AFRIN: Beribu-ribu orang dari seluruh dunia dilaporkan menawarkan diri untuk mengambil dan menjaga bayi perempuan yang dilahirkan di bawah runtuhan bangunan di barat laut Syria akibat gempa bumi Isnin lalu.
Video penyelamatan bayi, Aya tular dalam media sosial selepas sebuah rakaman video turut menunjukkan seorang lelaki berlari dari runtuhan bangunan dengan memegang seorang bayi yang diliputi debu.
Khalil al-Suwadi, saudara jauh Aya yang berada di sana menariknya ke tempat selamat dan membawanya kepada pakar pediatrik, Dr. Hani Marouf di bandar Afrin, Syria.
Bayi Aya yang bermaksud keajaiban dalam bahasa Arab ditemukan pasukan penyelamat ketika tali pusatnya masih bercantum dengan rahim ibunya.
Ibu, bapanya dan keempat-empat adik-beradiknya yang lain meninggal dunia selepas gempa bumi melanda bandar Jindayris.
Aya kini stabil dan berada dalam pengawasan rapi di hospital.
Pengurus hospital di Afrin, Dr. Khalid Attiah berkata, beliau menerima berpuluh-puluh panggilan daripada orang ramai dari seluruh dunia yang ingin mengambil bayi Aya sebagai anak angkat.
Dr. Khalid yang mempunyai seorang anak perempuan hanya empat bulan lebih tua daripadanya berkata, dia bagaimanapun tidak akan membenarkan sesiapa mengambil Aya sebagai anak angkat sekarang.
Sehingga keluarga jauhnya datang mencarinya, beliau melayannya seperti salah seorang ahli keluarga sendiri.
“Buat masa ini, isteri saya menyusukannya bersama-sama anak perempuan kami,” katanya.
Pakar pediatrik yang menjaganya, Hani pula berkata, Aya tiba pada hari Isnin dalam keadaan yang teruk, mengalami lebam, kesejukan dan hampir tidak bernafas, namun, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Beribu-ribu orang dalam media sosial kini meminta butiran untuk mengambil Aya sebagai anak angkat.
“Saya ingin mengambilnya sebagai anak angkat dan memberikannya kehidupan yang baik,” kata warganet.
Seorang penyampai TV Kuwait berkata, dia juga bersedia untuk menjaga dan mengambil anak ini sebagai anak angkat jika prosedur undang-undang membenarkannya.