Operasi menyelamat makin sukar

Operasi menyelamat makin sukar

SEORANG lelaki Syria menangis ketika duduk di atas runtuhan bangunan di bandar Jandaris, Syria, semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTAKYA: Lebih 13,000 anggota mencari dan penyelamat berusaha dan bertungkus-lumus mencari puluhan ribu penduduk yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan ketika angka kematian akibat gempa bumi yang dahsyat di Turkiye dan Syria terus meningkat.

Sehingga pukul 6 petang semalam, angka terkini mereka yang terkorban dilaporkan melepasi 5,000 orang.

Dalam usaha yang melepasi tempoh 24 jam, ramai dalam kalangan anggota penyelamat kelihatan letih serta mula berasa putus asa berikutan skala bencana yang terlalu besar dan menghalang usaha-usaha pencarian dijalankan.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) melaporkan seramai 13,740 anggota mencari dan menyelamat dikerahkan dengan lebih 41,000 khemah, 100,000 katil dan 300,000 selimut dihantar ke wilayah itu.

Pegawai AFAD, Orhan Tatar berkata, kira-kira 6,217 bangunan musnah dalam gempa bumi itu diikuti 285 gegaran susulan dan lebih 20,426 orang me­ngalami kecederaan.

CUACA TERLALU SEJUK
Cuaca musim sejuk di Turkiye kini di bawah negatif empat darjah Celsius yang turut menghalang usaha pencarian sepanjang malam, kelmarin.

Sambungan internet yang lemah dan jalan raya yang meng­hubungkan beberapa bandar Turkiye mengalami kerosakan paling teruk, turut menghalang usaha menilai kesan dan merancang bentuk bantuan.

Di bandar Iskenderun di Turkiye, penyelamat memanjat timbunan besar serpihan ba­ngunan yang pernah menjadi sebahagian daripada unit rawatan rapi hospital negeri bagi mencari mangsa-mangsa yang terselamat.

Pekerja kesihatan juga me­lakukan apa sahaja yang mereka mampu untuk merawat mangsa yang tercedera.

Menurut pasukan penyelamat, mereka turut mendengar suara wanita yang memanggil meminta bantuan di bawah timbunan runtuhan di wilayah Hatay di selatan Turkiye.

MAYAT BERGELIMPANGAN
Malah, di kawasan berdekatan, terdapat mayat kanak-kanak dan dewasa bergelimpangan manakala keadaan persekitaran amat kelam-kabut dan sesak dengan kenderaan pasukan penyelamat.

Di Kahramanmaras, utara Antakya, keluarga-keluarga mangsa berkumpul di sekitar unggun api dan membalut diri mereka dengan selimut tebal untuk kekal berada dalam kea­daan hangat.

“Kami hampir tidak berjaya keluar dari rumah. Kami berada dalam keadaan bencana. Kami lapar, kami dahaga. Sedih,” kata Neset Guler sambil berpelukan dengan empat anaknya.

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda tenggara Turkiye dan negara jiran, Syria pada pukul 4.17 pagi (waktu tempatan) kelmarin dengan gegaran kedua berlaku pada 7.5 magnitud pada pukul 1.24 tengah hari yang meranapkan beribu-ribu bangunan terma­suk blok pangsapuri, hospital dan kompleks-kompleks kerajaan.

Gempa bumi berkenaan adalah yang terbesar direkodkan di seluruh dunia oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat sejak satu kes di terpencil dilaporkan berlaku di Atlantik Selatan pada Ogos 2021.

PENGGERA TAHAP 4
Ankara mengisytiharkan peng­gera tahap empat yang memerlukan bantuan antarabangsa, tetapi bukan dalam keadaan kecemasan yang perlu membawa kepada pergerakan besar-besaran angkatan tentera.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, yang sebelum ini sudah bersiap sedia untuk pilihan raya umum pada Mei ini menyifatkan gempa bumi itu adalah bencana paling bersejarah dalam negara.

Malah, beliau menyifatkan pihak berkuasa sudah melakukan usaha mencari dan menyelamat dengan sehabis baik. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya