COPENHAGEN: Sebanyak 50,000 ayam dimusnahkan berikutan penyebaran wabak selesema burung di ladang barat Denmark.
Menurut laporan Xinhua daily, Ketua Seksyen Pentadbiran Veterinar dan Makanan Denmark (DVFA), Lotte Brink berkata, haiwan ternakan itu sebenarnya sudah dijangkiti dengan virus selesema burung yang berbahaya iaitu H5N1.
Sebagai mengambil langkah awal, katanya, pihaknya terpaksa memusnahkan 50,000 ekor ayam dalam tempoh beberapa hari ini.
“Matlamat kami adalah untuk mengurangkan penderitaan haiwan ternakan itu selain menghalang daripada perebakan wabak,” katanya.
Virus itu pertama kali dikesan pada malam tahun baharu selepas apabila beberapa ayam ditemukan mati di sebuah ladang berhampiran bandar Orum di Perbandaran Hedensted, kira-kira 177 kilometer barat Copenhagen.
Pada Isnin lalu, DVFA menyenaraikan kawasan yang berada dalam lingkungan 10 kilometer dari ladang itu sebagai Zon Larangan, sebarang pengeluaran telur atau ayam tanpa permit dilarang sama sekali.
Penularan wabak selesema burung itu kali keempat berlaku sejak Oktober dan yang terbesar setakat ini, menurut Kementerian Makanan, Pertanian dan Perikanan negara itu. –UTUSAN