Siapa sangka, sebalik kemodenan dan ciri urban Cyberjaya sebagai pusat teknologi maklumat tanah air, berdiamnya satu restoran yang masih mengekalkan nilai estetika kemelayuan.
Itulah Restoran Sebulek, nama besar yang tidak asing dalam kalangan pelanggannya.
Mempertaruhkan puluhan menu autentik Melayu khususnya gulai lemak cili api Negeri Sembilan, pemilik restoran, Datin Nasha Hassan, 39, berkata, ilham menubuhkan Sebulek muncul kerana minat mendalam terhadap nilai dan budaya kulinari Melayu.
ASAL
“Saya anak jati Negeri Sembilan. Membesar di Kampung Seperi, Jelebu membuatkan tekak ini sentiasa dijamu masakan nogori yang enak belaka. Masakan kami pedas, gulainya pekat dek santan yang meriah.
“Dulu, nenek selalu sebut, sebulek kan ajo lauk dalam pinggan, sonang nak makan. Maksudnya, satukan lauk pauk agar mudah dijamah. Dari situ timbul ilham menjenamakan restoran sebagai Sebulek,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Nasha, restoran miliknya antara yang masih bertahan di sekitar Shaftsbury Square, Cyberjaya.
“Di sini, sewanya agak tinggi. Barangkali atas faktor itu, sesetengah restoran menjual makanan dengan harga mahal untuk tampung kos. Akibatnya, pelanggan angkat kaki,” katanya.
Tapi, dia percaya dengan kualiti serta harga berpatutan, sesebuah restoran mampu menarik pelanggan.
6 TAN DAGING SEBULAN!
“Sebelum musim pandemik, restoran ini kerap dikunjungi pelanggan dalam dan luar negara. Kami menerima pelanggan Brunei, Jepun, Korea dan Mat Saleh. Pelanggan Jepun kami selalu memesan menu tapai, katanya ia mirip kepada sejenis makanan tradisi di Jepun,” katanya.
Jelasnya lagi, antara kekuatan restoran adalah kesegaran ramuan.
“Kami langsung tak buat stok pes untuk gulai, sebaliknya setiap hari kami akan kisar bahan segar sebagai rempah ratus. Hasilnya adalah gulai yang wangi dan segar.
“Pada masa sama, kami menitik beratkan nilai estetik. Gulai lemak kami haruslah sama dengan gulai di tempat asalnya iaitu Negeri Sembilan. Ini termasuk tahap kepekatan santan, serta kuantiti bahan yang tak dikompromi. Maksudnya, kami tak kedekut bahan rempah ratus,” jelasnya.
Oleh itu, katanya, sambutan sangat menggalakkan. Buktinya, Sebulek menggunakan kira-kira 200 kilogram daging sehari.
“Dalam sebulan, kira-kira 6 tan daging digunakan sebagai bahan lauk utama, termasuk gulai daging salai,” katanya.
MENCENGKAM SANUBARI
Peluang menjamah puluhan menu, memang pengalaman gastronomi yang mencengkam sanubari. Antara paling memukau gulai tunjang atau urat keting. Rasanya seimbang, yang mana lemak santan diserikan pula dengan kesegaran cili api dan kunyit hidup yang digulai sampai pecah minyak.
Turut menjentik selera ialah dendeng daging.Dagingnya sangat lembut. Disadur pula dengan sambal pedas yang dimasak elok sampai garing, menu yang dipadankan dengan nasi panas itu pasti membuatkan pelanggan minta nasi tambah! Selain itu, kami turut dijamu gulai daging salai. Seperti tunjang, daging salai di situ sangat lembut. Namun, sebalik semua menu autentik Negeri Sembilan yang dijamu, secara peribadi ia tidak terbanding dengan hidangan Barat yang disajikan, iaitu ayam buttermilk.
“Ramai pelanggan tetap kami dalam kalangan expatriate yang menjadikan ini menu ‘wajib’ mereka. Malah, ia antara menu paling cepat habis,” katanya.
Kenyataan itu ternyata tidak keterlaluan. Saat kuah buttermilk yang pekat, lemak dan harum mengairi kerongkong, hampir sahaja tekak ini seakan-akan duduk bersila dan bertafakur sebentar, demi memberi ruang otak mentafsir sensasi rasa yang sangat enak dan mengasyikkan.
Ayam yang digoreng rangup menggunakan bahagian thigh yang lembut, disadur kuah sebegitu rupa. Hasilnya ialah satu menu yang pasti membuat si pelanggan termimpi-mimpi. – Mingguan Malaysia