Pesona, keindahan puisi artistik

Pesona, keindahan puisi artistik

RAHMAN SHAARI (kiri ) semasa membincangkan topik puisi artistik dalam program Bicara Ilmu Bersama Tokoh Bahasa dan Sastera Mencari, Memilih dan Menikmati Puisi Artistik, di UPSI Tanjung Malim baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baik puisi moden, mahu pun puisi tradisional, iaitu syair dan pantun, sebenarnya ialah kata-kata indah yang mempunyai struktur dan mesejnya.

Dari segi mutu karya, ada tingkat-tingkatnya. Puisi yang mencapai tingkat tertinggi ialah puisi artistik.

Boleh dikatakan agak besar jumlah anggota masyarakat yang dapat mencipta puisi tradisional, dan juga puisi moden, Namun, jumlah yang berupaya mencipta puisi artistik adalah kecil.

Puisi artistik akan dirasai lebih berseni apabila dideklamasikan.

DR RAHMAN SHAARIIni bermakna, persembahan puisi artistik (PPA) dapat membantu puisi yang sederhana agar menjadi lebih kukuh dan berseni.

PPA bukan hanya persembahan deklamasi puisi moden, tetapi juga persembahan puisi tradisional yang berkesan.

Karya yang baik, sama ada sajak, pantun, syair, seloka , gurindam dan lain, semuanya menggambarkan suasana, pemikiran, sindiran dan juga luahan perasaan secara yang berkesan.

Kekuatan puisi moden selalunya bersandarkan kepada bahasa perbandingan, iaitu metafora, personifikasi, simile dan lain-lain, namun terdapat juga penyair yang berkebolehan menyulam kata-kata indah tanpa bersandarkan unsur-unsur stilistika yang disebutkan.

Bagi sesetengah pihak, bukan mudah menghasilkan puisi yang mencapai tahap artistik.

Muatan puisi artistik ialah pemikiran dan perasaan yang dipaparkan dengan matang melalui susunan secara terbaik.

Antara lain, penyair boleh memilih kaedah monolog yang secara tidak langsung membawa mesej kepada khalayak.

Menulis puisi memerlukan kemahiran, kekayaan perbendaharaan kata dan sensitiviti terhadap persekitaran.

Namun, kita tidak mungkin terhindar daripada bersemuka dengan karya yang ditulis secara main-main.

Itu adalah hal biasa dalam zaman media sosial.

Karya-karya yang bersifat main-main itu masih dapat dianggap karya kreatif, tetapi jauh daripada puisi artistik.

Sebab itu apabila Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI) menganjurkan program Bicara Ilmu Bersama Tokoh Bahasa dan Sastera Mencari, Memilih dan Menikmati Puisi Artistik, ia benar benar memberi penjelasan apakah sebenarnya puisi tersebut.

Tambahan pula , tokoh yang dijemput bukan calang-calang kerana Sasterawan Negara, Datuk Dr. Rahman Shaari ialah individu yang layak membicarakannya.

Dalam untaian kata-kata pendahuluan menerusi ceramahnya dalam program tersebut, Rahman ada menyebutkan puisi penyair Indonesia Chairil Anwar yang berjudul Aku sebagai puisi artistik bertaraf dunia. Menurutnya, kekuatan puisi tersebut diperkenalkan oleh H. B. Jassin.

Puisi Chairil dapat dilihat sebagai sajak personal, tetapi apabila dibaca dengan rapi, didapati puisi itu merupakan karya yang membawa maksud yang mendalam.

Ada pengkarya yang menyifatkan menulis puisi lebih rumit berbanding menulis novel. Ini diakui oleh Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pula dipetik sebagai berkata, menulis puisi perlu mempunyai daya keintelektualan tinggi dan pembacanya juga perlu mahir bagi mentafsir puisi berkenaan.

Puisi artistik ialah puisi yang bernilai tinggi. Kaedah menghasilkannya dan gaya penulisannya terpulang kepada penyair.

