Kopi Satu bawa nolstagia kampung - Utusan Malaysia

Kopi Satu bawa nolstagia kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA nak kopi, satu.” Bermula daripada ayat rasmi pencinta kopi setiap kali menempah pesanan, akhirnya diangkat menjadi nama sebuah kafe yang terletak di Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu.
Kopi Satu membawa konsep berbeza apabila beroperasi di rumah pusaka berusia lebih 50 tahun, sekali gus menghidupkan semula nostalgia seperti berada di desa tercinta.
Kali pertama menjejakkan kaki ke kafe, pelanggan pasti terpesona melihat keindahan rekaan rumah kayu berwarna kuning dengan halaman yang luas dan bersih.
Idea kreatif mengetengahkan kediaman lama sebagai premis perniagaan itu dicetuskan dua rakan baik, Siti Salwa Saari, 27, dan Tengku Zuhairi Tengku Ibrahim, 22, bagi mencipta kelainan di samping membangkitkan suasana berbeza berbanding kafe sedia ada.
Siti Salwa berkata, Kopi Satu yang dibuka sejak Jun 2021 merupakan kafe pertama di Kuala Terengganu yang menampilkan konsep rumah lama dengan segala operasi termasuk memasak dan menikmati hidangan dilakukan dalam premis berkenaan.
Katanya, berbekalkan pengalaman bekerja di kafe di samping minat terhadap kopi, mereka memberanikan diri mengusahakan perniagaan sendiri berbekalkan modal RM50,000.
“Rumah ini didiami arwah datuk Tengku Zuhairi dan kemudian dijadikan sebagai inap desa, namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan premis ini ditutup lama.
“Maka, timbul idea untuk menjadikan rumah ini sebagai kafe dan tidak sangka idea kami mendapat sambutan positif, malah rata-rata pelanggan teruja dapat menikmati sajian di dalam rumah seolah-olah mengimbau kenangan berada di kampung masing-masing,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Siti Salwa berkata, secara purata jualan di Kopi Satu mencecah 100 tempahan setiap hari dengan tarikan utamanya kopi dalgona Korea selain sajian tempatan dan Barat seperti nasi lemak, pasta, snek di samping aneka pastri serta kek.
Sementara itu, Tengku Zuhairi berkata, harga makanan bermula dari RM3 manakala minuman pula antara RM6 hingga RM15.
“Harga yang ditawarkan terutama bagi minuman adalah berpatutan terutama dengan kualiti biji kopi segar yang kita gunakan.
“Pelanggan di Kopi Satu kebanyakannya orang muda di samping golongan berkeluarga dan selain menjamu selera, ada juga datang untuk mengambil gambar serta bersantai. Malah, kita juga dalam perancangan membuka ruangan khas bagi penganjuran acara di sini,” katanya.
Dalam satu-satu masa kafe itu boleh memuatkan sehingga 35 pelanggan di bahagian dalam manakala di ruangan beranda dan halaman pula kira-kira 20 orang.

KOPI SATU


Waktu operasi: 10 pagi hingga 10.30 malam

Tutup: Rabu
Lokasi: E-387, Lorong Merpati, Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu, Terengganu
Instagram:
https://instagram.com/kopisatu.my

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya