BEIJING: Teknologi pengawasan terbaharu China kini berupaya memantau pergerakan dari angkasa lepas menerusi penciptaan kamera perisik paling berkuasa di dunia, lapor akhbar South China Morning Post.
Saintis di Beijing berjaya membangunkan kamera tersebut yang mampu mengenal pasti butiran wajah manusia atau objek dari jarak melebihi 100 kilometer, sekali gus membolehkan satelit pengintip memantau mana-mana ‘individu dikehendaki’ di permukaan bumi dengan jelas.
Kamera berkenaan juga berupaya mengambil imej resolusi tinggi terhadap satelit tentera asing yang berada di orbit bumi.
Teknologi tersebut dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Maklumat Aeroangkasa di bawah Akademi Sains China di Beijing dan dijangka dilancarkan ke angkasa dalam masa terdekat.
Sistem ini menggunakan teknologi sintetik aperture lidar (SAL) yang menghantar denyutan cahaya dan mengukur tenaga yang dipantulkan semula, membolehkan penciptaan imej 2D dan 3D walaupun dalam pelbagai keadaan cuaca serta waktu siang atau malam.
Menurut laporan, ujian yang dijalankan di Tasik Qinghai di barat laut China menunjukkan kamera itu mampu mengesan butiran sekecil 1.7 milimeter dari jarak 101.8 kilometer dengan ketepatan ukuran sejauh 15.6 milimeter.
Menurut Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), China kini mengendalikan sekitar 300 satelit pengawasan di orbit rendah, termasuk Yaogan-41 yang dilancarkan pada Disember 2023, berupaya mengesan objek sebesar kereta di seluruh rantau Indo-Pasifik.
Kamera perisik canggih ini juga berpotensi dipasang di Stesen Angkasa Tiangong, pesaing kepada Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), yang bergerak pada kelajuan 27,000 kilometer sejam di orbit rendah bumi antara 340 hingga 450 kilometer dari permukaan bumi.
China sebelum ini mencetuskan kebimbangan Amerika Syarikat susulan penggunaan ‘belon pengintip’ yang didakwa Beijing sebagai alat pemantauan cuaca.
Negara tembok besar itu kini terkenal dengan teknologi pengawasan canggih seperti sistem pengenalan wajah, aplikasi pemantauan telefon pintar serta sistem penarafan sosial bagi memantau dan menyenarai hitam individu yang dianggap tidak boleh dipercayai.