Aneka hidangan lazat di 10 Grams Bakers and Steak - Utusan Malaysia

Aneka hidangan lazat di 10 Grams Bakers and Steak

Antara menu yang terdapat di Restoran 10 Gram Bakers & Steak di Tamarind Square, Cyberjaya. -MINGGUAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kunjungan kru Mingguan Malaysia ke restoran yang satu ini, disambut meriah Pengurus, Nursyafiqa Mohd. Redzuan, 25. Petah memberi keterangan tentang hidangan-hidangan menarik, dia bercerita pengalaman pahit manis membangunkan jenama 10 Gram Bakers and Steak.
Ceritanya, umpama menanam benih pepohonan yang perlu dibajai kudrat dan keringat bagi mendapatkan hasil buah yang ranum, begitulah ibaratnya mencambah jenama ini agar dikenali ramai.
“Dahulu saya masih ingat, untuk mempromosikan jenama ini, kami buka booth dan mengedar risalah kepada pengunjung di Tamarind Square, Cyberjaya. Kami juga giat melakukan promosi lain.
“Alhamdulillah, semua itu mula membuahkan hasil apabila jenama kami mendapat tempat dalam kalangan peminat makanan. Kini, kami bertapak di tujuh cawangan di sekitar Lembah Klang, malah ada juga di Kuantan,” katanya.

UNIK DARI YANG LAIN
Di sebalik persaingan sengit, yang menyaksikan restoran berkonsep makanan Barat dan hipster muncul ibarat cendawan lepas hujan, Nursyafiqa berkata, restoran ini tampil dengan beberapa keunikan dan kekuatan tersendiri.
“Pertama, bahan asas disediakan sendiri oleh cef secara in-house. Ini bermaksud, kita memproses sendiri setiap ramuan termasuk pes, rempah ratus dan lain-lain.
“Dalam contoh pastri dan kek misalnya, cef sendiri yang menghasilkan produk-produk tersebut. Ini sekali gus menjamin kesegaran dan memastikan kualiti rasa yang konsisten,” jelasnya.
Katanya, antara kekuatan di sini termasuk hidangan berasas stik, selain aneka minuman yang unik.
“Kami menawarkan aneka pilihan stik yang menggunakan daging berkualiti premium. Stik striploin serta ribeye yang paling disebut-sebut kerana teknik penyediaan yang teliti dan sangat rapi. Ia menghasilkan tekstur lembut dan berjus,” terangnya.
Selain itu, katanya, menu berasas piza juga antara mendapat sambutan hangat.
“Di sini, piza hawaiian lamb mendapat sambutan. Ia disediakan meng­gunakan doh khas yang nipis dan rangup. Ini sekali gus menaikkan rasa topping yang lazat. Kami menggunakan daging kambing yang dimasak semalaman, maka sensasi rasa daging kambing yang beraroma itu jelas ketara,” ujarnya.
Pada masa sama, katanya restoran ini turut menawarkan 41 menu makanan beraneka jenis, malah ada 25 jenis minuman.
“Kami ada beraneka jenis minuman unik. Ini terutama dari jenis healthy infused cold brewed tea, yang mana kami menyajikan teh yang diberi sensasi rasa buahan segar seperti limau, nanas, timun dan strawberi. Ia sangat sesuai dipadankan dengan hidangan utama yang lemak berkrim, kerana teh sebegini menyeimbangkan rasanya,” jelasnya.

LEMBUT TAK TERKATA
Antara menu yang dijamu termasuk 10 gram striploin steak, pasta almond and chicken, hawaiian lamb pizza serta signature molten egg.
Paling menarik adalah stik. Ia didatangkan bersama hidangan sampingan lengkap karbohidrat serta aneka sayuran. Ini termasuk scalloped potato, tomato ceri yang dibakar serta garlic confit. Menggunakan daging bahagian striploin atau batang pinang yang terkenal premium dan mewah, setiap gigitan sangat lembut.
Kata Nursyafiqa, pelanggan disarankan membuat tempahan meja seminggu lebih awal, terutama pada hujung minggu.
“Amat disyorkan untuk tempah satu ada dua minggu lebih awal untuk tempahan meja hujung minggu. Lebih-lebih lagi bagi pelanggan yang datang secara berkumpulan.
“Sebab kita risau jika ada pelanggan yang datang dari jauh, tapi tak dapat meja,” katanya.

Bakers
and Steak

Lokasi: A-03-09, Tamarind Square, Cyberjaya, 63000 Cyberjaya, Selangor
Tel: 010-210 9210
Menu: 10 Gram striploin steak, pan-seared salmon, hawaiian lamb pizza, egg benedict
Tips: Disarankan buat tempahan meja terutama bagi pelanggan berkumpulan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya