Suatu pesanan saya baca di WhatsApp, memberikan peringatan, berkat usia bila diisi dengan amal ibadat.
Katanya, kalau kita hidup melebihi 63 tahun dalam keadaan sihat, berkemampuan dan tidak menyusahkan anak-anak, ia suatu bonus.
Ingatan ini penting lantaran kita tidak boleh terlalu berharap dengan anak-anak.
Bukan kerana tidak percaya mereka tetapi angka usia dan hayat itu rahsia Allah.
Seorang rakan saya yang baru-baru ini kehilangan suami dan anak tunggalnya dalam sebuah kemalangan meninggalkan ingatan itu kepada saya.
Katanya, sebagai emak lebih-lebih lagi wanita, selalulah beringat, kita bertanggungjawab menjaga kebajikan diri sendiri, bukannya orang lain.
Kalau ada anak dan berkemampuan menjaga kita hingga ke hembusan nafas terakhir, itu namanya tuah dan nasib baik.
Saya membangkitkan isu ini sebagai mengingatkan sesuatu yang kita mungkin sudah terlupa mengenai negara ini bakal menjadi negara menua, kurang 10 tahun dari sekarang.
Apa persediaan kita ke arah itu?
Penuaan bukan setakat membabitkan kemudahan infrastruktur tetapi yang lebih mustahak lagi ialah bagaimana kita menyantuni warga emas.
Tidak kiralah darah daging sendiri atau orang sekeliling kita.
Media sosial dengan perang Pilihan Raya baru-baru ini, menjadi saksi perlakuan kita.
Kesal dan kecewa sebenarnya bila membaca komen orang muda yang rata-ratanya seolah-olah langsung tidak menghargai orang tua. Tidak sopan dan tidak beradab.
Banyak komen dilontarkan, sama ada kepada calon berusia, atau sesiapa sahaja yang agak berusia sebagai tidak berfungsi, dengan kenyataan seperti ‘lebih baik jaga cucu’.
Sedangkan ramai dalam kalangan warga emas kita yang masih boleh menyumbang tenaga dan buah fikiran kepada masyarakat.
Hanya kerana yang muda bercanggah pandangan dengan yang berusia, mereka diperkecil-kecilkan.
Saya lihat ramai warga pencen yang masih mahu berbakti kepada masyarakat tetapi terhalang dek pandangan masyarakat seolah-olah pada usia emas, mereka selayakkanya hanya duduk di rumah, berulang ke masjid atau ‘menjaga cucu’.
Ramai juga kenalan saya yang segan untuk aktif di media sosial memuatnaik aktiviti mereka lakukan kerana takut dilabel.
Biarpun aktiviti dilakukan bermanfaat seperti menyertai aktiviti mendaki bukit dan melancong, tetapi mereka takut membaca komen.
Kalau begitulah rupa ‘penghormatan’ kita kepada warga emas, memang amat mendukacitakan. Kita harus memberi mereka sokongan dan dorongan, bukannya mengkritik tidak tentu hala.
Lantaran itu, sebelum berbicara soal kemudahan dan infrastruktur, lebih baik tengok diri kita dahulu, sejauh mana kita menyantuni warga emas.
Jangan lupa, kita semua akan melalui fasa tua andai di panjangkan usia olehNYA.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia