Perkembangan bidang sastera tempatan amat positif berdasarkan kepada penghasilan karya sastera terutama oleh golongan mudam termasuk di Bumi Kenyalang.
Bukan sahaja perkembangan bidang kesusasteraan di Semenanjung dan Sabah tetapi nun jauh di seberang Laut China Selatan, atau tepatnya Sarawak perkembangan bidang tersebut juga positif.
Dunia sastera Sarawak berkembang rancak dengan kegiatan penulisan dan sastera biarpun tidak serancak di ibu negara
Ini berdasarkan ramai penulis baharu dan muda yang muncul meneruskan kegiatan berkenaan dan mereka bergandingan dan bersaing secara sihat dengan para penulis mapan.
Acara-acara bercorak bahasa dan sastera banyak dianjurkan itu mendapat sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, persatuan-persatuan penulis dan Pustaka Negeri Sarawak.
Penubuhan cawangan DBP Sarawak pada 1977 menjadi pemangkin perkembangan dunia penulisan dan sastera di negeri Kenyalang tersebut.
Hal ini wajar dan sesuai dengan sebahagian daripada matlamat utama penubuhan DBP iaitu memajukan bakat kesusasteraan terutama dalam bahasa kebangsaan dan mencetak atau menerbitkan atau membantu usaha percetakan atau penerbitan buku-buku, risalah-risalah dan lain-lain bentuk persuratan dalam bahasa Kebangsaan dan lain-lain.
Pengembangan bidang sastera itu juga bukan sahaja berpunca daripada sokongan DBP tetapi penglibatan aktif persatuan persatuan penulis seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) dengan kerjasama pihak-pihak lain.
Berkongsi isu pengembangan bidang kesusasteraan Ketua 1 PUTERA Zainal Abidin Suhaili atau popular dengan nama pena Abizai berkata, memang tidak adil untuk mengatakan bahawa dunia penulisan sastera berkembang pesat di Bumi Kenyalang ini atas usaha DBP Cawangan Sarawak semata-mata.
“Bagaimanapun, tiada siapa yang boleh menafikan peranan penting yang telah dimainkan oleh agensi terbabit atas pencapaian tersebut, “ katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kongsinya lagi, penulis Sarawak beruntung kerana DBP Sarawak menyediakan prasarana untuk mereka menyiarkan hasil penulisan.
Sebagai contoh katanya, ruangan “Yang Indah itu Bahasa” kelolaan agensi berkenaan muncul dalam akhbar Utusan Borneo (sebelum ini di dalam akhbar The Borneo Post dan Utusan Sarawak) setiap minggu menampilkan puisi, cerpen dan rencana sastera.
Di situlah ratusan puisi penyair Sarawak telah disiarkan sejak awal tahun 1990-an malah ada yang berjaya memenangi hadiah sastera pada peringkat negeri dan kebangsaan.
Ruangan ini terbuka kepada para penulis mapan dan penulis muda yang telah berjaya membuktikan mutu karya mereka.
Ruangan Wadah Bahasa dan Sastera pula merupakan ruangan untuk membimbing para penulis baharu dan muda dalam genre puisi dan cerpen. Karya mereka akan disiarkan tanpa suntingan.
Karya-karya penulis Sarawak banyak disiarkan dalam akhbar tempatan seperti The Borneo Bulletin, The Borneo Post, Cermin Rakyat, Utusan Sarawak, Utusan Borneo dan Suara Sarawak. Karya mereka juga berjaya dan sering disiarkan dalam akhbar dan majalah perdana seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Pelita Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Tunas Cipta dan lain-lain lagi.
Ramai juga dalam kalangan penulis Sarawak yang telah memiliki buku mereka sendiri terbitan DBP, Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM, Nusa Centre, Pustaka Putera Kenyalang dan lain-lain lagi sebagai lambang kejayaan dan kepuasan seorang penulis.
Hasil kegiatan menulis, menyiarkan karya dan menerbitkan buku, mereka menerima pelbagai anugerah dan sastera pada peringkat negeri dan kebangsaan. Dua orang penulis Sarawak juga menerima anugerah peringkat serantau iaitu Anugerah SEA Write Award.
Penulis-penulis Sarawak turut menjadi watak penting dan menonjol dalam mencorakkan gaya penulisan peringkat kebangsaan. Antaranya ialah Jong Chian Lai, Roslan Jomel, Abang Median Abang Said, Jaya Ramba, Basri Abidillah, Dahiri Saini, Frankie Latit, Lokman Hakim dan Cayton Robert.
Penerbit tempatan yang turut menerbitkan buku-buku penulis Sarawak ialah Pustaka Putera Kenyalang, PUTERA, Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Pustaka Negeri Sarawak, Penerbitan Romansa dan lain-lain lagi.
PUTERA sebagai contoh pernah menerbitkan dua majalah sastera iaitu Sukses (1981) dan Suarasa PUTERA (1991).
Buku-buku yang pernah diterbitkan pula adalah Puisi-puisi PUTERA (Antologi Puisi,1980), Dongeng Kembara (Antologi Puisi, 1990), Suara Merdeka (Kumpulan Puisi, Jeli Bohari Biha, 2000), Mengenal Yang Asal (Kumpulan
Puisi, Abizai, 2000), Alak Betatar (Kumpulan Puisi, Poul Nanggang, 2000), Menara Budi (Kumpulan Puisi, William Chan) dan Penangkap Rama-rama dan Kelawar (Antologi Puisi dan Cerpen, 2004).Karya karya lain antaranya termasuklah Warna Sebenar Tak Dapat disukat (Kumpulan Puisi, Basri Abdillah, 2021), Wayang Sang Petualang (Antologi Puisi, 2021), Delusi Cotard di Daerah Susastera (Antologi Cerpen, 2021), Peluru Guru (Kumpulan Puisi,
Juni Jon Ajinoor, 2023) dan Berguru dengan Van Goch (Kumpulan Puisi, Abang Median Abang Said, 2023). – UTUSAN