Malam Apresiasi Puisi Ramadan (MAPR) 2025 telah mengukir sejarah tersendiri sebagai pentas seni yang mempertautkan jiwa dan rohani melalui keindahan kata-kata.
Berlangsung di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, Kelantan menjelang Ramadan baru-baru ini, acara ini mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 300 pencinta seni dan sastera Islamik.
MAPR 2025 bukan sekadar acara deklamasi puisi, tetapi medan menyemarakkan nilai keislaman dalam seni kata, mencipta resonansi yang menusuk sanubari.
Acara ini membuktikan bahawa puisi bukan sekadar susunan kata-kata indah, tetapi juga wadah refleksi spiritual yang menyentuh sanubari.
MAPR 2025 mempersembahkan pelbagai bentuk seni kata, dari deklamasi puisi yang menyentuh jiwa, nyanyian lagu puisi yang mendayu, hingga persembahan nasyid yang menghidupkan malam dengan alunan syahdu.
Antara penyair tersohor yang tampil pada tahun ini ialah Dato’ A. Aziz Deraman, Dr. Fahd Razy, serta barisan penulis berbakat seperti Nazri Abdullah, Salina Musa, Umi Solehah, Anuar Salleh,
Mohd. Kumar Abdullah, Awang Abdullah, Norzailani Mohd. Nuzi, dan Siti Nur Fatihah Zainal Abidin.
Sementara itu, Ezani Daud dan Nik Mohamed Firdaus Putra Nik Aziz menyampaikan lagu puisi, serta persembahan gurindam disampaikan oleh Fir Khan.
Antara tokoh yang pernah bersama MAPR ialah Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said, SN Datuk Kemala (Allahyarham), SN Datuk Rahman Shaari, SN S.Othman Kelantan (Allahyarham).
Turut mencuri perhatian adalah persembahan daripada Kumpulan Nasyid Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail (KIAS), dan dendangan qasidah daripada kumpulan Roudhotul Jannah dari Kok Selehor, Tumpat, yang membawa pesona tersendiri dalam mengangkat syair ketuhanan.
Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) bersama-sama Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), dengan dukungan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (ICU JPM) dan Kolej Vokasional Pengkalan Chepa.
Ucapan aluan disampaikan oleh Pengarah DBPWT, Ariza Che Ismail dan perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah ICU JPM, Norma Ya’cub, .
Ketua 1 GEMA, Zainal Abidin Muhamad dan Suhaireesam Sebon, Timbalan Pengarah Akadamik, Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, turut hadir sebagai tetamu kehormat ke majlis ini.
MAPR2025 turut menyaksikan pelancaran antologi puisi Islamik berjudul Sekepal Hati Bersujud terbitan GEMA, yang memuatkan hampir 100 karya puisi Islamik daripada lebih 70 penulis puisi.
Antologi yang diselenggarakan oleh Ruzila Man ini dijangka menjadi khazanah berharga yang mencerminkan refleksi keimanan dan ketuhanan dalam puisi.
Buku ini bukan sahaja menjadi simbol penghargaan terhadap seni sastera Islam, tetapi juga satu usaha untuk mendekatkan masyarakat dengan nilai-nilai ketuhanan melalui keindahan kata-kata.
Dalam pada itu,keunikan MAPR 2025 juga terletak pada penghayatan mendalam terhadap setiap bait puisi yang bukan sekadar indah didengar, tetapi penuh makna dan sarat mesej spiritual.
Ini menjadikan program ini lebih daripada sekadar perhimpunan sastera, tetapi satu madrasah jiwa yang menghubungkan manusia dengan Pencipta.
Berharap agar acara seperti ini terus berkembang, MAPR 2025 bukan sekadar perayaan seni, tetapi ikhtiar berterusan dalam menyuburkan budaya Islamik dalam kalangan masyarakat.
Sebagai sebuah acara yang mengangkat kesenian Islam, ia bukan hiburan semata-mata. Ia adalah satu bentuk tarbiah jiwa yang merangsang pemikiran dan membina penghayatan terhadap kehidupan berlandaskan nilai Islam. –UTUSAN
PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan Pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)