PADA tahun ini, negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-67. Sesuai dengan tempoh lebih enam dekad itu, tentulah dan diharapkan tiada lagi krisis besar masih dihadapi dalam pelbagai perkara.
Antara perkara yang penting dan amat berkaitan kemerdekaan negara kita adalah penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat. Penggunaan bahasa kebangsaan negara kita ini memang penting dalam bidang penyiaran radio, terutama radio kerajaan, iaitu di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menyebut radio, pasti tidak lengkap jika melupakan pembantu siaran (istilah awal) yang kemudian dipanggil juruhebah, deejay, penyampai dan kini penyiar. Bukanlah penyiar pula jika tidak bercakap, dan apabila bercakap tentulah menggunakan bahasa.
Dalam soal ini, tiga bekas penyiar popular negara yang menjadi ahli panel ‘Forum Merdeka: Peranan Penyampai Radio dalam Memartabatkan Jiwa Merdeka’ di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) pada 7 Ogos lalu, menyatakan kebimbangan, dan kesedihan mereka terhadap apa yang berlaku. Mereka ialah Datuk Chuari Selamat, Datuk Habsah Hassan dan Noramin Moshi Moshi. Sementara itu, Lutfi Ismail, bekas penerbit/DJ Radio Malaysia Kawasan Tengah sebagai pemudah cara.Semasa fasa awal kemerdekaan negara kita, radio adalah saluran penyiaran utama untuk menyampaikan informasi tentang konsep negara bangsa yang berdaulat. Dasar penyiaran adalah sebahagian daripada Dasar Informasi Negara.
Di negara kita, radio bermula sebagai satu inovasi teknologi dan berkembang menjadi fenomena sosial, khususnya untuk hiburan, mengisi masa lapang dan propaganda kerajaan. Kandungan rancangan radio disusun bagi mencapai agenda sosial kerajaan, iaitu menyatukan pemikiran rakyat berbilang bangsa untuk hidup dalam keharmonian. Pembangunan dan perubahan negara hanya boleh dicapai menerusi perpaduan bangsa.
Perkembangan media elektronik yang kelajuannya amat menakjubkan pada hari ini, menjadikan radio hanya saluran hiburan jika dilihat daripada segi kandungan rancangan, dan matlamat stesen radio, khususnya radio swasta dan radio internet.
Masa dan kemajuan teknologi berubah. Begitu pun, forum anjura n APM, UM dengan kerjasama Persatuan Veteran RTM, bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia ke-67 tahun ini bertujuan mendedahkan generasi baharu mengenai peranan sebenar radio dan industri penyiaran, serta perubahan dan hala tujunya. Forum ini dibahagikan kepada tiga segmen yang menghuraikan sejarah penglibatan awal ahli panel dalam bidang penyiaran, pengalaman bertugas pada era 70-an hingga 90-an, dan pandangan hala tuju, serta masa depan penyiaran radio di Malaysia.
Chuari bekas penerbit/penyampai Radio 1, bekas Pengurus Radio Klasik Nasional; sementara Datuk Habsah adalah bekas penerbit/penyampai RTM, dan Noramin pula bekas DJ Radio Malaysia Kuala Lumpur atau RMKL.
Menurut Habsah atau lebih mesra dengan sapaan Kak Cah yang juga penulis lirik terkenal, beliau amat mementingkan soal bahasa Melayu. Dahulu, katanya, penyiaran lagu dipantau dengan ketat agar lagu-lagu negatif tidak terlepas ke udara.
“Saya sedih dengan aspek bahasa lagu-lagu hari ini yang begitu tenat. Dahulu penyiar memilih sendiri lagu-lagu untuk diputarkan, tetapi sekarang penerbit menetapkannya,” kata Kak Cah yang menganggap Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie, dan Allahyarham Datuk Shariff Ahmad sebagai gandingan terbaik mengemudi Kementerian Penerangan.
Sebagai Menteri dan Timbalan Menteri, tambah beliau, mereka berdua berjaya menjalankan tugas dengan cemerlang dalam melahirkan Malaysia yang makmur berjaya.
Tegas Kak Cah, perubahan tidak dapat dihalang berlaku. Ia terus berlaku meniti zaman. Namun demikian, tambah beliau, perkara-perkara rukun dan teras jangan dihapuskan oleh kita sendiri.
Chuari atau dipanggil Bang Chu oleh rakan penyiar sangat dikenali kerana rancangan berbalas pantun. Selepas diminta oleh Ngasri Sain menggantikannya sebagai pengerusi sementara, Chuari terus dikekalkan mengemudi rancangan berkenaan.
“Saya memang terkesan dengan kritikan pedas Pak Sako mengenai mutu pantun-pantun dalam rancangan itu. Pedih dan perit mendengar kata-kata Allahyarham bahawa RTM ‘melacurkan’ pantun,” ujar beliau yang bersara daripada RTM pada 2011.
Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad yang juga wartawan dan sasterawan menyelar pantun dalam rancangan itu yang melanggar ciri-ciri puisi tradisional. Chuari tidak menafikan ketika itu semua yang terlibat hanya mementingkan bunyi, bukan pantun.
“Saya mengambil berat kritikan itu dan membetulkan keadaan. Dari semasa ke semasa, rancangan itu bertambah baik setelah dijadikan pertandingan dengan hadiah tertentu, walaupun kadarnya kian susut mengikut peredaran masa,” jelas Chuari.
Menariknya, beliau turut memberitahu bahasa penyiar yang puitis tidak dibenarkan jika berunsur 18SX. Pernah berlaku seorang penyiar dipanggil menghadap ketua esok pagi ekoran gaya suaranya dengan bahasa romantik dalam sebuah rancangan di sebelah malam dianggap ‘seksis’, atau menggoda.
Meskipun berasa agak ganjil beliau menggunakan nama dalam bahasa Inggeris untuk stesen radio yang ditubuhkannya, iaitu Time Highway Radio atau THR, tetapi Noramin menggesa kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi mengawal penyiaran radio swasta dari segi penggunaan bahasa Melayu.
“Walaupun menubuhkan radio swasta, tetapi saya tetap mengawal bahasa penyiar-penyiar saya. Mereka tidak boleh menggunakan bahasa pasar sesuka hati seperti ‘korang’, ‘kita orang’, ‘mati’ dan sebagainya,” tegas beliau.
Beliau yang nama sebenarnya Mohd. Nor Amin berharap kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dapat mengawal penampilan para penyiar radio swasta agar keadaan tidak menjadi lebih parah.
“Memang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ada membuat pemantauan. Tetapi, ia tidak benar-benar serius, malah hanya seketika,” ujar Noramin.- UTUSAN