Malaysia kutuk serangan berdarah Houthi ke atas Abu Dhabi - Utusan Malaysia

Malaysia kutuk serangan berdarah Houthi ke atas Abu Dhabi

WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berdarah terkini pemberontak Houthi ke atas beberapa fasiliti di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) petang kelmarin.

 Kementerian Luar menerusi kenyataan di sini berkata, insiden tidak dijangka tersebut merupakan tindakan ganas dan pihak yang terbabit perlu memikul tanggungjawab berkenaan.

 “Malaysia malah bertegas menolak sebarang bentuk keganasan yang boleh menjejaskan lagi proses keamanan dan keselamatan di seluruh rantau Asia Barat,” tambah Wisma Putra.

 Serangan melibatkan sejumlah dron itu memusnahkan tiga buah trak minyak di loji penapis Abu Dhabi National Oil Company milik kerajaan UAE di zon perindustrian utama Al Musaffah.

 Dua warga India dan seorang rakyat Pakistan maut manakala enam individu lain dilaporkan cedera sebelum serangan susulan dilancarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi.

 Insiden yang berikutnya itu tidak menyaksikan sebarang kemalangan jiwa walaupun berlaku kebakaran dan jurucakap pergerakan Syiah Houthi mengaku melancarkan serangan tersebut.

 Beberapa buah negara jiran di rantau Asia Barat dan Afrika, Kesatuan Eropah, Britain, Amerika Syarikat, Rusia, Jepun serta Singapura mengecam peristiwa serangan militan Yemen itu.

 Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, Antonio Guterres turut mengutuk insiden tersebut dan menggesa semua pihak yang bertelagah kembali kepada proses rundingan damai.

 Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, kerajaan Malaysia menzahirkan perasaan amat simpati dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang tidak berdosa berkenaan.

 “Malaysia juga akan terus menyokong segala usaha bagi mencari penyelesaian berkekalan dan berharap konflik perang saudara di Yaman dapat berakhir dalam masa terdekat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya