SEOUL: Pasukan penyelamat berusaha mencari sembilan orang yang hilang selepas bot nelayan terbalik di perairan pantai barat daya Korea Selatan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Korea Selatan, kapal seberat 24 tan itu terbalik di perairan luar pantai daerah Sinan lewat malam tadi.
Tiga anak kapal diselamatkan oleh bot berdekatan, tetapi sembilan yang lain termasuk dua warga asing masih hilang, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Lebih 12 kapal dan tiga pesawat dari pengawal pantai dan tentera laut dikerahkan untuk mencari orang yang hilang, kata kementerian itu.
Kebanyakan anak kapal dipercayai meninggalkan bot yang terbalik itu, lapor agensi berita Yonhap, memetik Menteri Dalam Negeri, Lee Sang-min.
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol menggesa usaha maksimum operasi menyelamat, mengerahkan semua sumber yang ada untuk meluaskan kawasan pencarian. -AFP