PERIBAHASA, “di mana ada kemahuan di situ ada jalan” boleh dijadikan kata-kata motivasi bagi sesiapa sahaja untuk berusaha membina kehidupan lebih baik termasuk mengusahakan catok burung,
.Seorang bekas pe.kerja swasta, Zali Sarion, 56, dari Kampung Jenjarom, Selangor yang mengusahakan kraftangan catok burung menjadikan peribahasa tersebut sebagai sumber inspirasi untuk dirinya bergelar usahawan seni kraftangan.
Menurut Zali, catok kini mendapat sambutan baik daripada peminat burung kerana ia memudahkan proses membawa haiwan tersebut dari satu tempat ke satu tempat.
“Sebagai contoh jika seseorang yang berjaya menjebak burung tekukur di hutan, catok diperlukan untuk membawanya pulang dengan selamat.
“Pada masa ini, saya tidak putus menerima tempahan catok burung kerana masih ramai yang suka menjebak burung di hutan sebagai hobi,”katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.
Zali yang pernah bekerja di kilang kasut dan selipar berkata, kreativiti untuk membuat sesebuah catok burung memerlukan dirinya tenang dalam ruang khas yang sederhana luas.
Katanya lagi, antara bahan yang diperlukan untuk ‘membina’ catok adalah rotan yang sudah dipotong halus, gam khas, besi dan papan kayu sebagai tapak.
“Kesemua bahan untuk membuat catok seperti rotan yang ‘diracik’ halus dibeli dari negeri jiran. Sekarang rotan-rotan halus berharga RM80 sekilogram dan ini menyebabkan harga catok agak tinggi.
“Setiap catok burung boleh disiapkan antara lima hari hingga seminggu bergantung kepada kaedah ‘sulaman’ badan catok tersebut,”terangnya.
Jelasnya lagi, kaedah sulaman yang berbeza menyebabkan harga catok burung boleh berbeza antara satu sama lain.
Zali memberitahu, catok burung dengan kaedah sulaman lurus harganya lebih rendah berbanding sulaman yang sukar, motivasi berusaha mencari rezeki.
“Jika sulaman di badan catok lebih sukar seperti sulaman pintal atau zig zag harganya boleh menjadi lebih tinggi kerana perlu dilakukan dengan teliti.
“Itulah sebabnya saya tidak mahu mengambil banyak tempahan kerana setiap catok ada kaedah pembuatannya,”ujarnya.
Menurut Zali lagi, sesebuah catok burung boleh mencecah harga RM500 berdasarkan kesukaran pembuatan dan reka bentuknya.
Harga catok yang tidak mempunyai seni pembuatan yang sukar dan tidak memakan masa lebih dari seminggu jelasnya lagi, adalah pada harga RM350 sahaja.
“Tempahan catok burung adalah terhad iaitu sebanyak lima buah setiap bulan memandangkan saya melakukan kerja pembuatan sendirian di bengkel yang berada di kawasan rumah saya ini.
“Jika ada pihak yang berminat untuk menempah catok buatan saya ini, saya hanya bersedia untuk memenuhi tempahan individu dan bukan untuk komersial atau borong,” katanya.
Zali yang mempunyai seorang isteri dan dua puteri berusia 21 dan 28 tahun memberitahu, buat masa ini catok yang dihasilkan terhad untuk peminat burung secara perseorangan sahaja kerana tidak mahu terikat dengan pesanan peniaga.
Walaupun pembeli catoknya datang dari seluruh negara, secara jujurnya dia menganggap seni membuat catok perlu dipelihara kualiti pembuatannya dan tidak mahu ia terjejas kerana mengejar kuantiti jualan yang tinggi.
“Prinsip saya jelas, tidak mahu tamak menghasilkan catok demi mengejar wang dan berpuas hati dengan pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan untuk menyara keluarga.
“Buat apa kita menghasilkan banyak catok burung tetapi seni pembuatannya dibuat dengan tidak kemas,”jelasnya.
Selain menerima tempahan membuat catok burung katanya lagi, dia juga memberi perkhidmatan membaiki catok yang rosak.
Antara kerosakan catok katanya, melibatkan catok yang berlubang dan pecah akibat pelbagai faktor.
Mengenai sambutan orang ramai terhadap seni membuat catok, Zali berharap seni itu diteruskan generasi muda kerana ia mampu menjana pendapatan yang tinggi.
“Namun malangnya generasi hari ini tidak berminat mempelajari seni membuat catok, kini tinggal saya sahaja menjadi pembuat catok di negeri ini.
“Sesuatu harus dilakukan untuk menarik minat anak muda meminati seni kreativiti ini di negeri ini. Ini kerana di negeri lain seperti Melaka, masih ramai pembuat catok burung berbanding di Selangor,”ujarnya. – UTUSAN