40 maut bas terjunam di barat daya Pakistan

40 maut bas terjunam di barat daya Pakistan

DILAPORKAN 40 maut dalam kejadian bas terbabas di barat daya Pakistan, awal pagi tadi.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QUETTA: Sekurang-kurangnya 40 penumpang maut apabila sebuah bas terjunam dan terbakar dari sebuah jambatan di barat daya Pakistan.

Pegawai kanan daerah Lasbela di wilayah Balochistan, Hamza Anjum berkata, mayat-mayat itu bagaimanapun tidak dapat dikenali kerana rentung.

Hamza berkata, tiga mangsa berjaya diselamatkan dan bas itu dilaporkan membawa 48 penumpang apabila ia melanggar tiang di jambatan dan terbabas di luar laluan.

Bas itu melakukan perjalanan semalaman di antara ibu kota wilayah Balochistan, Quetta dan bandar pelabuhan selatan Karachi.

“Pemandu dikhuatiri tertidur,” kata Hamza sambil menyebut kemungkinan pemandu itu memandu laju ketika dalam perjalanan jarak jauh.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan menyiasat punca kemalangan itu sambil memberitahu ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan digunakan untuk menentukan identiti mayat yang sukar dikenal pasti.

Lebuh raya yang mempunyai jalan tidak sekata, langkah keselamatan longgar dan pemanduan melulu menyumbang kepada rekod keselamatan jalan raya yang teruk di Pakistan.

Bas penumpang di negara itu sering dipenuhi dan tali pinggang keledar tidak biasa dipakai malah, angka kematian yang tinggi akibat kemalangan kenderaan seperti bas adalah perkara biasa.

Pada November tahun lalu, 20 orang termasuk 11 kanak-kanak terbunuh apabila sebuah bas mini terhempas ke dalam parit yang dalam dan berair di selatan Pakistan.

Pada Ogos lalu, 20 orang turut terkorban di pinggir bandar Multan apabila sebuah bas bertembung dengan sebuah kapal tangki minyak.

Menurut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia, lebih 27,000 orang terbunuh di jalan raya Pakistan pada 2018. –AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya