TIDAK ramai pengusaha tempatan yang berani mempertaruhkan menu masakan Barat sebagai pembuka selera atau juadah sarapan pagi bagi menarik pelanggan.
Apatah lagi di Terengganu yang terkenal dengan keenakan dan kepelbagaian hidangan tradisi seperti nasi dagang, nasi minyak, nasi kerabu, laksam dan aneka kuih-muih.
Namun, percubaan Puteri Khalisah Adila Abdul Muiz Khairi, 35, mengetengahkan menu ala Barat berjaya apabila Jolly Good Cafe miliknya di Kuala Terengganu mendapat sambutan luar jangkaan daripada pelanggan.
KONSEP ‘HOME CAFE’
Puteri Khalisah Adila berkata, Jolly Good yang beroperasi sejak 5 Januari lalu pada awalnya adalah stor terbiar di pekarangan rumahnya sebelum diubah suai kepada kafe.
Katanya, idea untuk mengusahakan kafe berkonsepkan rumah atau home cafe itu tercetus bagi memberi kelainan sekali gus menambah keselesaan pelanggan seperti berada di kediaman sendiri.
Menurutnya, sebelum membuka kafe berkenaan, dia terlebih dahulu memiliki perniagaan bakeri dengan menghasilkan brownies dan biskut berjenama Big Cookie Theory di Kuala Lumpur.
“Saya dapati amalan bersarapan dalam kalangan masyarakat negeri ini cukup baik dan saya nekad membuka kafe dengan kos hampir RM100,000.
“Saya terkejut dengan sambutan luar biasa pada awal pembukaan sehingga tidak dapat menampung pesanan pengunjung selain ada yang datang sekadar untuk bergambar,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
GABUNGAN MENU BARAT
Walaupun hanya beroperasi empat hari seminggu, Jolly Good mempunyai keunikan tersendiri berbanding kafe-kafe lain yang menyediakan pelbagai hidangan Barat di sekitar daerah ini.
Puteri Khalisah Adila memberitahu, dua menu utama disajikan kepada pelanggan dan senarai itu berubah setiap minggu mengikut kepada kesesuaian atau permintaan.
Katanya, antara menu adalah Australian avocado toast bersama telur, salad Mediterranean Australia, pasta sos tomato berkrim dan spageti selain pelbagai hidangan pencuci mulut lain.
“Malah, saya juga pernah mencuba gabungan hidangan Asia seperti kari ikan salmon Thai bersama roti prata dan lontong istimewa Medan.
“Variasi menu ini adalah kekuatan kafe saya selain konsep masakan sihat dengan menggunakan minyak zaitun dan bahan diimport tanpa perasa tambahan,” katanya.
RANCANGAN MASA PANJANG
Bagi memastikan kualiti masakan dan hidangan kekal pada tahap terbaik serta memuaskan hati pelanggan, Puteri Khalisah Adila mengakui belum terfikir untuk meluaskan jenama Jolly Good.
“Sebagai seorang yang mementingkan kualiti berbanding kuantiti, belum masanya untuk saya membuka cawangan baharu di tempat lain.
“Kepuasan pelanggan adalah keutamaan dan saya mahu mereka yang datang ke sini merasai pengalaman bersarapan hidangan Barat seperti di rumah sendiri,” katanya.
Jolly Good Cafe
Lokasi: Jalan Negara, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu operasi: Rabu/Khamis (8 pagi – 3 petang), Jumaat/Sabtu (8 pagi – 5 petang)
Tips: Sentiasa ikuti perkembangan di media sosial kerana menu berubah setiap minggu.