BEIJING: China meminta Filipina supaya mengelak daripada ‘dipijak’ dan diambil kesempatan oleh Amerika Syarikat (AS) selepas negara Asia Tenggara itu bersetuju memberi akses empat pangkalan baharu kepada negara ‘polis dunia’ itu.
Menurut laporan South China Morning Post, kenyataan yang dikeluarkan oleh kedutaan China di Manila semalam berkata, pengumuman oleh Filipina dan AS kelmarin hanya meningkatkan ketegangan hubungan di antara kedua-dua negara.
“China sentiasa berpegang bahawa kerjasama pertahanan dan keselamatan antara negara harus kondusif dalam bentuk keamanan dan kestabilan serantau, tidak disasarkan kepada mana-mana pihak ketiga, malah tidak memudaratkan kepentingan pihak ketiga.
“AS atas kepentingan diri sendiri dan mentaliti ‘zero-sum game’, terus meningkatkan kedudukan tentera di rantau ini. Tindakan mereka hanya meningkatkan ketegangan serantau dan menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau,” jelas kedutaan itu.
AMARAN WASPADA
Kedutaan tersebut turut menyatakan harapan supaya Filipina terus berwaspada dan menentang kesempatan yang cuba diambil oleh AS selain diheret ke dalam pelbagai masalah.
Perjanjian mengenai penambahan empat pangkalan itu diumumkan semasa lawatan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin ke Filipina semalam, sebagai sebahagian daripada jelajah Asianya yang bertujuan untuk mengatasi pengaruh China yang semakin meningkat di rantau itu.
AS berusaha mendapatkan akses yang meluas dengan kemudahan pangkalan tentera di Filipina dalam usaha menentang China.
Dalam satu kenyataan bersama, pegawai pertahanan Filipina berkata, kedua-dua negara merancang untuk mempercepatkan pelaksanaan penuh Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkatkan (EDCA) dengan perjanjian menetapkan empat lokasi baharu yang dipersetujui di kawasan strategik negara itu.
Terdahulu, tentera AS sudah mempunyai lima tapak pangkalan tentera di Filipina termasuk pangkalan udara Cesar Basa dan Fort Magsaysay dekat Manila.
Terdapat juga pangkalan di tengah Cebu, Palawan dan di selatan negara itu.
HAMPIR DENGAN TAIWAN
Walaupun tapak baharu belum dikenal pasti, namun, ia dilaporkan secara meluas bahawa kebanyakan pangkalan baharu itu akan berada di pulau utama Luzon iaitu kawasan daratan Filipina yang paling hampir dengan Taiwan di mana AS sudah pun mempunyai akses dua lokasi terdahulu.
Pangkalan tentera yang keempat pula dilaporkan akan berada di pulau barat Palawan, berhadapan dengan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang menjadi perebutan hangat dan menjadikan bilangan tapak di sana kepada dua.
TANGANI AKTIVITI PENCEROBOHAN
Austin dalam lawatannya kelmarin berkata, beliau dan Pemangku Setiausaha Pertahanan Filipina, Carlito Galvez membincangkan tindakan konkrit untuk menangani aktiviti yang tidak stabil di perairan sekitar Filipina.
“Kami tetap komited untuk mengukuhkan keupayaan bersama untuk menentang serangan bersenjata,” katanya.
Persaingan antara China dan AS semakin sengit di rantau ini di mana kebimbangan semakin meningkat terhadap penempatan tentera China di Laut China Selatan.
Selain pertikaian kedaulatan yang berterusan antara Beijing dan jirannya, terdapat juga kebimbangan bahawa negara di rantau ini terpaksa memilih antara dua kuasa besar itu.
Pegawai AS berkata, Washington sedang membantu negara sekutunya untuk menentang China, tetapi Beijing menuduh AS mencetuskan ketegangan serantau dengan menghantar pesawat dan kapal tentera ke rantau itu.