Fitrah wanita terutama bergelar isteri, apabila sudah sayang bukan mudah untuk membenci apa lagi meninggalkan seseorang.
Isteri yang diuji dalam rumah tangga, mereka tetap bertahan dan cuba menyelamatkan mahligai dibina.
Cuba memperbaiki kelemahan diri dan belajar menjadi yang lebih baik.
Walaupun pada dasarnya, isteri tidak salah apa pun, sebaliknya suami yang memulakan onar dalam rumah tangga.
Sebagai manusia biasa, si isteri tidak boleh melakukan apa-apa jika sudah ditakdirkan hubungan tamat dengan perpisahan.
Hanya perlu menerima dengan reda dan hati terbuka dengan harapan agar Allah berikan kebahagiaan yang sebenar di kemudian hari.
Minggu ini saya kongsikan pengalaman hidup Shiela (bukan nama sebenar) selama tujuh tahun bersuamikan lelaki ada masalah mental.
Kisah Shiela dikongsikan melalui emel yang dikirimkan kepada saya baru-baru ini.
Sepanjang tempoh tersebut, wanita berusia 28 tahun itu bukan tidak cuba mempertahankan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta namun tidak berjaya.
Malah suaminya, Amran (bukan nama sebenar) yang diharap berubah, tidak pernah berusaha ke arah itu, sebaliknya memilih untuk terus melukai hatinya dengan berlaku curang.
Dalam emelnya lagi, Shiela menjelaskan memiliki pasangan yang berjuang dengan penyakit mental amat berat dan sulit.
Pada awalnya, dia bingung bagaimana menjalani kehidupan bersama pasangan dengan penyakit mental sambil mengurus keperluan diri dan anak-anak.
Atas nasihat doktor dan berkat kesabaran, Sheila berjaya mengharungi kehidupan bersama lelaki yang dicintai itu.
Akui Shiela dia langsung tidak tahu mengenai penyakit dialami suami sehinggalah perkara itu didedahkan oleh kedua ibu bapa mentuanya.
Pendedahan itu dibuat selepas buat pertama kalinya dia membuat laporan polis terhadap suami atas dakwaan keganasan rumah tangga pada pertengahan tahun 2020 ketika
Perintah Kawalan Pergerakan.
Amran didakwa mengalami masalah kemurungan ketika masih menuntut di institusi pengajian tinggi.
Memasuki dunia pekerjaan ada masanya Amran sukar menangani tekanan.
Amran yang pernah didiagnosis disahkan mengalami gangguan bipolar iaitu sejenis penyakit mental yang menyebabkan perubahan emosi, tingkah laku dan pemikiran.
Sebelum itu Amran mengikuti terapi dan rawatan psikiatri tetapi menghentikannya selepas berumahtangga.
Berkongsi pengalaman mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah mental bukan sesuatu yang mudah untuk diuruskan.
Ini kerana tindak tanduk Amran tidak mudah dijangka.
Dalam emelnya, Sheila turut menceritakan perkenalan singkatnya dengan Amran iaitu kurang daripada enam bulan sehingga membawa ke jenjang pelamin.
Awal perkahwinan, Amran seorang suami penyayang. Namun segala-galanya berubah selepas pasangan ini memiliki cahaya mata pertama.
Belang sebenar Amran keluar.
Shiela mula dikasari.
Amran sering menengking, marah-marah tanpa sebab yang jelas. Malah Amran juga sering bertindak memukul Shiela.
Walaupun sering didera mental dan fizikal, Shiela tetap bertahan kerana sayangkan Amran dan anak yang baru melihat dunia.
Sukar pada awalnya Sheila untuk menerima hakikat apabila seseorang yang disayangi mengalami penyakit mental.
Bagaimanapun dia reda dengan ketentuan Allah.
Doktor menasihatkan Sheila untuk belajar mengenali penyakit Amran dan cuba memahami tingkah lakunya.
Hari demi hari dilalui.
Setahun berlalu, kehidupan mereka juga semakin baik.
Sehinggalah pada pertengahan awal tahun 2022, dia mula menghidu kecurangan suami.
Sejak itu Shiela kembali melihat perubahan tingkah laku suami yang kembali menjadi seorang pemarah dan kaki pukul.
Sakit dipukul, sakit lagi dihati Sheila setiap kali mengenangkan perbuatan suaminya itu.
Kekuatan yang ada dalam dirinya sepanjang tempoh itu hanyalah disebabkan anak.
Keadaan Amran yang terus menerus menyeksa mental dan fizikal, membuatkan dia tidak lagi sanggup mempertahankan mahligai yang dibina.
Baru-baru ini, Mahkamah Syariah Kuantan, memberikan satu kemenangan buat Shiela.
Pihak mahkamah, meluluskan permohonan tuntutan fasakh oleh Shiela terhadap suami yang mencederakannya hingga luka di muka dan kepala.
Dia bersyukur proses itu dipermudahkan tanpa menunggu lama.
Kisah Shiela bukan bertujuan untuk membuka aib sesiapa, sebaliknya memberi pengajaran kepada lelaki dan perempuan di luar sana.
Kenapa seseorang itu perlu berkawan dan kenal dahulu siapa pasangan sebelum berkahwin adalah untuk menjaga kemaslahatan kedua-dua calon.
Sama ada di sebelah pihak lelaki atau perkahwinan, supaya mereka tidak tertipu apabila berkahwin kelak.
Ini kerana, terdapat kes-kes penipuan maklumat yang berlaku terutama di akhir-akhir ini adalah sebab utama kenapa seseorang itu mesti kenal dan merisik terlebih dahulu.
Sebagai contoh penipuan daripada segi maklumat berkenaan status perkahwinan, masalah kesihatan dan sebagainya.
Oleh yang demikian, apabila adanya sesi taaruf (kenal) semasa sedang berkawan, maka ia adil untuk kedua-dua belah pihak.
Dalam Islam sendiri, seseorang itu digalakkan untuk kenal dahulu dengan pasangan yang bakal dikahwini.
Kenal di sini bukanlah bermaksud hanya tahu nama, bahkan lebih daripada itu.
Antara perkara penting perlu diambil tahu ialah berkenaan latar belakang pasangan dan keluarganya, tahap kesihatan, pekerjaan dan sebagainya.
Dalam hal mencari jodoh ini, bukan lelaki sahaja berhak memilih, wanita juga berhak memilih pasangannya.
Perkara ini jelas dalam hadis Rasullullah SAW bermaksud:
Apabila datang kepada kamu peminang yang engkau puas hati dengan agama dan kelakuannya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak kamu lakukan, akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang berpanjangan. (HR At-Tirmizi).