Jangan dengar cakap-cakap pihak di luar kerajaan - Bersatu Johor - Utusan Malaysia

Jangan dengar cakap-cakap pihak di luar kerajaan – Bersatu Johor

MOHD. SOLIHAN BADRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyarankan agar Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad tidak terpengaruh dengan cakap-cakap individu di luar kerajaan negeri yang mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Ketua Penerangannya, Mohd. Solihan Badri berkata, hal itu kerana keputusan berhubung isu berkenaan sepatutnya dibuat oleh mereka yang mentadbir dalam kerajaan negeri dan bukannya daripada individu dalam parti politik.

Sehubungan itu, katanya, Hasni perlu yakin dengan kepimpinan beliau yang disokong Bersatu dan juga Perikatan Nasional (PN) yang mahu beliau mempertahankan kerajaan negeri sedia ada.

“Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad perlu yakin dengan kerajaan yang dipimpin kerana semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbukti sepakat menyokong dan mempertahankan kestabilan politik negeri ini.

“Menteri Besar juga disaran tidak terpengaruh cakap-cakap pihak di luar kerajaan kerana yang memerintah Kerajaan Negeri bukan parti.

“Hasni juga perlu yakin dengan sokongan padu Bersatu serta PN Negeri yang teguh mempertahankan kerajaan negeri sedia ada supaya pelan pemulihan negara dapat dilaksana dengan lancar demi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau membuat kenyataan itu selepas tarikh 15 Januari yang sebelum ini dikatakan bakal menyamai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berlalu, semalam.

Justeru, katanya, semua pihak diminta tidak membuat spekulasi mengenai tarikh lain berhubung PRN Johor sehingga satu tempoh yang lebih sesuai apabila rakyat boleh menilai prestasi kerajaan negeri.

“Bersatu Johor tidak bimbang walaupun kerajaan negeri hanya mempunyai majoriti satu kerusi di DUN, selagi mana kerajaan melaksanakan pelan pembangunan, membuat keputusan tepat dan memanfaatkan rakyat selain kekal berintegriti.

“Wakil Pakatan Harapan (PH) dalam DUN Johor turut bersetuju apabila menyokong Bajet Johor 2022 dan terbaharu, mereka menyokong pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 pada 6 Januari 2022 lalu bagi menurunkan had umur warga negara yang layak menjadi ADUN di Johor daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Oleh itu, keutamaan Menteri Besar sekarang adalah meningkatkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri kerana ia menjadi kunci untuk dinilai, diterima dan disokong bukan sahaja rakyat malah wakil-wakil PN dan PH dalam DUN Johor,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd. Solihan yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri turut merumuskan spekulasi PRN Johor adalah omong kosong politik.

“Ini kerana tidak ada sebab bagi mana-mana ADUN untuk keluar parti masing-masing dan menjadi wakil rakyat bebas dalam situasi sekarang.

“Hal ini kerana yang menjadikan keutamaan semua pihak ketika ini adalah mentadbir urus, melaksanakan pembangunan serta menggerakkan ekonomi untuk rakyat,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya