memperlahankan tindak balas.

Di bandar Sanliurfa di tenggara Turkiye, pasukan penyelamat bekerja pada waktu malam untuk menarik mangsa yang terselamat dari serpihan bangunan tujuh tingkat yang sudah runtuh.

Menurut saksi yang juga pelajar Syria berusia 20 tahun, Omer El Cuneyd, dia memberitahu ada keluarga yang dikenali terperangkap di bawah runtuhan.

“Sehingga pukul 11:00 pagi atau tengah hari, kawan saya masih menjawab telefon. Tetapi, sekarang dia tidak lagi menjawab. Dia ada di bawah sana,” katanya.

Walaupun suhu di luar membeku, penduduk yang ketakutan dilaporkan bermalam di jalanan, berkerumun di sekeliling api untuk mendapatkan haba panas.

Mustafa Koyuncu membawa isteri dan lima anak mereka ke dalam kereta kerana terlalu takut untuk bergerak.

“Kami tidak boleh pulang. Semua orang takut,” kata lelaki berusia 55 tahun itu kepada AFP.

Beberapa kemusnahan paling teruk berlaku berhampiran pusat gempa antara Kahramanmaras dan Gaziantep, di mana seluruh blok dalam bandar runtuh di bawah himpunan salji.

Gempa bumi pertama melanda pada 4:17 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman kira-kira 18 kilometer berhampiran bandar Gaziantep di Turki, yang menempatkan kira-kira dua juta orang, kata Kajian Geologi AS.

Gempa bumi kedua dilaporkan berlaku pada pukul 1.24 petang (waktu tempatan) di daerah Elbistan, wilayah Kahramanmaras, Turkiye.

Lebih 14,000 orang setakat ini dilaporkan cedera di Turkiye, kata agensi pengurusan bencana, manakala Syria berkata sekurang-kurangnya 3,411 orang cedera.

Pegawai berkata, tiga lapangan terbang utama telah tidak boleh beroperasi, menyukarkan penghantaran bantuan penting.

Ribut salji musim sejuk juga menutupi jalan-jalan utama ke kawasan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya