BEIJING: Berikutan terpaksa bergelut dengan varian baharu Covid-19 yang menghantui rakyat, tempahan penerbangan keluar China dikatakan tiada sambutan dan dalam tempoh hampir seminggu ini, hanya 15 peratus tempahan direkodkan selepas negara itu mengumumkan membuka semula sempadannya 8 Januari lalu.
Menurut firma data perjalanan ForwardKeys, walaupun tempahan itu melonjak 192 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu, jumlah itu dianggap masih sedikit kerana negara republik itu bukan lagi berada dalam tempoh pandemik.
Naib Presiden Insights ForwardKeys, Olivier Ponti berkata, hal ini berkemungkinan berlaku berikutan kapasiti syarikat penerbangan yang sangat rendah, kos tambang penerbangan yang terlalu tinggi, keperluan ujian Covid-19 pra-penerbangan baharu yang diminta oleh banyak negara dan permohonan pasport dan visa yang tertunggak menimbulkan cabaran kepada industri berkaitan di China.
“Walaupun Tahun Baharu Cina berkemungkinan menyaksikan perjalanan antarabangsa tiada sambutan buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun, kita perlu menunggu lebih lama sebelum kita melihat kebangkitan semula pelancong China untuk meneroka dunia,” tambahnya.
Beberapa agensi pelancongan dalam talian sebelum ini menggembar-gemburkan bahawa akan berlaku lonjakan berlipat kali ganda dalam carian dan tempahan pelancongan sejak pengumuman sempadan China dibuka oleh kerajaan pada 26 Disember lalu, tetapi tidak memberikan data yang membandingkan tahap minat pengembara pada 2019.
Data ForwardKeys pula menunjukkan purata penerbangan keluar dari China adalah 160 peratus lebih tinggi berbanding Disember 2019, walaupun data itu menunjukkan arah aliran menurun sejak Jun tahun lalu apabila kapasiti penerbangan lebih rendah dan kuarantin diperlukan.
Syarikat penerbangan pula beroperasi pada hanya 11 peratus daripada kapasiti antarabangsa berikutan pra-pandemik dari China pada bulan bulan ini, walaupun angka itu dijangka meningkat kepada kira-kira 25 peratus menjelang April berdasarkan data semasa.
KEMBALI PULIH
Seorang pengawal selia penerbangan China meramalkan pasaran antarabangsa boleh pulih kepada kira-kira 80 peratus daripada tahap kapasiti 2019 menjelang akhir tahun ini, lapor China Daily.
Ponti berkata lagi, firmanya menjangka pasaran keluar China akan meningkat kukuh pada suku kedua apabila syarikat penerbangan menjadualkan kapasiti untuk musim bunga dan musim panas, termasuk cuti Mei, festival bot naga pada Jun dan cuti musim panas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia (WTTC), Julia Simpson yakin tentang pemulihan sektor itu daripada wabak Covid-19.
Beliau menjangkakan pertumbuhan eksponen dalam dekad akan datang terutamanya hasil rangsangan daripada pelancong untuk keluar China dan pelawat asing ke China.
“Saya telah ke sana (China) berkali-kali … dan sangat mengagumkan bahawa dunia akan dapat membuka tangan dan mengalu-alukan pelawat China sekali lagi,” katanya ketika ditemu bual portal Xinhua baru-baru ini.
LANGKAH PENCEGAHAN
Pada awal Disember 2022, China memutuskan untuk mengoptimumkan tindak balas Covid-19 dengan langkah pencegahan dan kawalan baharu dengan mengurangkan sekatan ke atas perjalanan dan lawatan ke tempat awam.
Kemudian, pada 8 Januari lalu, Pentadbiran Penerbangan Awam China melonggarkan sekatan Covid-19 tertentu ke atas penerbangan penumpang antarabangsa.
Simpson menambah, sebelum wabak, perjalanan dan pelancongan pernah mewakili satu daripada 10 pekerjaan di seluruh dunia dan satu daripada 10 dolar Amerika Syarikat yang dibuat secara global.
“Ia adalah sektor yang sangat penting, yang membawa banyak faedah ekonomi dan banyak pekerjaan,” katanya.
Menurut tinjauan yang dijalankan pada November lalu terhadap lebih 26,000 pengguna di 25 negara oleh YouGov untuk WTTC, selera perjalanan antarabangsa berada pada tahap tertinggi sejak permulaan wabak dengan 63 peratus responden merancang perjalanan santai dalam 12 bulan akan datang.
Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) pada November lalu berkata, pelancongan antarabangsa berada di landasan yang betul untuk mencapai 65 peratus tahap pra-pandemik menjelang akhir 2022 apabila sektor itu terus bangkit semula.
PERJALANAN BALAS DENDAM
Simpson memberitahu, selepas hampir tiga tahun, fenomena perjalanan ‘membalas dendam’ yang bermaksud mengembara untuk menebus masa yang hilang semasa wabak dijangka meningkatkan pelancongan dan meningkatkan perniagaan.
“Kita cenderung untuk melihat orang ramai membuka semula sempadan mereka selepas wabak berikutan mempunyai banyak permintaan terpendam untuk perjalanan. Permintaan pertama seperti itu akan datang daripada keluarga dan rakan-rakan…seperti pelajar yang bekerja di negara-negara lain,” jelasnya.
Pelawat China keluar ke seluruh dunia adalah antara yang paling berharga dari segi ekonomi, kata Simpson.