KATHMANDU: Dipercayai kesemua 72 penumpang pesawat domestik Nepal, Yeti Airlines maut setelah pesawat enjin berkembar turboprop ATR72 terhempas di antara lapangan terbang lama dan baharu Pokhara di tengah negara itu, semalam.
Setakat ini, lebih 40 mayat ditemukan oleh unit mencari dan menyelamat di tempat kejadian.
Jurucakap syarikat penerbangan, Sudarshan Bartaula berkata, pesawat itu turut membawa dua bayi, empat anak kapal dan 15 warga asing.
Penumpang warga asing termasuk warga Ireland dan juga Australia.
Selain itu lima warga India, Rusia (4), Korea Selatan (2) dan Argentina dan Perancis.
“Kami menjangkakan lebih banyak mayat untuk dikenal pasti.
“Pesawat itu terhempas dan berkecai,” kata jurucakap tentera, Krishna Bhandari.
Laporan media tempatan turut menyatakan, pesawat itu terhempas berdekatan kawasan hutan di tebing Sungai Seti Gandaki.
Sementara itu, Perdana Menteri, Pushpa Kamal Dahal berkata, pesawat itu dalam penerbangan dari Kathmandu ke Pokhara.
Beliau dalam pada itu juga menggesa anggota keselamatan serta orang ramai turut membantu dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.
Pokhara merupakan sebuah bandar pelancongan yang sibuk kira-kira 200 kilometer di barat ibu kota Kathmandu.
Televisyen tempatan menunjukkan suasana asap hitam tebal berkepul-kepul dari lokasi nahas ketika pekerja penyelamat dengan orang ramai berkumpul di sekitar serpihan pesawat itu.
“Pihak polis sudah berada di lokasi kejadian dan cuba memadamkan api. Semua agensi kini menumpukan usaha memadamkan kebakaran terlebih dahulu dan menyelamatkan penumpang,” kata pegawai tempatan, Gurudutta Dhakal.-AFP/AGENSI