KUALA LUMPUR : Anggota kumpulan Hijjaz, Mohd Faizal Osman, tidak menyangka perbualannya dengan individu yang mengaku merupakan seorang anggota tentera Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mungkin menjadi punca Facebook Hijjaz digodam dengan paparan gambar tidak senonoh.
Menurut Faizal, sebagai pengurus media sosial Hijjaz, dia mengaku baru-baru ini ada menerima mesej menerusi aplikasi Whatsapp daripada individu tersebut yang tidak dikenalinya namun melayan perbualan tersebut kerana ia berkaitan inisiatif menaikkan lagi promosi perniagaan dalam Facebook mereka.
“Dia mengaku sebagai anggota tentera AS yang kini berkhidmat di Afghanistan dan tahu macam mana cara untuk memeriahkan lagi promosi perniagaan kerana turut berperanan di bahagian pemasaran Facebook.
“Saya fikir, mungkin dia tahu kami pun ada perniagaan dan gunakan platform itu sebagai satu daripada cara berniaga. Jadi menerusi Whatsapp dia ada berikan pautan untuk kami tekan.
“Menerusi pautan yang diberikan, saya boleh selanggara akaun untuk tujuan tersebut. Tapi tahu-tahu perkara sudah jadi macam ini. Saya rasa mungkin disebabkan itulah puncanya, tak tahulah kalau ada pihak lain yang menggodam akaun Hijjaz,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Faizal berkata demikian bagi mengulas isu akaun Facebook digodam yang memaparkan gambar tidak senonoh di bahagian Facebook Story dalam kejadian yang berlaku hari ini.
Selain itu, kata Faizal, dia yang mengetahui perkara tersebut pada jam 4 pagi tadi kemudiannya mengaku menerima banyak panggilan daripada teman-teman dan peminat yang meminta agar pihaknya melakukan sesuatu.
Sehubungan itu, demi enggan nama baik kumpulan Hijjaz terjejas ekoran isu ini, Faizal telah meminta bantuan seorang daripada rakan yang mahir berkaitan pengendalian Internet untuk membuat laporan.
“Keempat-empat anggoat Hijjaz termasuk saya telah disekat untuk memasuki akaun tersebut. Jadi kami minta bantuan rakan yang mahir untuk cuba menyelesaikan masalah ini termasuk cuba mendapatkan semula akaun itu yang mempunyai kurang lebih 600 ribu jumlah pengikut,”katanya.
Selain itu, tambah Faizal, sebelum ini juga dia pernah menerima mesej yang sama daripada individu lain yang juga mengaku sebagai seorang daripada tentera AS selain beberapa panggilan pelik lain daripada individu yang tidak dikenali.
“Saya rasa, ini mungkin ada kaitan dengan keaktifan kami dalam menyuarakan sokongan kepada Palestin dan Anti-Israel. Kebetulan, akaun itu banyak digunakan untuk tujuan tersebut termasuk berniaga barangan yang memaparkan sokongan kepada Palestin.
“Mungkin daripada situ, Hijjaz telah menjadi sasaran mereka. Sebenarnya, ramai pemilik akaun di media sosial yang merupakan ustazah atau ustaz terkena dengan isu begini.
“Kawan saya yang bantu dapatkan semula akaun ini juga sering sahaja menolong ustaz atau ustazah yang mana akaun mereka digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.
“Kadang-kadang, ada antaranya menggunakan akaun itu untuk dapatkan duit. Ada yang beritahu, akaunnya digodam dengan penjual ubat kuat lelaki dan mengalami kerugian RM3,000 ke RM4,000 juga untuk cuba mendapatkan semula akaun,”katanya.
Dalam pada itu, Faizal berharap peminat dan pengikut akaun mereka buat sementara ini bertenang kerana pihak mereka sedang cuba membaik pulih isu ini selain berharap tidak berlaku salah faham mengenai paparan imej tidak senonoh yang dilihat.
Untuk rekod, selain Faizal, kumpulan Hijjaz dianggotai oleh Muniff Ahmad, Isman Nadim Isam dan Salleh Ramli.