BEIJING: Data rasmi menunjukkan penduduk China menyusut tahun lalu buat pertama kali dalam lebih enam dekad.
Negara republik paling ramai penduduk di dunia itu kini berdepan krisis demografi.
Kadar kelahiran negara berpenduduk 1.4 bilion itu kini menjunam ke paras terendah apabila tenaga kerjanya meningkat usia atau pun dikenali sebagai penuaan.
Penganalisis sosial juga memberi amaran bahawa situasi ini boleh menghalang pertumbuhan ekonomi selain memberi tekanan kepada tabung awam.
Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS) Beijing melaporkan, penduduk China berjumlah kira-kira 1,411,750,000 pada akhir 2022, penurunan sebanyak 850,000 berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah kelahiran pula ialah sebanyak 9.56 juta orang manakala jumlah kematian ialah 10.41 juta orang.
Kali terakhir jumlah penduduk China merosot adalah pada 1960, ketika negara itu menghadapi kebuluran terburuk dalam sejarah modennya yang disebabkan oleh dasar pertanian Mao Zedong yang membawa bencana yang dikenali sebagai ‘Lonjakan Hebat Ke Hadapan’.
China juga dikatakan menamatkan dasar ‘satu anak’ yang ketat yang dikenakan pada 1980-an kerana bimbang penduduk berlebihan.
Kerajaan republik itu membenarkan pasangan mempunyai tiga anak pada 2021.
Tetapi dasar itu gagal untuk membalikkan penurunan demografi.
Ramai penduduk mendakwa terbabit dengan kos sara hidup yang melambung tinggi serta peningkatan bilangan wanita dalam tenaga kerja dan berpendidikan tinggi.
Seorang penyelidik Universiti Victoria Australia, Xiujian Peng memberitahu AFP, orang China juga sudah biasa dengan keluarga kecil kerana dasar satu anak selama beberapa dekad.
“Kerajaan China perlu mencari dasar yang berkesan untuk menggalakkan kelahiran, jika tidak, kesuburan akan tergelincir lebih rendah.
“Penduduk yang semakin berkurangan dan semakin tua akan menjadi kebimbangan sebenar bagi China,” kata Peng.
Banyak pihak berkuasa tempatan telah pun melancarkan langkah untuk menggalakkan pasangan mempunyai anak.
Kota besar selatan Shenzhen, sebagai contoh, kini menawarkan bonus kelahiran dan elaun yang dibayar sehingga anak berusia tiga tahun.
Pasangan yang mempunyai bayi pertama mereka secara automatik akan menerima 3,000 Yuan (AS$444 atau RM1,917), jumlah yang meningkat kepada 10,000 Yuan (RM6,391) untuk anak ketiga mereka.
Di timur negara itu, bandar Jinan membayar gaji bulanan sebanyak 600 yuan (RM384.50) sejak 1 Januari lalu untuk pasangan yang mempunyai anak kedua.
Demografer bebas, He Yafu juga menunjukkan terdapat penurunan bilangan wanita dalam usia mengandung yang menyusut sebanyak lima juta setahun di antara 2016 dan 2021, akibat daripada penuaan penduduk.
“Ia akan memberi kesan mendalam kepada ekonomi China dari masa kini hingga 2100.”-AFP