Disiplin pelajar: Ibu bapa perlu tahu peraturan - Utusan Malaysia

Disiplin pelajar: Ibu bapa perlu tahu peraturan

Sejajar perubahan masa dan suara-suara hak asasi manusia serta kesan psikologi ke atas remaja, ia tidak lagi dilaksanakan lagi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masa bersekolah dulu, public canning bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ia hukuman yang cukup menakutkan, khususnya dalam kalangan pelajar lelaki.

Hukuman ini biasanya membabitkan masalah disiplin berat seperti ponteng sekolah dan menghisap rokok yang mana rata-rata pelajar dan ibu bapa sudah maklum mengenai akibat melanggar peraturan ditetapkan itu.

Biasanya sebelum hukuman maut itu dijalankan, guru disiplin sudahpun mengeluarkan beberapa kali amaran. Bukannya terusnya menghukum.

Sebenarnya malu bila kena tindakan itu bukan hanya di sekolah dan depan rakan-rakan sekolah yang lain sahaja. Tetapi rasa itu boleh melarat hingga ke rumah. Selalunya kalau ibu dan bapa tahu, hukuman tambahan pasti akan hinggap ke badan si anak.

Begitupun hukuman sedemikianlah yang menjadikan seseorang pelajar itu cekal dan belajar daripada sesuatu kesalahan dilakukannya. Pengajaran pun sebenarnya bertujuan mengelakkan pelajar daripada mengulangi kesalahan sama.

Pukul dan rotanpun pun bukannya keterlaluan. Kita biasa bertanya kepada kawan-kawan yang kena hukum. Sakit sudah pasti, tetapi pengajaran untuk mereka tidak mengulangi kesalahan sama.

Ada segelintir pelajar yang tak makan saman, tak takut pun dengan hukuman sedemikian. Malah ada yang setiap minggu namanya naik ke pentas untuk menerima public canning. Macam tak serik-serik.

Malah ada yang juga yang suka naik ke pentas sebab nama terkenal satu sekolah.

Sejajar perubahan masa dan suara-suara hak asasi manusia serta kesan psikologi ke atas remaja, ia tidak lagi dilaksanakan lagi.

Hari ini kalau ada yang kena tindakan sedemikian, akan pastilah ada segelintir ibu bapa yang serang sekolah. Itu belum lagi tekanan daripada peringkat atasan yang akhirnya memaksa guru berperanan sebagai cikgu, bukannya pendidik.

Kalau tanya cikgu-cikgupun, adakah yang mahu ambil peranan merotan? Kalau ada pun mungkin tidak ramai sebab tak sanggup nak bersoal jawab dengan pihak atasan.

Kalau tiba-tiba tular sebagaimana kejadian murid kena potong rambut dalam beberapa insiden sebelum ini, pasti isunya jadi lebih besar.

Dalam hal ini peraturan tetap peraturan. Ibu bapa perlu memastikan anaknya mengikut peraturan diperuntukkan. Namapun sekolah, tempat terbaik dalam mendidik anak-anak.

Saya pernah bertemu seorang pengetua sekolah pemulihan akhlak yang memberitahu antara punca pelajar sukar dibentuk dan mengikut peraturan ialah sikap ibu bapa sendiri yang tidak patuh peraturan.

Peraturan masuk asrama sebelum jam 6 petang bererti bukan 6.30 masih baru sampai ke pintu pagar sekolah. Kalau ibu bapa gagal ikut peraturan, sudah pasti anak ambil yang kurang manis itu sebagai panduan.

Segelintir ibu bapa memang ada yang patut ‘masuk sekolah’ semula khususnya bagi yang tolak ke tepi segala peraturan. Mahu ikut selera sendiri.

Kalau di rumah tidak ada peraturan, anak bebas masuk rumah macam hotel, sekurang-kurangnya tolonglah hormat peraturan sekolah. Satu Malaysia sudah tahu peraturan sekolah kembali ke asal sebelum pandemik.Kalau enggan, homeschooling, ajar anak sendiri.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita,
Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya