MANILA: Amerika Syarikat (AS) dan Filipina dijangka memeterai satu perjanjian yang memberi akses kepada tentera AS untuk membuka empat lagi pangkalan tentera di negara Asia Tenggara itu.
Penambahan pangkalan itu menjadikan sembilan pangkalan dimiliki tentera AS di Filipina.
AS dikatakan berusaha membina kemudahan itu untuk menghalang pencerobohan China di rantau berkenaan.
Perjanjian kerjasama itu diumumkan semasa lawatan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin ke negara tersebut.
USAHA BAIKI HUBUNGAN
Seorang pegawai kanan Filipina memberitahu AFP, kerjasama itu juga dibuat bagi membaiki hubungan yang terputus di antara dua negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketegasan China terhadap Taiwan dan tuntutannya ke atas Laut China Selatan yang masih dipertikaikan turut mendorong Washington dan Manila mengukuhkan perkongsian mereka.
Memandangkan kedudukan Filipina yang berdekatan dengan Taiwan dan perairan sekitarnya, kerjasama itu akan menjadi kunci sekiranya berlaku konflik dengan China.
Malah, seorang jeneral Tentera Udara AS pernah memberi amaran bahawa perang dengan China boleh berlaku seawal 2025.
Pegawai Filipina yang tidak mahu nama disiarkan berkata, terdapat perjanjian menetapkan empat tapak baharu di negaranya.
Rundingan itu, katanya, sedang berjalan dan AS juga berpotensi untuk membuka pangkalan kelimanya di sana.
Kedua-dua negara mempunyai pakatan keselamatan berdekad-dekad lamanya yang merangkumi Perjanjian Pertahanan Bersama dan Pakatan 2014 dikenali dengan akronim EDCA yang membolehkan tentera AS bergerak melalui lima pangkalan Filipina termasuk yang berhampiran perairan yang dipertikaikan.
Pangkalan-pangkalan tambahan itu juga membolehkan tentera AS menyimpan peralatan dan bekalan pertahanan.
EDCA bagaimanapun terhenti di bawah bekas presiden, Rodrigo Duterte yang lebih mengutamakan China berbanding bekas penjajah negaranya, tetapi pentadbiran baharu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos berminat untuk mempercepatkan pelaksanaannya.
Di bawah perluasan EDCA yang akan diumumkan hari ini, AS akan mempunyai akses kepada sekurang-kurangnya sembilan pangkalan tentera di seluruh kepulauan itu.
Sudah dilaporkan secara meluas bahawa kebanyakan pangkalan baharu AS akan berada di pulau utama Luzon, daratan Filipina yang paling hampir dengan Taiwan di mana AS sudah mempunyai akses ke atas dua tapak pangkalan.
Yang keempat dilaporkan akan berada di pulau barat Palawan, berhadapan dengan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang kini menjadi perebutan hangat.
Menjelang pengumuman itu, Austin akan mengadakan perbincangan dengan Marcos di istana presiden.
FILIPINA DIBERI TEKANAN
Seorang pegawai kanan pertahanan AS memberitahu pemberita bahawa Filipina berada di bawah tekanan setiap hari daripada China menerusi pelanggaran undang-undang antarabangsa.
AS berhasrat memastikan mereka mempunyai keupayaan untuk mempertahankan kedaulatan mereka sendiri, kata pegawai itu.
Beijing menuntut kedaulatan hampir keseluruhan Laut China Selatan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa The Hague berikutan tuntutan mereka tidak mempunyai asas undang-undang.
Filipina, Vietnam, Malaysia dan Brunei mempunyai tuntutan bertindih ke atas bahagian laut perairan itu.