Antologi puisi tulisan tangan cetus kelainan

Antologi puisi tulisan tangan cetus kelainan

PEMENANG tulisan terbaik puisi tulisan tangan, Intan Rohani Tan menerima sijil daripada Mohd. Azizi Zainuddin di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELAINAN antologi puisi Catatan Nurani yang baru diterbitkan ini adalah setiap puisi yang dihasilkan menggunakan tulisan tangan penyajak sendiri dalam pelbagai bentuk sehingga ia nampak menarik dan unik, sekali gus membuatkan kita teruja untuk membacanya.

Tidak banyak kita temui antologi puisi yang disiarkan ditulis tangan dalam bentuk asal seperti ini kecuali beberapa antologi di Indonesia dan beberapa negara lain kerana ia mungkin dianggap sebagai hanya coretan kanak-kanak.

Antologi puisi Catatan Nurani yang dipercayai yang pertama diterbitkan di tanah air ini seperti ini ditulis oleh seramai 41 penyajak dengan 66 muka surat diselenggarakan cerpenis dan penyajak tersohor, Mukhtar Mustafa dari Pasir Mas, Kelantan.

Naskhah ini dilancarkan Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, Mohd. Azizi Zainuddin di Kota Bharu, baru-baru ini.

Antologi ini diterbitkan oleh Pustaka Dewan Puisi (PDP) dengan kerjasama grup WhatsApp Kembara Sastera (KS) yang mengambil pendekatan berani dan luar daripada kotak fikir yang mana puisi disiarkan tanpa suntingan dengan penampilan gaya tulisan dalam multi bentuk.

Mokhtar berkata, antara objektif antologi puisi diterbitkan dengan tulisan tangan itu adalah untuk mengekalkan kreativiti seni penulisan puisi menggunakan sentuhan tangan di samping menghidupkan seni tulisan dalam kreativiti sastera tanah air.

“Sambutan daripada para penulis puisi di seluruh negara terhadap antologi pertama ini amat menggalakkan walaupun hebahan hanya menggunakan saluran WhatsApp dan Facebook.

“Justeru, saya dengan dibantu tiga lagi sahabat penulis kini dalam proses mengumpul untuk antologi kedua dan dijangka diterbitkan pada akhir tahun ini,” katanya.

Antologi bertemakan kehidupan itu turut disertai oleh pegawai tadbir, pensyarah, doktor, profesor, guru dan pesara kerajaan yang diterbitkan secara swaterbit dengan menggunakan dana sendiri untuk menerbitkan antologi karya mereka.

Sebanyak 55 puisi pelbagai bentuk tulisan tangan dihasilkan antaranya oleh Hajar’ul Aswad, Shamier MS, Azman Che Mat, Shaliha Nasaruddin, Aisah Seydalavi, Pena Biru, Masriyah Misni, Zailara AF, Mazli Husma, Bunga Melor, Haslinda Hasan dan Oui Bin Sal.

Menurut Mukhtar, puisi berjudul Siapa Kita tulisan Intan Rohani Tan dari Machang, Kelantan dipilih sebagai tulisan terbaik dalam antologi itu dan diberi sijil penghargaan pada pelancaran antologi itu, baru-baru ini.

Antologi ini dijual pada harga RM25 senaskhah dan mereka yang berminat boleh terus menghubungi Mukhtar Mustafa di talian 019-9630889.

Untuk antologi kedua ini, katanya, ia akan diterbitkan juga secara swaterbit terbuka kepada semua penulis berbakat dengan tulisan tangan yang menarik di samping mutu puisi dan bayaran hanya RM20 untuk setiap naskhah antologi yang akan diberikan nanti.

Menurut­nya, seramai 50 penulis diperlukan dengan mengirimkan dua puisi bertema bebas ciptaan sendiri yang bertulisan tangan dan dihantar kepadanya ke alamat emel [email protected] selewat-lewatnya sehingga 31 Ogos ini.

Katanya, sebanyak tujuh kategori pemenang akan diberikan kepada penulis berdasarkan puisi tulisan tangan yang dihasilkan itu antaranya hadiah tulisan terbaik, tulisan kreatif, puisi terbaik dan hadiah misteri di samping baju-T kepada para penulis.

Kegigihan Mukhtar dalam kegiatan sastera tanah aiar sehingga kini beliau telah menghasilkan lebih 100 cerpen yang disiarkan di pelbagai media seperti akhbar arus perdana, majalah dan antologi cerpen.

Beliau pernah memenangi Anugerah Sastera Kelantan (bahagian cerpen) pada 2023 lalu dengan cerpen berjudul Caladium Cat Tumpah yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia pada 2019.

Mukhtar yang pernah menjadi wartawan Bernama dan pegawai KEMAS juga menghasilkan 50 drama radio yang kebanyakannya disiarkan di RTM Kota Bharu di samping 100 puisi dan enam travelog.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN