Sabariah Bahari Tokoh Puisi Nasional Perak 2024

Sabariah Bahari Tokoh Puisi Nasional Perak 2024

SABARIAH (kiri) menerima hadiah Anugerah Tokoh Puisi Nasional Peringkat Negeri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERPEGANG kepada falsafah ‘semua orang akan mati kecuali karyanya, maka tulislah sesuatu yang akan membahagiakan dirimu’. Ungkapan ini menyuntik semangat Sabariah Bahari untuk sentiasa komited terhadap seni sastera khususnya genre puisi sehingga beliau dinobatkan sebagai Tokoh Puisi Nasional Peringkat Negeri Perak 2024.

Ia diumumkan pada majlis Anugerah Tokoh Puisi Nasional Peringkat Negeri Perak dan Peluncuran Buku Terbaharu LEPAS Perak Tahun 2024 yang dirasmikan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Rafidah Abdul Aziz di Perpustakaan Awam Cawangan Utama Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Pada majlis itu, dua buku terbaharu terbitan Lembaga Pembangunan Sasterawan (LEPAS) Perak iaitu LEPAS Perak 1951 dulu dan kini dan antologi puisi loghat Perak iaitu Apa dicekeh nyongket sesajer? turut dilancarkan.

Hadir pada majlis itu, Ketua Satu LEPAS, Abd. Rashid Ahmad Rafie. Tahun lepas, Anugerah Tokoh Puisi Nasional Peringkat Negeri Perak diterima penyair Onn Abdullah dan Chai Loon Guan.

Majlis anjuran bersama Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Majlis Kebudayaan Negeri Perak dan LEPAS itu menobatkan Sabariah untuk layak menerima piala berbentuk tepak sireh, sijil, wang tunai dan buku cenderahati yang disampaikan Rafidah.

Sabariah, 65, berasal dari Kuala Kangsar yang kini menetap di Ipoh dipilih berdasarkan kegigihannya dalam dunia sastera serta sering membaca buku berkaitan sastera, falsafah dan agama termasuk buku-buku karya penulis besar Indonesia Hamka sejak berusia lapan tahun.

Rumah keluarganya bagaikan sebuah perpustakaan kerana dipenuhi pelbagai kategori buku penulis termasyhur sehingga Sabariah tamat membaca beberapa kali novel Tenggelamnya Kapal Van De Vick tulisan Hamka ketika di sekolah rendah selain banyak membaca buku ilmiah.

Selain puisi, beliau juga menulis cerpen, novel dan travelog tetapi kecintaan mendalam terhadap genre puisi sehingga menjadi tumpuan utamanya. Puisi pertama beliau tersiar dalam media masa seawal usia 16 tahun.

“Saya juga berpegang kepada motto dalam penulisan iaitu ‘jangan pernah menyerah pada apa yang benar-benar diinginkan’.

“Ini penting kerana ada ketika kita rasa kecewa apabila karya kita tidak mendapat perhatian khususnya pihak penerbitan bercetak, tetapi dengan motto ini kita mendapat kembali suntikan semangat untuk terus menulis dan maju,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak menyangka akan menerima anugerah besar itu meskipun kira-kira 50 tahun menulis kerana merasakan penyair dan penulis sastera lain di Perak lebih hebat serta aktif menulis.
“Hati saya berbunga dan cinta terhadap dunia puisi terutama selepas hasil puisi pertama saya disiarkan di radio pada usia 16 tahun dan kemudian puisi dalam majalah Kisah Cinta pada tahun 1981,” katanya.

Pesara Guru Awal Kanak-Kanak ini menyertai banyak persatuan penulisan di tanah air bagi memantapkan diri dalam dunia sastera.

Antaranya, menjadi ahli seumur hidup PENA, LEPAS dan KEMUDI selain Ahli Jawatankuasa Persatuan Karyawan Pk.

Beliau tersentuh melihat perihal dan kebobrokan dunia, masyarakat dan kemanusiaan, alam sekitar, kebejatan sosial, peperangan dan penindasan diluahkan lewat karya puisi yang banyak tersiar di akhbar arus perdana seperti Mingguan Malaysia, Berita Harian dan majalah kumpulan Dewan Bahasa dan Pustaka selain lebih 50 antologi puisi bersama dan persendirian termasuk terbitan GAPENA.

Sementara itu, buku-buku perseorangan beliau diterbitkan antaranya novel Pelarian Kasih (Rhythm), kumpulan puisi Suara Cinta (Kaya Cipta), kumpulan cerpen Sewajah Duka (Karyawan Pk), kumpulan puisi Cahaya Di Atas Cahaya, novel Cahaya Cinta dan travelog perjalanan umrah, Kucupan Di Hajarul Aswad.

Sabariah turut menyumbang kepakaran sebagai hakim dan panel sayembara antaranya Deklamasi Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak, panel Hadiah Sastera Negeri Darul Ridzuan dan

Sayembara Deklamasi Sajak Peringkat Daerah Kinta Utara.

Beliau turut menjadi pemenang utama genre puisi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank tahun 1996 dan penghargaan genre puisi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1997.

Puisi Sabariah terpilih dimuatkan dalam Teks Kesusasteraan Melayu Moden KBSM Tingkatan 4; 5 Bacalah Dalam Bahasamu (KPM; DBP) pada tahun 2000. Malah, karyanya juga turut dimuatkan dalam antologi Aksara Merdeka (GAPENA) dan Lentera Zaman (GAPENA) yang merupakan antologi puisi untuk teks sayembara deklamasi bulan kemerdekaan.

Karyanya juga dialih bahasa ke bahasa asing untuk tujuan pengantarabangsaan termasuklah bahasa Inggeris, Tamil dan Rusia. Sajak Masanya Kian Hampir, Sesekali Berhadapan Kesombongan dan Puisi Buat Anak Palestina pernah diterjemah ke dalam bahasa Rusia dan termuat dalam antologi Puisi Penyair Wanita Malaysia iaitu Bunga-Bunga Pulau Jauh.

Sajaknya juga diterjemah ke dalam bahasa Tamil oleh Dr. Krishnan Maniam dan termuat dalam antologi Pelangi Merentasi Buana yang diterbitkan sempena Pertemuan Penyair India – ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN