Aktor komedi Hollywood, Kevin James pernah menyebut: “Tiada perasaan yang lebih membahagiakan, apabila ada sekotak piza yang hangat di atas riba.”
Piza satu menu global, boleh ditemui di ceruk bandar Cotabato di Mindanao (Picante Pizza) yang penuh askar upahan bagi membanteras militan Abu Sayyaf, sehinggalah ke bandar moden New York yang dipenuhi ‘serigala kewangan’ Wall Street. Pun begitu, walau di mana ia dihidangkan, menu berasas tepung yang disadur sos tomato ini berkongsi sejarah unggul kisah sebuah keperitan hidup manusia.
Menurut laman History.com dalam rencana “Who Invented Pizza?”, menu ini dikhabarkan mula ditemui di Greek seawal 600 S.M. Namun, ribuan tahun kemudian, sekitar kurun 1700, ia muncul pula di Naples, Itali.
Warga Naples ketika itu, yang hidup miskin memerlukan satu menu ringkas yang boleh dihidang dan dijamah dalam kadar segera. Carol Helstosky, penulis buku “Pizza: A Global History” menjelaskan, bahawa mereka pada waktu itu meletakkan tomato, keju, minyak, ikan bilis dan bawang putih sebagai lapisan atas (topping) piza.
KHIRWAN’S PIZZA PARLOR
Ribuan kilometer dari Naples, di sebuah tempat di Bukit Jelutong, tiga anak muda Melayu bangkit menerjah ganasnya lautan bisnes penuh liku, dengan membawa warga setempat menikmati piza hangat dibakar dalam ketuhar batu bata.
Menurut pengusaha, Khirwan Muzakir Khir Anuar, 34, jenama tersebut mula diketengahkan pada awal 2019.
Terletak di Jalan Pelapik U8/46 di Bukit Jelutong, Shah Alam, trak makanan yang bertentangan dengan pasar raya Mydin Bukit Jelutong ini jadi bukti, tapak niaga tepi jalan (street food) bisa sahaja jadi saingan restoran dan hotel mewah, dengan syarat tak kompromi bab kualiti.
PIZA KAMBING CARIK
Buktinya, tatkala menjamah piza pesto lamb yang hangat, masa ibarat terhenti. Enaknya rasa yang terbit daripada potongan piza berkerak rangup itu, tiada perbandingan dapat diberi. Setiap gigitan pasti diserikan aroma kambing carik (pulled lamb) yang harum menyelerakan. Tambah menyerikan setiap kunyahan, terasa lemak masin kepingan keju cair yang lazat tak terperi.
Kambing carik yang digunakan sangat luar biasa. Ia lembut dengan tekstur halus berlemak. Ada rasa salai (smoked) yang harum dan segar, barangkali penggunaan beberapa rempah ratus mewah jadi formula. Manis, lemak, masin dan berempah, itu dimensi rasa yang terhasil apabila disebatikan dengan sos istimewa menggunakan badam.
POMODORINA
Kemudian, krew Mingguan Malaysia disuakan pula piza pomodorina. Ini satu lagi menu ‘menyengat’, dan membezakan ia dengan yang lain adalah saduran lapisan atas yang mewah dan menyelerakan.
Ia dipadankan dengan sos tomato buatan sendiri, keju mozarella, daun selasih Barat (basil), minyak garlic confit, tomato panggang, oregano, keju parmesan serta minyak zaitun.
SHAKSHUKA
Tak cukup dengan itu, cef turut menjamu piza shakshuka. Aduhai, enaknya piza yang satu ini, sampai tarik nafas panjang dibuatnya saat kepingan piza hangat itu masuk ke mulut.
Bayangkan, disadur dengan sos shakshuka mewah gabungan cili, jintan, bawang putih dan rempah ratus rahsia, setiap kunyahan ibarat dibawa terbang menaiki permaidani Aladin merentas padang pasir. Sensasi rasa ala Asia Barat itu tambah menakjubkan apabila digabungkan pula piza itu dengan telur kuning cair. Saat dikunyah, telur kuning itu menambah rasa berlemak dan mewah.
KEKUATAN
Ringkasnya, kekuatan menu anak muda ini yang berani menampilkan makanan Barat yang mewah terletak kepada tiga faktor.
“Pertama, piza kami dibakar menggunakan cara tradisi di Naples, iaitu ketuhar batu bata yang suhunya boleh mencecah 300 celsius.
“Kedua, kami kekalkan harga mampu milik, yang mana piza kami bermula serendah RM15. Ketiga, kami tak kompromi bab kualiti. Pendek kata, di sini boleh nikmati piza kualiti premium, pada harga di tepi jalan,” katanya mengakhiri sesi kunjungan penuh kenikmatan ini.
Khirwan’s
Pizza Parlor
» Tel: 010- 627 3954
» Alamat: Jalan Pelapik, U8/46, Bukit Jelutong, Shah Alam (bertentangan Mydin Bukit Jelutong)
» Menu memukau: Piza dengan hirisan kambing carik, piza dengan beef pepperoni dan rempah rahsia, piza sayuran.