NEW YORK: Putera Harry, menceritakan dalam buku baharunya bagaimana dia secara fizikal ‘diserang’ oleh abangnya, Putera William semasa pertengkaran yang berlaku pada 2019.
Menurut laporan akhbar The Guardian, berita mengenai insiden itu dimuat dalam buku memoir yang berjudul ‘Spare’ yang akan dilancarkan bulan ini.
Harry, 38, menulis, sewaktu berbalah di ruang dapur di kediaman mereka di London, William memanggil isterinya Meghan Markle sebagai ‘menyusahkan’, ‘biadap’ dan ‘kasar’.
Rentetan itu, William turut mengajaknya untuk ke luar rumah untuk meneruskan perbalahan mereka.
“Dia menarik kolar saya, merentap rantai saya dan menjatuhkan saya ke lantai, Saya tertiarap di atas mangkuk makanan anjing yang menyebabkan tulang belakang saya retak, dan serpihan mangkuk yang pecah juga terkena saya,” katanya di dalam buku berkenaan.
Tambah laporan The Guardian lagi, Harry kemudiannya meminta abangnya itu untuk pergi dari tempat pergaduhan itu manakala William kelihatan kesal dan mahu memohon maaf.
“William berpatah balik dan memberitahu supaya saya tidak perlu memberitahu Megan berhubung kejadian itu,” katanya.
Pendedahan terbaharu mengenai hubungan retak dua beradik itu muncul selepas bapa mereka Raja Charles membuat persiapan untuk atau pertabalannya menaiki takhta pada Mei berikutan kematian ibunya, Ratu Elizabeth II pada usia 96 tahun.
Harry dan Meghan, 41, mendedahkan mengenai pengalaman mereka berada dalam keluarga diraja Britain bulan lalu menerusi siri dokumentari Netflix selain memilih untuk tinggal di California, Amerika Syarikat pada 2020.
Dalam siri rancangan itu, mereka juga banyak menyalahkan laporan media yang bersifat perkauman dan pencabulan hak selain mendakwa berlaku hasutan keluarga.-AFP