Yayasan Karyawan galas tanggungjawab pulihara Melayu

Yayasan Karyawan galas tanggungjawab pulihara khazanah persuratan Melayu

DR. Roosfa Hashim mahu rakyat Malaysia mendalami karya agung tamadun Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tamadun persuratan Melayu memiliki banyak khazanah bernilai yang menjadi rakaman dokumentasi perkembangan tamadun bangsa, menerusi pelbagai kemajuan dalam pelbagai bidang kepakaran yang sepatutnya dibanggakan.

Orang Melayu terkenal dengan kemahiran dan kepakaran seperti khasiat herba, pelayaran membuat senjata, membuat ubat bedil, dan pelbagai kemahiran seni lain.

Kisah-kisah legenda dalam masyarakat Melayu, kisah-kisah rakyat banyak dicatat dalam pelbagai manuskrip begitu juga kisah kemahiran bangsa ini semua dicatat dalam catatan dan didokumenkan.

Malangnya pelbagai khazanah ini tidak dapat dibaca oleh masyarakat sekarang , mungkin kerana dokumen tersebut sukar dijumpai atau sukar dibaca dan berada di pelbagai tempat.

Masalah lain termasuk kesukaran masyarakat kita membacanya kerana bentuk tulisan yang berbeza seperti tulis jawi lama yang tidak ramai tahu membacanya, sedangkan ada hikmah jika kita tahu kandungannya.

Sebab itu, agak signifikan apabila Yayasan Karyawan ditubuhkan bertujuan mengkaji dan menerbitkan dalam bahasa Melayu, karya-karya agung kesusasteraan Melayu tradisional dan dunia Melayu yang tertulis dalam bahasa -bahasa serumpun, misalnya karya agung Jawa, Bugis, Makasar, Minangkabau dan lain-lain.

Yayasan tersebut ditubuhkan di bawah Akta Syarikat pada 30 Ogos 1996.

Antara fungsi utamanya adalah mengkaji dan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, karya agung pilihan daripada tamadun bangsa-bangsa di luar Dunia Melayu, iaitu karya agung Arab (Islam), Asia (China, India, Jepun, Thai, Korea, Vietnam dan lain-lain lagi), karya agung Barat, Afrika dan Amerika Selatan.

Tujuan penerbitan buku karya agung adalah untuk menimbulkan minat dan kesedaran dalam kalangan orang Melayu khususnya dan orang bukan Melayu amnya, terhadap peri pentingnya sesuatu bangsa itu mengenal warisan bangsanya atau negaranya sebagai rujukan nilai-nilai bersama bangsa untuk menghadapi cabaran negatif budaya global hari ini dan untuk terus mengekalkan kekuatan dalaman bangsa dalam proses membentuk tamadun baru.

Pembaharuan tidak seharusnya memusnahkan tradisi tetapi hendaklah memperkukuh tradisi itu.

Bangsa yang kekal di dunia ini ialah bangsa yang sangat menyedari akan warisan, tradisi dan tamadun bangsa sendiri, bangsa yang melakukan pembaharuan berdasarkan unsur-unsur tradisi bersama yang terbaik dan yang telah tahan ujian zaman.

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Dr. Roosfa Hashim berkata, pihaknya akan memberikan tumpuan dalam menerbitkan lebih banyak buku karya agung pelbagai bidang.

“Seperti kita maklum karya agung Melayu mengandung pelbagai aspek kepintaran ilmu bangsa kita seperti ilmu firasat, ilmu perdukunan, ilmu jampi serapah, ilmu pengasih, ilmu pertukangan, ketenteraan dan sebagainya.

“Buat masa ini terbitan Yayasan Karyawan lebih tertumpu kepada Karya Agung kesusasteraan Melayu tradisional,” ujarnya.

Beliau berkata, kebelakangan ini terdapat banyak institusi dan perpustakaan yang memperkaya khazanah dan koleksi manuskrip mereka dan mendigitalkannya.
Usaha tersebut adalah bagi menjamin manuskrip Melayu terpelihara dengan selamat.

