Bila kali akhir periksa kesihatan? - Utusan Malaysia

Bila kali akhir periksa kesihatan?

Bila kali terakhir anda periksa kesihatan diri? Lima tahun atau 10 tahun yang lalu?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bila kali terakhir anda periksa kesihatan diri? Lima tahun atau 10 tahun yang lalu?

Bagi wanita yang melalui proses kehamilan, mereka agak bernasib baik sebab status kesihatan diperiksa hampir setiap minggu atau bulan untuk memastikan tubuh sihat, tiada masalah dan fit sepanjang melalui tempoh kehamilan.

Tekanan darah perlu stabil. Gula juga perlu terkawal supaya proses kehamilan dan kelahiran tidak merisikokan ibu dan bayi.

Ramai wanita hamil berdepan masalah tekanan darah tinggi dan kencing manis waktu hamil, bebas selepas kelahiran. Tetapi ada juga yang kekal dan terus hidup bersamanya walaupun bayi sudah lahir. Bagi saya mereka ini lebih bernasib baik, dibandingkan dengan individu lain yang tidak pernah pun melakukan pemeriksaan kesihatan.

Sebenarnya ada baiknya juga bila kita sudah tahu ada penyakit. Secara psikologi kita akan lebih bijak menguruskan sakit sendiri. Lebih-lebih lagi penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan darah tinggi, tiada ubat. Ia hanya memerlukan pengurusan dan perubahan gaya hidup ke arah lebih baik.

Bagi lelaki atau kaum suami bagaimana pula? Saya bertanya kepada beberapa rakan sekerja lelaki mengenai pemeriksaan kesihatan. Rata-rata tidak dapat memberikan tarikh yang jelas bila kali akhir membaca tekanan darah.

Sebabnya? Kita selalu menyangka diri sihat, tanpa menyedari itulahlah sebenarnya ‘penyakit’ kita.

Akhbar baru-baru melaporkan ramai bakal jemaah Haji kecewa kerana menyangka diri bebas daripada penyakit tetapi pemeriksaan kesihatan ‘tidak lepas’ Selain usia lebih 65 tahun, kencing manis dan tekanan darah tinggi tidak terkawal antara penghalang jemaah untuk ke Mekah.

Lebih-lebih lagi proses pengesahan kesihatan tunai haji yang cuma seminggu tempohnya menyebabkan jemaah tidak sempat nak buat apa. Nak ubah diet pun tidak sempat.

Berbeza untuk tahun sebelum-sebelum ini, jemaah sempat dirawat untuk beberapa bulan sebelum dibenarkan menunaikan rukun Islam kelima itu.

Waktu pandemik ini syarat di kenakan oleh Arab Saudi sangat ketat.

Hanya insan yang sihat sahaja yang dibenarkan berlepas ke Tanah Suci.

Kalau tidak mengizinkan, tunggulah tahun berikutnya kalau ada rezeki menerima panggilan Baitullah.

Tahun ini hanya 14,306 sahaja kuota jemaah untuk Malaysia. Ketika ini ramai bakal jemaah Haji sedang sibuk melakukan persiapaan untuk ke tanah suci dengan tarikh penerbangan sudahpun diketahui.

Semoga insiden ramai jemaah tidak layak ke Tanah Suci atas faktor kesihatan ini, menjadi pengajaran kepada kita semua untuk lebih mengambil cakna tentang status kesihatan diri.

Wanita dan ibu kena prihatin. Ingatkan suami dan ahli keluarga yang lain. Segeralah lakukan pemeriksaan. Lakukan atas rasa tanggungjawab pada diri sendiri.

Memang mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Kalau sihat yang untungnya kita juga.

———-

Nor Afzan Mohamad Yusof adalah Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya