Petaling Jaya – Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) telah diberi kepercayaan untuk menerajui penubuhan sebuah Akademi Seni Khas untuk golongan OKU (Orang Kurang Upaya) selepas berjaya menganjurkan dua Festival Seni untuk golong OKU daripada Ahli Dewan Negara, YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob yang bertanggungjawab ke atas golongan OKU.
Karyawan dipilih atas komitmen mereka yang terbukti dalam membantu golongan OKU melalui seni dengan penganjuran dua festival seni khas untuk OKU, mempamerkan bakat dalam kalangan artis OKU seperti pemuzik, seniman jalanan, dan buskers.
“Saya memilih Karyawan kerana mereka sangat komited membantu OKU berbakat dalam bidang seni. Mereka telah membuktikan kemampuan dengan penganjuran festival yang berjaya,” kata YB Senator Isaiah.
Akademi Seni ini akan menyediakan platform bagi golongan OKU untuk membina kerjaya dalam bidang seni. Langkah ini selari dengan tema OKU Fest, “My Ability Is Stronger Than My Disability,” yang menekankan seni dan kreativiti sebagai medium untuk memartabatkan keupayaan OKU.
“Kami berbesar hati dengan kepercayaan YB Senator Isaiah terhadap usaha kami. Kami akan bekerja keras memastikan Akademi Seni ini ditubuhkan dan berfungsi sebagai platform penting untuk membangunkan potensi golongan OKU,” ujar Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan.
OKU Fest turut menampilkan sesi inspirasi bersama YB Altimet, seorang artis dan ahli politik yang juga menghidap disleksia dan beliau juga berkongsi pengalamannya mengatasi cabaran dalam sesi bertajuk “Autism Adalah Superpower!”.
Panel lain termasuk Dr. N. Raihan Mohamed dan Tuan Jaldeen Ali, yang berkongsi pandangan mengenai autisme dan disleksia, serta, acara lain yang diadakan adalah seperti Pertandingan Seni Suara Peringkat Kebangsaan dan pertandingan nyanyian terbuka kepada OKU turut memeriahkan festival ini.
YB Senator Isaiah turut mengumumkan rancangan untuk memperbesarkan OKU Fest pada tahun hadapan dengan penglibatan lebih banyak kementerian.
“Seni adalah bahasa sejagat yang menyatukan kita tanpa mengira bangsa atau agama. Marilah kita terus menyokong golongan OKU untuk membina masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Penubuhan Akademi Seni OKU yang dirancang pada tahun 2025 dijangka memberikan impak positif besar kepada kehidupan golongan OKU di seluruh negara.