Namun, cabaran sekarang ialah bagi mendekati lebih ramai ahli filologi yang mahir dan cekap membaca, mentafsir dan memindahkan kandungan manuskrip ini ke bentuk yang dapat dinikmati oleh pembaca umum.

Ahli filologi adalah mereka yang terlibat dengan kajian bertulis seperti karya sastera bagi menentukan kebenaran san keasliannya.

Kata Roosfa, sejak ditubuhkan hampir 30 tahun lalu, Yayasan Karyawan telah menerbitkan 32 judul buku karya Agung.

“Oleh itu, sudah sampai masanya kami bekerja lebih keras bagi menerbitkan lebih banyak karya agung agar kandungannya yang sarat dengan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya bangsa kita dapat dinikmati oleh pembaca dalam kalangan generasi muda di negara ini.

“Bagi mencapai hasrat ini, struktur organisasi Yayasan Karyawan juga perlu diperkasakan dengan disokong oleh sebuah pasukan yang lebih mantap.
“Ini sudah tentu akan melibatkan dukungan kewangan yang lebih besar bagi menghasilkan output yang sejajar dengan usia penubuhannya,” ujarnya.

Dalam usaha penerbitan karya agung, Yayasan Karyawan akan mengenal pasti penggiat filologi dan mereka yang tekun menelaah manuskrip Melayu lama dan nadir dan berusaha mendapatkan manuskrip daripada mereka.

Tugas mereka adalah membaca dan menyemak manuskrip, memindahkannya ke dalam huruf rumi yang dapat dibaca oleh pembaca umum dengan catatan-catatan yang menjelaskan maksud pengarang manuskrip.

Selepas itu pihaknya akan mendapatkan nasihat pakar dalam bidang filologi tentang kewajaran menerbitkan sesebuah manuskrip.

Setelah diluluskan penerbitannya oleh Lembaga Amanah Yayasan Karyawan, kerja penyuntingan akan dilakukan pula oleh seorang editor yang mahir menyunting teks klasik.

Usaha ini kemudian dibantu oleh seorang pembaca pruf yang mahir dan teliti bagi memastikan ketepatan ejaan dan kualiti buku yang bakal diterbitkan. Bermakna tanggungjawab yayasan ini amat penting menjadi tulang belakang penyimpanan dan pemuliharaan khazanah tamadun Melayu dalam bentuk bahan penerbitan.

Sungguh pun Yayasan Karyawan bukan sebuah badan penerbit yang tidak membuat keuntungan, namun buku-buku terbitannya akan dipromosikan dan diedarkan untuk pembelian perpustakaan utama dalam dan luar negeri dan dijual melalui kedai-kedai buku utama selain boleh juga ditempah secara dalam talian.

Yayasan Karyawan juga akan lebih giat dalam kegiatan yang dapat merancakkan wacana dalam bidang filologi Melayu. Selain akan ikut serta dalam seminar filologi di dalam dan di luar negara.

Pada tahun ini Yayasan Karyawan sudah merancang penganjuran seminar dalam bidang filologi serta beberapa kursus dan bengkel berkaitan penulisan dan penyuntingan teks klasik.

Usaha ini diharap dapat membantu kerja-kerja perolehan manuskrip yang sarat dengan ilmu dan selanjutnya dapat melahirkan lebih ramai editor dan pembaca pruf bagi membantu mencepatkan kerja penerbitan.

Usaha yayasan tersebut mendapat dukungan kerajaan apabila dalam Belanjawan 2025 termasuklah Yayasan Karyawan mendapat agihan RM50juta bagi membangun industri perbukuan.

Peruntukan berjumlah RM50 juta yang diumumkan dalam Bajet 2025 kdiharap akan dapat dimanfaatkan untuk menerbitkan lebih banyak karya agung berdasarkan kemampuan pasukan editorial yang ada di Yayasan Karyawan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya