Balbuk Haus ‘cafe’ tengah bendang

Balbuk Haus ‘cafe’ tengah bendang

balbuk haus
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUASANA nyaman dan tenang dapat dinikmati sebaik sahaja melangkah masuk ke Balbuk Haus yang terletak di tengah sawah di Kampung Balik Bukit, Chuping, Padang Besar, Perlis.

Dikelilingi sawah padi menghijau dengan berlatar belakang Bukit Chuping, kafe berkonsepkan kesenian, alam dan budaya itu memberikan 1,001 pengalaman menarik kepada pelanggan.

Diusahakan oleh pasangan suami isteri, Ahmad Soffi Abdul Manah, 33, dan Majidah Syamila Jasmi, 32, Balbuk Haus menyediakan beberapa menu istimewa seperti nasi lalap, mee lalap serta roti panggang.

Sambil merasai hidangan, pengunjung boleh menikmati keindahan alam sekitar dalam suasana kampung di ruang makan yang disediakan seperti bilik kaca, pondok terbuka, dan perpustakaan mini di situ.

Malah, pelanggan juga boleh makan atau berkelah di sawah padi.

Ahmad Soffi berkata, nasi lalap, menu utama atau tumpuan di Balbuk Haus itu adalah resepi keluarga isterinya dari Tawau, Sabah.

Katanya, nasi lalap adalah kombinasi nasi putih, ayam yang direbus menggunakan rempah terpilih, ulam-ulaman dan sambal Tomat yang mereka hasilkan sendiri.

Ujarnya, selain nasi lalap yang popular di Sulawesi, Indonesia itu, mereka juga menyediakan menu lain seperti mee lalap dan set roti panggang dengan masing-masing berharga serendah RM7.50.

“Di sini, persekitarannya berkonsepkan seni, sastera dan budaya selain suasana kampung yang dikelilingi sawah padi dan berlatar belakangkan bukit. Istimewanya lagi, kita juga menyediakan sebuah pondok perpustakaan mini yang mana pelanggan boleh menikmati hidangan sambil membaca pelbagai koleksi sastera dan bahan bacaan lain,” katanya.

Tambah Ahmad Soffi, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan termasuk dari pengunjung seluruh negara yang singgah apabila bercuti di negeri ini.

“Balbuk Haus juga adalah salah satu lokasi yang diletakkan dalam pemetaan jelajah Seni Malaysia oleh Balai Seni Negara. Kita juga sering adakan aktiviti kesenian seperti persembahan puisi, muzik, diskusi dan forum,” katanya.

Selain itu, katanya, mereka juga bakal adakan pameran seni dan kelas seni selepas ini.

“Datang bawa damai, pulang bawa cinta, itu perasaan yang mungkin dapat dirasai apabila berkunjung ke Balbuk Haus,” katanya yang memaklumkan kafe itu beroperasi sejak dua tahun lalu.

BALBUK HAUS

 

Alamat:
Kampung Balik Bukit, Chuping, Padang Besar, Perlis
Waktu Operasi :
6 petang – 12 tengah malam
Facebook : Balbuk Haus
Instagram : balbukhaus

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya