Mesin pembentuk roti jala seragam - Utusan Malaysia

Mesin pembentuk roti jala seragam

Pekerja hanya perlu menggulung roti jala menjadikan proses lebih pantas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Roti jala tidak asing lagi dalam masyarakat Melayu. Apatah lagi juadah itu juga tergolong sebagai salah satu daripada 100 makanan warisan Malaysia.

Oleh itu, tidak hairanlah ia sering dijadikan hidangan wajib setiap kali tiba bulan Ramadan dan musim perayaan.

Sememangnya tidak lengkap hidangan ketupat, rendang dan sate tanpa ada roti jala.

Namun, proses pembuatannya bukanlah mudah kerana ia mempunyai proses ‘melenggang’ roti secara satu persatu yang memerlukan kemahiran.

Lebih-lebih lagi bagi pengusaha yang menghasilkan roti jala dalam kuantiti yang banyak setiap hari.

Bagi mengatasi permasalahan itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membangunkan mesin pembentuk kuih roti jala separa automatik bagi membantu mengembangkan industri kuih tradisi itu.

Menurut Pegawai Penyelidik Program Mekanisasi Lepastuai dan Pemprosesan Makanan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan MARDI, Saiful Azwan Azizan, pembangunan mesin berkenaan dapat meningkatkan kadar pengeluaran roti jala oleh Industri Kecil Sederhana (IKS).

Katanya, selama ini industri berkenaan berdepan dengan beberapa isu seperti kekurangan tenaga kerja mahir sekaligus menyebabkan kadar pengeluaran yang rendah.

“Mesin ini mempunyai dua komponen penting iaitu tangki adunan unik yang bergerak secara putaran serta kuali pemanas berkuasa elektrik yang bergerak menggunakan kaedah penumatik atau kuasa angin.

“Oleh itu, pekerja mahir tidak lagi diperlukan untuk proses ‘melenggang’, kerana roti dibentuk oleh mesin. Pekerja hanya perlu melipat roti kepada bentuk yang diingini selepas itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mesin dibangunkan sejak tahun 2013 itu menggunakan sepenuhnya dana daripada MARDI bernilai RM20,000.

Inovasi itu turut berjaya melakar beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa dengan merangkul pingat emas di International Trade Fair Ideas, Inventions, New Products (iENA 2014), Nuremberg, Jerman dan International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2014) Malaysia.

Selain itu, ia turut menerima Anugerah Malaysia Innovative Product di ITEX 2014.

Penghasilan konsisten

Menerangkan dengan lebih lanjut mengenai fungsi, Saiful Azwan berkata mesin berkenaan terdiri daripada satu ‘lengan’ yang memegang tangki adunan berkapasiti satu liter.
Ia berputar secara rawak untuk membentuk roti jala.

“Sistem ini juga terdiri daripada motor untuk menggerakkan tangki adunan, pengawal kelajuan putaran, pemasa untuk menetapkan masa pemprosesan serta kuali pemanas tahan karat,” jelasnya.

Tambahnya, ia turut dilengkapi sensor yang membolehkan mekanisme buka dan tutup pada tangki adunan.

Kuali pemanas tahan karat pula boleh bergerak dari kanan ke kiri untuk memasak roti jala secara berterusan.

“Mesin ini mampu meningkatkan pendapatan usahawan IKS terutamanya usahawan makanan sejuk beku, perniagaan katering dan kiosk terutamanya di musim perayaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya