Penyerahan mayat mangsa Yeti Airlines bermula, suasana pilu

Penyerahan mayat mangsa Yeti Airlines bermula, suasana pilu selubungi hospital

AHLI keluarga mangsa pesawat ATR 72 Yeti Airlines tidak dapat menahan kesedihan di luar hospital, Pokhara.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKHARA: Kakitangan hospital di Kathmandu kini memulakan tugas berat untuk menyerahkan mayat mangsa nahas pesawat Yeti Airlines kepada ahli keluarga yang masih bersedih.

Semalam, pekerja hospital di Pokhara dengan sut pelindung biru dan putih serta bertopeng memuatkan mayat yang dibungkus dengan plastik ke trak tentera, pada masa yang sama kelihatan ahli keluarga menangis berpelukan di luar hospital.

Trak itu kemudiannya bertolak ke lapangan terbang, di mana mayat akan dibawa pulang ke ibu kota Kathmandu.

“Lapan mayat sudah diserahkan kepada ahli keluarga. Kami akan menyerahkan 14 lagi mayat selepas selesai bedah siasat di sini di Pokhara,” kata jurucakap hospital.

Ahad lalu, penerbangan Yeti Airlines dengan 68 penumpang dan empat anak kapal terjunam ke dalam gaung yang curam, hancur berkeping-keping dan terbakar ketika menghampiri pusat bandar Pokhara.

Kesemua penumpang kapal itu termasuk enam kanak-kanak dan 15 warga asing dipercayai meninggal dunia.

Pasukan penyelamat bekerja hampir 24 jam untuk mengekstrak mayat manusia dari gaung sedalam 300 meter yang berselerak dengan tempat duduk pesawat yang berpintal selain terdapat ketulan badan pesawat dan sayap.

Sebanyak 70 mayat ditemukan setakat hari ini, menurut pegawai polis, AK Chhetri kepada AFP.

Seorang lagi pegawai kanan polis berkata, sehari sebelum kejadian, mereka berharap menemukan mangsa yang masih hidup, namun tiada.

“Kami menemukan satu mayat malam tadi. Tetapi ia adalah tiga objek bercantum. Kami tidak pasti sama ada ia tiga mayat atau satu mayat. Ia akan disahkan hanya selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“48 mayat sudah dihantar ke Kathmandu untuk ujian DNA dan diserahkan kepada keluarga,” kata Chhetri.

Dron digunakan dan pencarian baki dua mayat diperluaskan kepada radius dua hingga tiga kilometer, tambahnya.

Ketua Lapangan Terbang Antarabangsa Pokhara, Bikram Raj Gautam berkata, kotak hitam dari pesawat itu yang dibuat oleh ATR yang berpangkalan di Perancis, diserahkan kepada pihak berkuasa Isnin lalu.

Sewaktu nahas, pesawat ATR 72 sedang terbang dari Kathmandu ke Pokhara dan terhempas sebelum 11:00 pagi.

Punca nahas masih belum diketahui, tetapi video di media sosial menunjukkan pesawat enjin berkembar turboprop itu membelok secara tiba-tiba dan tajam ke kiri ketika menghampiri lapangan terbang Pokhara.

Satu letupan kuat menyusul.

Pakar memberitahu AFP bahawa tidak jelas daripada klip itu sama ada ia adalah kesilapan manusia atau kerosakan mekanikal.

Pakar dari agensi penyiasatan kemalangan Perancis dijangka tiba di Nepal, kata badan itu kepada AFP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya