Sebagai sumber protein utama, data dicerap di laman poultryworld.net pada 2019 menunjukkan nilai pasaran ayam seluruh dunia mencecah AS$231.5 bilion, dengan China, Amerika Syarikat (AS) dan Brazil menduduki tangga teratas paling banyak makan ayam pada tahun itu; China sebanyak 20 juta tan, AS 19 juta tan dan Brazil 12 juta tan.
Melihat kepada angka ini, maka tidak hairan apabila rencana minggu ini membawa pembaca menyusuri lorong-lorong di Teras Jernang, Kajang untuk menikmati juadah ayam goreng lazat yang keraknya rangup bermelodi kruk-kruk saat dikunyah.
LATAR BELAKANG
Restoran yang dikunjungi minggu ini adalah Muiz Hot Chicken Bangi. Terletak di tengah-tengah kesibukan pekan Teras Jernang yang sentiasa menyaksikan kenderaan bertali arus menuju sama ada Bandar Baru Bangi mahupun Universiti Kebangsaan Malaysia, pengusaha bisnes ini, Mohd. Faridzul Asyraf Mat Arifin, 33 berkata sebagai anak muda, dia menyahut cabaran berniaga apabila melihat peluang terbentang luas.
“Oleh kerana lokasi strategik, maka saya mendapat ilham membangunkan tapak makanan tepi jalan (street food) yang menempatkan jenama-jenama popular di bawah satu bumbung.
“Susulan itu, sejak 2019 saya membangunkan tapak perniagaan di Teras Jernang ini, menempatkan empat jenama makanan iaitu Italy Melayu (spaghetti), Syukor Burger, Muiz Hot Chicken dan Satay Wong Kampung Bangi,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
AYAM KRUK-KRUK!
Menjamah ayam goreng panas-panas, memang mengasyikkan. Jelas terpamer keluhuran pekerti tuan kedai meraikan kunjungan kami, apabila dihidangkan berketul-ketul ayam yang bear-besar saiznya. Saat diangkat dari kuali, bau harum semerbak.
Ayamnya digoreng jeluk menggunakan suhu terkawal dan konsisten. Hasilnya, ia rangup pada bahagian luar, namun mengekalkan segala jus dan lembapan pada bahagian isi. Saat dikunyah, macam makan keropok bunyinya. Ada rasa pedas berempah, disulam rasa ayam segar yang manis berjus.
Memberi lebih sensasi kepada menu ini, Mohd. Faridzul turut menyediakan dua sos khas iaitu keju dan sos cili korea. Tatkala potongan ayam dicelup sos keju masuk ke mulut, terpejam mata menikmati kelazatan kombinasi itu. Sosnya cukup segala rasa; manis, lemak, masin dan harum mewangikan hidangan.
Ini ternyata bukan kenyataan yang dibuat-buat, malah dibuktikan melalui angka jualan luar biasa.
“Kami menjual secara purata 1,000 ketul ayam goreng setiap hari, dan hujung minggu, jumlah itu meningkat,” katanya.
BURGER KAMBING
Belum sempat mengangkat bendera putih tanda kekenyangan, disuakan pula tiga burger berbeza iaitu kambing, ayam dan daging. Tanpa sempat buat pilihan, pantas sahaja burger kambing dimasukkan ke mulut.
Nah, sekali lagi mata terpejam saat kunyahan pertama. Aduhai, lembutnya kepingan daging kambing tersebut, ibarat mengunyah marshmallow! Aroma yang terbit usah ditanya. Barangkali menggunakan nisbah daging dan lemak yang tepat sewaktu menghasilkan kepingan (patty) tersebut, maka sensasi rasa kambing semulajadi yang kaya protein jadi sangat mengujakan.
SATAY BATANG PINANG
Menyuntik pengalaman gastronomi yang kaya kepelbagaian, tapak niaga ini turut menempatkan gerai satay istimewa.
“Satay di sini, iaitu Satay Wong Bangi, memang ada kekuatan tersendiri. Selain harga kompetitif, kami turut menggunakan bahagian batang pinang untuk satay daging. Ini memang bahagian premium yang terkenal lembut dan manis,” katanya.
Pengalaman menjamah satay batang pinang itu ternyata membenarkan kenyataannya. Saat dikunyah, daging lembut itu ternyata sangat bertekstur. Dicecah dalam kuah kacang yang dimasak sempurna, segala aroma serai, lengkuas dan rempah ratus membaluti potongan daging yang padat berisi itu ternyata membuatkan kunjungan kali ini, benar-benar berbaloi!
»Alamat: Jalan Damai, Kampung Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Selangor
»Telefon: 016-9640972
»Menu luar biasa: Ayam goreng rangup, spagheti, satay batang pinang dan burger kambing
»Tempahan: Layari laman web italymelayu.com