Hitam, putih rona versatil, fleksible - Utusan Malaysia

Hitam, putih rona versatil, fleksible

PUTIH tidak terlalu terikat pada musim atau trend fesyen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hitam dan putih warna versatil. Ia boleh digayakan bila-bila masa sama ada ketika menghadiri majlis santai atau rasmi.

Paling penting, rona ini boleh digayakan pada bila-bila masa tanpa terikat pada musim atau trend fesyen. Bila bergaya dengan hitam dan putih, tidak ada istilah ‘salah’ dalam berfesyen.

Mungkin ada tanggapan hitam dan putih agak membosankan. Hakikatnya jika bijak memilih dan memadankan pakaian serta aksesori, ia mampu menjadi gaya yang menarik perhatian.

Malah hitam sering dikaitkan dengan kuasa dan kemampuan. Ia mampu memberikan gambaran si pemakai seorang yang berwibawa dan fokus.

HITAM beri gambaran si pemakai seorang yang fokus dan berkuasa.

Memakai pakaian hitam dan putih juga dikatakan menjadikan seseorang itu lebih menarik. Itulah sebabnya ramai yang memilih hitam atau putih ketika menghadiri temuramah atau seminar.

Namun antara persoalan yang mungkin timbul adalah macam mana menggayakan hitam dan putih supaya tidak membosankan? Tips paling mudah adalah memilih baju atau seluar dengan potongan menarik.

Pastikan juga tekstur dan coraknya menarik perhatian seperti baju hitam berbintik polka putih. Gandingkan dengan skirt atau seluar putih atau hitam tanpa motif.

Tekstur baju lembut menyerlahkan gaya feminin seperti blaus hitam putih daripada kain sifon. Gandingkan dengan seluar jeans atau slack hitam.

MONOKROMATIK

Monokromatik bermakna anda tampil dengan satu warna saja. Pilih salah satu warna putih saja atau hitam saja. Tambah warna bertentangan sedikit saja untuk tampil lebih menarik.

Contohnya, pilih pakaian serba putih. Bagaimanapun, jika bertubuh rendah dan ingin tampak lebih tinggi, gaya monokromatik boleh membantu. Pakai serba putih atau hitam seluruh badan.

Memakai baju hitam dan seluar putih akan menyebabkan anda nampak lebih rendah sebab tubuh terbahagi kepada dua. Berbeza dengan menggayakan serba putih atau hitam.

Kesilapan biasa bila menggayakan monokromatik adalah dalam memilih motif atau corak pakaian. Ramai wanita fikir menggayakan motif atau corak yang sama dari atas ke bawah lebih padan.

Elakkan memilih corak yang sama untuk baju dan seluar kerana ia akan menyebabkan penampilan anda kelihatan lucu dan pelik. Mudah saja caranya iaitu kalau baju sudah ada motif bunga atau apa saja corak, sebaiknya padankan dengan seluar atau skirt hitam atau putih tanpa corak.

Jika terlalu kurus dan ingin kelihatan lebih berisi, gayakan corak atau motif bergaris horizontal atau mendatar. Jika ingin nampak tinggi atau cuba sembunyikan bahagian perut, gayakan corak menegak.

AKSESORI SESUAI

Tambah warna pada kasut, beg atau aksesori lain seperti tudung, rantai atau gelang kerana membantu menyerlahkan lagi gaya serba hitam atau putih yang anda gayakan.

Saiz aksesori seperti beg, tali pinggang dan barang kemas juga penting. Sekiranya anda bertubuh gempal, sebaiknya gaya beg atau tali pinggang lebih kecil.

Secara tidak langsung, ia boleh melindungi bahagian yang besar seperti perut daripada menjadi perhatian.

Begitu juga dengan barang kemas seperti rantai leher, gelang tangan malah jam tangan pun, kalau boleh elakkan yang terlalu besar.

Apa yang penting, penampilan perlu seimbang.

TIDAK ada istilah ‘salah’ dalam berfesyen dengan rona hitam atau putih.

Kasut hitam juga boleh membuatkan tubuh anda lebih tinggi. Ia memberikan bayangan kaki lebih panjang.

PUTIH ATAU HITAM PADA MUSIM PANAS?

Ramai menganggap warna hitam dianggap menyerap haba. Ini menyebabkan kulit terasa panas bila digayakan pada musim panas dan tidak selesa bila berada di luar rumah.

Sejauh manakah kebenarannya? Memakai baju hitam tidak semestinya akan buat anda lebih panas.

Walaupun warna hitam diketahi menyerap lebih banyak haba tetapi ia tidak semestinya dipindahkan kepada si pemakai.

Apatah lagi sekiranya baju yang dipakai tidak terlalu ketat dan longgar, haba akan hilang sebelum ia menyentuh kulit anda.

Berbeza dengan warna hitam, baju berwarna putih pula melantunkan cahaya putih. Seterusnya pemakai akan terasa tidak begitu panas.

Secara amnya, lebih baik memakai baju terang pada musim panas.

Tapi kalau anda pakai pelindung matahari, lebih baik pakai baju hitam kerana ia melindungi kulit daripada sinar matahari.

KENALI CIRI INDIVIDU YANG GEMAR BERBAJU HITAM

Selain ingin tampak langsing, kajian mendapati mereka yang gemar bergaya dengan baju hitam ingin diiktiraf dan berkuasa. Jadi, kalau berdepan dengan mereka, kenalah lebih serius.

Mereka juga seorang yang bercita-cita tinggi.

Mahu melindungi diri dari kritikan dalam mengejar impian. Mereka yang gemar menggayakan warna hitam juga sebenarnya sangat sensitif dan sangat berkeyakinan tinggi.

KENALI CIRI INDIVIDU YANG GEMAR BERBAJU PUTIH

Warna putih boleh menggambarkan aura positif dan negatif. Mereka yang gemar menggayakan warna putih selalunya gemarkan kebersihan dan kesucian.

Ia turut melambangkan ketulusan dan permulaan baharu yang sedang diimpikan pemakainya.

Di sisi negatif, putih boleh kelihatan terpencil. Pemakainya mungkin seorang yang gemar bersendirian. Bagi pandangan orang lain, dia mungkin seorang yang agak kurang gemar bersosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya