HUWARA: Saksi-saksi kejadian dengan tegas mempertikaikan dakwaan seorang pegawai Israel yang dikatakan cuba mempertahankan diri dengan melepaskan tembakan maut jarak dekat ke arah seorang lelaki Palestin di Tebing Barat.
Pada 2 Disember tahun lalu, Ammar Hadi Mufleh, 22, dibunuh di Huwara, berhampiran Nablus di utara Tebing Barat, dan video dari tempat kejadian menunjukkan dia bertelagah dengan seorang komander polis Israel yang kemudian menembaknya beberapa kali.
Beberapa saksi Palestin menafikan Ammar Hadi bersenjatakan pisau atau cuba merampas senjata pegawai itu seperti yang didakwa Israel selain memberikan keterangan berbeza.
Seorang saksi, Abdullah al-Sattaria, 30, memberitahu AFP, dia dalam perjalanan dari rumahnya di Jericho ke majlis pertunangan di Tulkarm dan singgah di sebuah kedai di Huwara.
Polis Israel itu dilihat dalam video berada beberapa meter sahaja dari Ammar Hadi ketika tembakan maut dilepaskan.
Menurut Abdullah, insiden itu bermula apabila Ammar Hadi dilanggar berhampiran bulatan oleh sebuah kenderaan dengan pasangan Israel di dalamnya.
“Kereta pasangan itu melencong untuk mengelak sebuah kereta dan melanggar Ammar di kakinya,” kata Abdullah.
Ammar Hadi berang lalu menghampiri kereta itu dan mula memukul tingkap, memberitahu pemandu itu supaya berhati-hati, tambah saksi itu.
Petani, Nader Allan Musa juga menyaksikan pertengkaran yang berlaku dari keretanya iaitu kira-kira 10 meter jauhnya.
Selepas itu, seorang komander unit polis sempadan Israel yang beroperasi merentasi Tebing Barat datang ke tempat kejadian dan bertelagah dengan Ammar Hadi.
Dalam rakaman video, Ammar Hadi kelihatan tidak bersenjata, dilihat cuba memukul kepala pegawai itu dengan penumbuknya dan pegawai itu kemudian mengeluarkan pistol lalu menembak Ammar Hadi sehingga jatuh ke tanah.-AFP
Caption
PASUKAN keselamatan Israel ditempatkan di bandar Hawara, Tebing Barat di mana Ammar Hadi Mufleh ditembak mati.-AFP