Sebagai nasionalis Jerman yang anti-komunis dan tegar memperjuang kelangsungan tamadunnya dari musnah dek tangan Yahudi, Adolf Hitler menjelaskan kepentingan satu-satu bangsa agar cakna dan menyintai akar tradisi.
Ini terbukti melalui karya beliau berjudul Mein Kampf, di mana beliau berkata: “Jika sesuatu bangsa itu enggan memelihara dan menjunjung tinggi akar tradisi dan kualiti bangsanya, maka janganlah mengeluh andai ketamadunan mereka musnah dan hilang dari lipatan sejarah kelak.”
Atas semangat kesedaran dan kecintaan tradisi yang sama, dalam ruangan kali ini, pembaca akan dibawa mengenali satu warisan tradisi Melayu Nusantara, yang berevolusi melalui proses silang budaya yang harmoni dan kompleks.
Warisan itu ialah drama tari bernama tabuik dari Pariaman, iaitu rumpun jiran kita di Indonesia. Meski namanya jarang bermain di telinga, namun seni yang satu ini cukup berpengaruh sehingga merintis kepada kemunculan cabang lain seperti boria dan hadrah di tanah air!
PERNAH POPULAR DI TANAH MELAYU
Pensyarah Kanan di Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya, Dr. Rosdeen Suboh, 48 sewaktu dikunjungi Mingguan Malaysia, baru-baru ini berkata, drama tari Melayu itu turut dikenali sebagai tabut di wilayah Bengkulu.
“Manakala nama tabuik pula sinonim dengan wilayah Pariaman di Sumatera, Indonesia,” katanya.
Katanya, tabuik ialah festival orang Melayu Islam di pesisir pantai Sumatera, dilangsungkan dari satu sehingga 10 Muharram.
PERINTIS BORIA, HADRAH
Berkongsi naratif keislaman dalam lanskap kebudayaan tradisi, beliau berkata antara kepentingan masyarakat mengenali drama tari ini, ialah susulan aspek silang budaya dengan tanah air yang mana tabuik pernah menjadi antara drama tari popular di tanah Melayu satu waktu dahulu.
“Dulu, ia pernah dipentaskan di Pulau Pinang sekitar awal 1900-an. Namun, ciri asalnya perlahan-lahan berubah dan berevolusi menjadi seni lain yang berciri tempatan,” katanya.
Mengulas perkara itu, beliau berkata, sejak berlaku proses evolusi, tabuik kemudian secara perlahan-lahan diubah menjadi kesenian tempatan yang dikenali sebagai boria dan hadrah.
“Di sinilah kita boleh lihat, bagaimana silang budaya serumpun membentuk kebudayaan dan ciri kesenian yang baharu. Dari tabuik di Sumatera, apabila sampai ke Tanah Melayu pula, ia bertukar sesuai dengan selera tempatan menjadi boria dan hadrah.
“Jelaslah di sini, sebagai bangsa yang berkongsi kerumpunan yang sama, proses adaptasi dan silang budaya ini mencerminkan status quo Melayu yang berakar di seluruh rumpun Nusantara ini,” katanya.
KOTAK TABUT
Menjelaskan soal sejarah kewujudan, Rosdeen berkata tabuik dikesan melalui kemunculan satu aktiviti kesenian yang menjunjung menara-menara kecil dikenali sebagai ‘kotak tabut’.
“Kotak ini merujuk tempat menyimpan roh-roh suci. Namun ia disesuaikan pula dengan citra tempatan apabila ia merujuk pula kepada aktiviti dengan suntikan keislaman yang mempunyai ciri kerohanian.
“Apabila sampai ke Pariaman, ia kemudian berevolusi pula, daripada mempunyai simbol keagamaan, akhirnya berubah kepada festival seni dan budaya,” katanya.
Menghuraikan perkara itu, beliau berkata apabila tabuik mula diangkat sebagai sebuah festival, ia akhirnya dilihat sebagai aktiviti untuk dipentaskan kepada penonton dan pelancong.
“Hal ini, sekali gus membuang jauh ciri asal tabuik yang mempunyai elemen ritual dan kepercayaan keagamaan,” katanya.
STRUKTUR
Katanya, tabuik dipentaskan sepanjang hari Asyura, bermula dari satu hingga 10 muharram setiap tahun.
“Ada banyak aktiviti sepanjang festival ini. Antaranya ada aktiviti berarak mengangkat tandu-tandu besar.
“Tandu ini biasanya merupakan usungan berbentuk rumah kecil yang dibuat dari buluh, yang dihiasi perhiasan dan elemen mengikut citra tempatan di mana ia dipentaskan.
“Misalnya, kalau di sebuah kampung, orang di sana suka kepada kain, maka tandu di sana dibaluti kain berwarna-warni. Kalau di kampung lain, mereka suka bunga manggar pula, maka tandu itu akan dihiasi bunga manggar dan begitulah selanjutnya,” katanya.
Berkongsi kepada Mingguan Malaysia, beliau berkata kecintaan untuk memugar tradisi ini, telah membawa beliau ke serata rumpun Nusantara terutama ke Indonesia bagi menyaksikan sendiri festival ini.
“Di Bengkulu misalnya, didapati tandu itu diarak dari satu checkpoint ke checkpoint lain, dan akhirnya berhenti di sebuah masjid lama.
“Manakala sewaktu saya di Pariaman, festival tabuik di sana menyaksikan tandu itu berhenti di checkpoint terakhir di pesisir pantai pula,” katanya. – Mingguan Malaysia