Dalam PPA, deklamator atau pendeklamasi ialah sesiapa yang mempersembahkan puisi secara artistik.

Deklamator mungkin penyair, dan mungkin juga tidak pernah menghasilkan puisi. Dia memilih untuk berdeklamasi.

Berkongsi lebih lanjut Rahman berkata, persembahan puisi akan lebih berkesan jika dengan gaya teaterikal.

Perlu juga Rahman Rahman sebelum ini pernah menganjurkan persembahan puisi yang berjudul Langkahan Wira. Sajak-sajak yang dipersembahkan termasuklah Pak Uteh karya Sasaterawan Negara Datuk Usman Awang, Dialog karya Kassim Ahmad, Topeng-topeng karya Sasterawan Negara Datuk Baha Zain dan lain-lain.

“Langkahan Wira“ melibatkan 15 orang deklamator yang terlatih, untuk membawa tema perjuangan membangun negara selepas merdeka. Mesejnya ialah supaya pemimpin dan rakyat bersama-sama negara tercinta.

Persembahan puisi artistik seperti Langkahan Wira itu menonjolkan gaya dan nilai yang dapat dihayati oleh khalayak penonton. Selain itu, persembahan tersebut juga dapat diikuti kerana terdapat jalan cerita (storyline) tertentu yang dibina oleh penyusun skrip dan pengarahnya.

Rahman menekankan bahawa sajak Aku tidak akan terkenal hingga kini jika bukan puisi artistik. Demikian juga sajak-sajak Sungai Mekong, karya Latiff Mohidin, Kucuba Bunuh Engkau karya Nahmar Jamil, Semalu karya Zurinah Hassan.

Apa Ditakutkan pada Malam karya A Ghafar Ibrahim, Aku Hanya Mahu ke Seberang karya Hashim Yaacob, Perempuan dan Layang-layang karya A Wahab Ali, Antara Dua Jurang karya Rejab F.I ,

Belum Berkembang karya Wanrazuhar dan Sebenarnya karya Abizai.
Rahman menyebutkan, jika kualiti sesebuah sajak itu kurang tinggi, karya berkenaan masih dianggap karya kreatif, namun tidak akan masuk ke dalam sejarah kesusasteraan.

Hal ini terbukti apabila puluhan ribu puisi moden telah dihasilkan sejak awal dekad 1930-an, hanya antara 300 hingga 500 buah sahaja yang kerap disentuh dalam pembicaraan sastera.

Rahman merupakan Presiden Penyair Malaysia yang mempunyai ruangan dalam majalah Dewan Sastera, iaitu ruangan Permata Puisi.

Sejak tahun 2021 hingga kini, saban bulan beliau membicarakan karya-karya yang bermutu dari pelbagai segi dalam ruangan tersebut. Antara kumpulan puisi karya beliau ialah Hamparan

Kuning terbitan 1978, Kesan Kunjungan (1978), Serpihan Diri (1987) dan Melati dan Bahang (1994).

Selain puisi Rahman menulis cerpen dan novel.

Karya beliau ada yang memenangi hadiah Karya Sastera. Beliau juga menerima Anugerah SEA Write pada 2007 di Bangkok Thailand.

Beliau juga dinobatkan Anugerah Penyair GAPENA pada 2013 dan menerima Anugerah Sasterawan Negara ke-15. Rahman ketika berkhidmat di Universiti Malaya pada 1993 dianugerahkan gelaran prof madya sebelum dinaikkan ke profesor penuh pada 2003

Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI Prof. Madya Mazura@Mastura Muhammad berkongsi kata-kata indah apabila membuka bicara pada program tersebut
Kata beliau :
Sastera bukan sekadar hiburan,
Tetapi daya penggerak perubahan,
Sastera bukan sekadar catatan,
Tetapi gambaran akal dan fikiran,
Sastera bukan sekadar tulisan,
Tetapi terkandung ilmu yang tiada batasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN