Bersantap ‘sang naga merah menyala’ - Utusan Malaysia

Bersantap ‘sang naga merah menyala’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Seusai hirisan daging itik yang berjus menjengah ke mulut, ia ibarat menari salsa di atas lidah. Tersenyum dibuatnya tatkala mengunyah, melayani sensasi rasa yang kompleks dan sarat kenikmatan umami serta keharuman rasa salai penuh seksi.
Pada peringkat awal kunyahan, dapat dirasai kemanisan dan kelembutan daging itu, barangkali datang daripada penggunaan rempah rahsia. Beberapa saat kemudian, ada rasa lain pula menyusul, iaitu kewangian daripada cebisan lemak itik yang bercantum dengan daging.
Sensasi bahagian akhir (after taste) pula menyaksikan ledakan rasa umami dan ‘aroma itik’ yang ringan. Aduhai, terngiang-ngiang dibuatnya menjamah bento itik salai di restoran kali ini.
Begitulah pengalaman gastronomi yang ditawarkan oleh Hanasaka.

SOS CAMPUR
TELUR IKAN KOD
Menurut Ketua Cef, Ahmad Nizam Simbog, 44, Hanasaka diilhamkan atas matlamat mahu menjamu warga setempat dengan masakan Jepun. Ia khusus kepada hidangan sushi dan bento, dengan harga berpatutan namun premium pada kualiti.
Dizahirkan penubuhannya di Kajang, atau lebih tepat di Bangi Avenue, restoran ini menawarkan lebih 200 menu yang diinspirasi dari negara matahari terbit itu.
“Di sini, ada dua perkara paling diberi penekanan. Pertama, bab harga, ini memang kami tak kompromi. Tak salah kalau saya kata, kami antara yang menawarkan makanan Jepun premium pada harga paling kompetitif. “Kedua, bahan premium yang halal serta kualitinya di tahap tertinggi. Misalnya, sos mentaimayo kami menggabungkan mayonis Jepun dengan telur ikan kod,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

ITIK OH ITIK!
Penjelasan cef ternyata membenarkan pengalaman saat menikmati juadah. Tatkala krew Mingguan Malaysia dibawa ke bilik eksklusif, terhidang puluhan jenis hidangan yang berwarna-warni. Antara yang paling mencengkam kalbu dan terpahat erat di jiwa, adalah Smoked Duck Bento, Dragon Maki, Sky Diver Maki serta Mentai­mayo Moriawase.
Smoked Duck Maki adalah menu berasaskan itik salai, didatangkan dengan hidangan sampingan yang mewah dan meriah. Itik bukan sebarang itik, rasanya usahlah ditanya kerana habis kering idea diperah demi mencari kata yang sesuai, namun tak dapat ditemukan.

‘NAGA MERAH’
Beralih ke menu lain iaitu Dragon Maki juga sangat memukau deria. Saat mengerling ke pinggan, ibarat bertentang mata dengan sang naga yang sedang beradu di kayangan. Menu ini menggunakan udang raja (king prawn) yang digoreng segar dan merah menyala.
Kemudian ‘sang naga’ itu dibalut mesra oleh nasi beras Jepun yang dikepal, sebelum dilapisi kepingan avocado. Disusun cantik dengan bahagian kepala udang diletak menegak, sungguh ia sangat menawan di atas pinggan.
Udang raja ternyata ada rasa protein yang mewah, ia digabungkan pula oleh karbohidrat yang ‘ringan’ datang dari beras Jepun yang wangi dan lemak. Kemudian, setiap kunyahan akan diselang-seli rasa lemak dari hirisan avocado yang berkrim. Nah, jika ada satu menu yang harus dijamah tahun ini, barangkali inilah juaranya!

KETAM KULIT LEMBUT BERGABUNG BELUT SALAI
Tak cukup dengan itu,
dihidangkan pula Sky Diver Maki. Ini lagi satu juadah luar biasa. Mirip menu udang raja, namun kali ini cef dengan bijak menggantikannya dengan ketam kulit lembut. Jika itu tak cukup mengujakan, ia dibalut pula oleh kepingan tebal belut Jepun salai (unagi), sebelum bergabung dengan hirisan avocado dan disadur sos lemak manis.
Ternyata, dimensi rasa yang terhasil sangat memukau. Ketam kulit lembut itu digoreng rangup, ada kemanisan dan keharuman ‘rasa laut’ yang ketara. Kemudian ia disemarakkan dek kelazatan belut Jepun salai yang wangi, lemak dan berempah. – Mingguan Malaysia

Restoran: Hanasaka
» Lokasi: Union Square, Pusat Perniagaan Bangi Avenue, Persiaran Bangi Avenue Seksyen 2, Bangi Avenue,  Kajang, Selangor
» Waktu operasi: 12 tengah hari hingga 10 malam (waktu operasi di luar musim PKP)
» Telefon: 03-8928 9158
» Menu memukau: Dragon Maki, Mentaimayo Moriawase, Sky Diver Maki, Smoked Duck Bento
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya