Rusuk dengan daun teh jasmin - Utusan Malaysia

Rusuk dengan daun teh jasmin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masakan Cina Muslim sekarang memang mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia. Menu-menu seperti itik panggang, dim sum, daging tumis halia dan aneka makanan laut dimasak dengan kaedah tumis kilas sering memenuhi meja.
Antara restoran yang harus diberi perhatian lantaran kelazatan dim sum adalah Asiari Asian Oriental Cuisine. Mula bertapak seawal 2005, Mingguan Malaysia berpengalaman menikmati juadah enak di cawangannya di Bangi, baru-baru ini.
Menurut pengurus yang juga perunding operasi, Noor Azian Hashim, 46, Asiari mengetengahkan konsep masakan oriental mesra Muslim.
“Dengan puluhan jenis hidangan yang rata-rata berkonsepkan masakan Cina, kami menyediakan pilihan makanan yang bersih, halal dalam restoran serba luas.
“Kekuatan kami bukan saja pada kualiti dan harga yang berpatutan, malah kami juga dikenali dalam kalangan penggemar masakan oriental kerana keenakan dim sum yang pelbagai jenis,” katanya.

LADU BERSUP
Dia menjelaskan, pelanggan yang datang di restoran, pasti akan memesan hidangan dim sum.
“Di sini, dim sum atau disebut ladu, dibuat sendiri oleh cef berpengalaman. Ini berbeza dengan sesetengah restoran, yang mana ada yang mendapatkan bekalan ladu dari kilang-kilang pembekal.
“Beza ladu buatan sendiri, pertama adalah tekstur kulit yang kenyal namun lembut. Tekstur juga berbeza antara satu ladu dengan yang lain.
“Jadi kepelbagaian tekstur ini akan memberi pengalaman menjamu selera menyeronokkan. Pendek kata, inilah yang disebut sebagai air tangan, dan bukan produk kilang,” jelasnya.
Antara ladu yang popular di sini adalah Yin Yang Xiao Long Bao, Golden Lava Bun, Hong Kong Style Radish Cake serta Mushroom Bun.
“Ladu Ying Yang di sini sangat cantik, ia ada dua warna berbeza iaitu hitam dan putih, ibarat ying yang dalam kepercayaan kaum Cina. Ladu ini berinti protein dan sayur bersup, dan inilah yang disebut sebagai soup dumpling atau ladu bersup,” katanya.

RUSUK DAUN TEH JASMIN
Selain itu, Noor Azian turut menghidangkan kami sepinggan menu berasas daging yang luar biasa, malah agak lain daripada yang lain. Menu itu adalah Jasmine Tea Smoked Beef Ribs.
“Daging bertulang rusuk yang lembut diasapkan menggunakan daun teh jasmin. Kemudian, ia disalut pula kuah pekat yang ditumis kilas, sambil diadun aneka rempah ratus oriental.
“Hasilnya, sepinggan hidangan tulang rusuk yang manis, lemak dan berempah menanti untuk dijamah,” jelasnya panjang lebar.
Selain itu, menu lain yang turut dihidang adalah Creamy Butter Prawn, Black Truffle Fried Rice serta Wok Fried Rice Noodles With Sliced Beef.
“Ramai memuji hidangan Wok Fried Rice Noodles di sini. Ia menu kuey teow yang digoreng bersama hirisan daging.
“Cef menggunakan teknik khas memerap daging, menjadikan setiap hirisan lembut dan cair dalam mulut. Kemudian, ia digoreng bersama kuey toew dalam kuali wok yang menggunakan api besar. Teknik ini menghasilkan hidangan yang ada aroma ‘wok hei’, atau disebut sebagai ‘nafas kuali’. Inilah yang menjadikan rasanya luar biasa,” katanya.

CEF BERPENGALAMAN
Dapur Asiari juga diselia beberapa cef berpengalaman dalam penyediaan masakan Cina dan oriental.
“Antaranya, ada yang pernah bertugas di hotel Atlantis, iaitu hotel 5 bintang terkenal di Dubai, malah restoran itu dinobatkan restoran Cina terbaik di Dubai.
“Seorang cef lain juga pernah bertugas di Hakassan, iaitu restoran yang menang anugerah Bintang Michelin dan sohor sebagai restoran Cina popular di kota London,” katanya.

Asiari Asian Oriental Cuisine

Alamat: No. 10 dan 11 G1, Jalan Medan PB2A, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor
Waktu operasi: 2 petang – 11 malam (pada bulan Ramadan)
Harga makanan: Bermula serendah RM9.50

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya