MINGGU ini peminat siri popular Netflix, Money Heist atau dalam bahasa sebenarnya, La Casa de Papel tidak melepaskan peluang menonton siri terakhir drama berkisahkan sebuah kes rompakan bank.
Drama bersiri itu berjaya berada pada kedudukan 10 teratas paling banyak ditonton dalam saluran penstriman berbayar itu.
Drama bersiri kelahiran Sepanyol itu tampil menarik dengan pengenalan nama watak-wataknya sempena nama ibu negara di seluruh dunia seperti Nairobi, Stockholm, Tokyo, Helsinki, Rio, Denver dan Berlin.
Semasa siri ketiga drama itu ditayangkan pada 2019, Netflix mengumumkan jumlah tontonan adalah sebanyak 34 juta penonton mewakili setiap isi rumah sekaligus memecah rekod sebagai siri drama bukan berbahasa Inggeris paling laris.
IMPAK BAHASA SEPANYOL
Netflix belum mengeluarkan maklumat mengenai bagaimana peminat menonton siri berbahasa Sepanyol itu, sama ada menggunakan pilihan alih bahasa atau memahaminya dengan sari kata.
Alvaro Morte yang memainkan watak penting sebagai ketua kumpulan perompak bergelar Profesor berkata, penonton terdorong untuk memahami bahasa Sepanyol dengan mula mempelajarinya selepas menonton drama itu sejak siri pertama ditayangkan.
“Saya dengar penonton di seluruh dunia mula mempelajari bahasa Sepanyol selepas menonton Money Heist kerana mereka mahu mendengar suara sebenar setiap watak.
“Sudah tentu saya amat berbangga dengan perkara ini,” katanya seperti dilaporkan The Washington Post.
IMPAK WATAK
Money Heist berjaya melonjakkan populariti pelakon utama yang menjayakan drama tersebut sehingga menempa nama di peringkat antarabangsa.
Malah, ada pelakon memberitahu mereka dihujani dengan permintaan menurunkan tandatangan daripada peminat.
Pedro Alonso yang menjayakan watak perompak bernama Berlin masih mengingati ketika penggambaran drama terpaksa dihentikan seketika di Itali selepas peminat membanjiri kawasan plaza.
IMPAK KOSTUM & LAGU
Drama terbitan Vancouver Media Production turut memberikan impak terhadap kostum yang dipakai setiap perompak.
Jumpsuit berwarna merah dan topeng muka bukan sahaja dipakai semasa parti Halloween, bahkan menjadi ‘pakaian rasmi’ semasa protes tercetus di seluruh dunia termasuk di Puerto Rico, Myanmar dan Sepanyol.
Malah, aksi tunjuk perasaan di Iraq dan India memilih ‘Bella Ciao’, sebuah lagu protes Itali yang digunakan sepanjang siri itu, sebagai lagu demonstrasi.
PUKAU JUTAAN PENONTON
Money Heist adalah drama bersiri pertama Sepanyol yang berjaya memukau jutaan penonton di dunia. Populariti drama itu menyebabkan Netflix sanggup melabur dalam drama bersiri lain di Sepanyol termasuk thriller mengenai pelajar sekolah swasta ‘Elite’.
Selepas menonton lima episod dalam bahagian pertama yang mula ditayangkan 6 September lalu, kini, drama itu akan menamatkan perjalanan kesemua barisan perompak dalam bahagian kedua, 3 Disember depan.
Apakah kesemua perompak berjaya ditumpaskan atau mereka sekali lagi berjaya meloloskan diri mencipta kehidupan baharu selepas rompakan berakhir? Sama-sama kita nantikan.-AGENSI