Ayah kebal, asal halal

Ayah kebal, asal halal

ZULKIFLI Hassan (kanan) menerima Resolusi Konvensyen Dakwah dan Tarbiah Kelantan 2024 di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suasana dingin pada pagi ini terasa amat menghibakan. Ibu datang merapatiku seusai menyidai set telekung dan sejadah di ampaian besi yang berada di sebelah almari pakaian, sejurus menyempurnakan solat Subuh. Dalam sebak menahan tangisan, dahiku dikucup hangat.

Tangan kasar ibu yang sehari-harian memasak kuih muih untuk dijual di pasar pagi, pasar raya dan pasar malam, terasa bagai sutera carik yang membelai rambutku berkali-kali, sebelum dia duduk di sisiku dengan perlahan.

Mungkin dia gusar aku akan terjaga sekiranya dia menghempaskan punggung di katil kerana melihat aku masih menutup mata. Sedangkan aku sudah lama terjaga. Sengaja aku menetapkan badan di pembaringan kerana tidak mahu mengganggu solat ibu.

“Perkara apa yang abang hendak bincang dengan Mah, bang?” Tiba-tiba ibu bersuara selepas aku menangkap bunyi pintu bilik tidur ditutup. Bunyi derap kaki ayah mendekati kami, dapat ku dengari dengan jelas.

“Petang ini, kita kena ke mahkamah untuk kes Along tu. Mah macam mana?” Soal ayah sambil duduk di sebelah ibu.

“Ya, bang. Mah tahu tentang itu. Mah sudah bersedia. Ini ujian Allah buat kita. Itu sahaja Mah boleh kata. Kita ini, ibu bapa yang gagal ke bang?” Ibu melontarkan kerisauan.

“Abang pun tak tahu, Mah. Mungkin kita kena bersedia berhadapan dengan soalan-soalan peguam nanti. Abang tak faham, kita hendak mendidik anak dikata mendera. Mereka tidak tahu hal sebenar,” ayah kedengaran sayu.

Tiada suara yang kudengar. Keluhan yang dilepaskan ayah dan ibu serentak memberikan gambaran bahawa dakwaan Along yang mereka mendera adalah amat menghiris jiwa-jiwa tua itu. Tidak aku nafikan Along sudah melangkah ke alam remaja, dan kemahuannya melebihi rasional minda. Cuma, keterlaluan mengikut nafsu dan ikutan rakan sebaya, sering mencetus suasana keruh di rumah ini.

Beberapa hari lalu, ketika aku sedang bermain dengan lori buatan plastik dan beberapa ekor dinosaur mainan di ruang tamu rumah, Along hadir dan menghempaskan diri ke sofa lusuh yang terletak berhampiran denganku.

Dia mendengus marah sambil menekup muka dengan dua telapak tangan. Ayah yang mengekorinya daripada belakang, kelihatan sedikit marah. Kelihatan penyangkut baju besi digenggam erat oleh ayah.
“Along! Ayah tidak ajar Along buat semua itu! Ayah hantar ke sekolah untuk belajar, bukan melepak dan hisap rokok di longkang sekolah. Bukan supaya kamu boleh ponteng sekolah keluar berpoya-poya dengan anak dara orang. Kamu nak kena pula ke?!” Ayah menyoal dalam nada tinggi.

Aku yang terpinga-pinga, terus menatap mereka dengan pandangan keliru. Tanpa kusedar, ibu sudah mendapatkanku dan terus mendukungku tanpa sempat aku melepaskan dinosaur yang masih di dalam genggaman.

“Ish, Along bosan, ayah! Cikgu kat sekolah membosankan! Asyik ujian, kuiz dan nota. Bosanlah! Sebab itu, Along ponteng. Along hendak bebas, dan tak mahu pergi sekolah dah!” Bentak Along dalam nada kurang sopan.

“Ayah kata pergi sekolah, pergilah sekolah! Bina masa depan kamu. Kami bersusah payah cari duit untuk kamu, tidak mengapa. Along kan tahu, ibu sanggup jual kuih, ayah ini pemandu lori…”

“Ya! Itu yang Along tahu, dan itu yang Along malu! Malu! Ayah pemandu lori! Kenapa ayah pandu lori?! Kenapa Along anak pemandu lori?! Ayah tiada kerja lebih elok ke daripada memandu lori?! Along malu ayah!” Pintas Along dengan nada kuat yang bagaikan kerasukan syaitan.

Bagai halilintar di dada langit yang gelap, penyangkut besi menyambar tubuh Along dalam sekelip mata. Terketar-ketar tangan ayah selepas memukul Along, anak lelaki sulungnya yang sudah berusia 13 tahun itu. Mata ayah kelihatan berkaca menatap anak mata Along yang membulat terkejut menerima pukulan yang menyakitkan.

“Selama ini, ayah kebalkan diri daripada mulut-mulut yang mengeji dan mencaci ayah sebagai pemandu lori. Ayah kebal kerana ia halal untuk ayah suap mulut-mulut kamu dengan makanan. Tetapi hari ni, kamu guna mulut kamu tu untuk runtuhkan kekebalan ayah,” lafaz ayah dalam nada hiba dan berpaling meninggalkan Along yang sedang mengusap badan yang masih sakit.

Insiden tiga hari lepas yang tidak disangka-sangka itu telah menyebabkan Along melaporkan perbuatan ayah kepada guru kelasnya. Selepas menunjukkan beberapa kesan lebam di badan, dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan. Sudah tentu pihak hospital menemui bukti pukulan di badan Along kerana ayah dan ibu memang pernah memukulnya, dengan niat mendidik kebiadaban Along.

Along adalah seorang remaja yang agak liar dan suka menipu. Dia pernah mencuri di kedai runcit dan akibatnya, ayah dipaksa membayar semua harga barang yang dicuri selepas tauke kedai mengugut akan membawa kes tersebut kepada polis melalui bukti di kamera litar tertutup kedainya. Along juga pernah dibawa balik oleh orang kampung dengan tangan berikat kerana dikatakan cuba mengganggu seorang anak gadis yang baru pulang dari kerja, berseorangan. Masakan ayah mampu bersabar?

Aku sendiri menjadi saksi Along menerima sebatan tali pinggang dan pukulan penyangkut baju besi beberapa kali oleh ayah, dengan niat mahu menyedarkan Along. Ayah takut Along akan berkesudahan menjadi seorang penjenayah dan masa mudanya akan dihabiskan di dalam penjara. Ayah juga tidak mahu Along menghampakan keluarga lagi pada masa hadapan.

Mungkin ayah beranggapan, sekiranya Along dipukul, dia akan mengubah sikapnya itu. Tetapi, umpama mencurah air ke atas daun keladi. Along masih tidak berubah sikap.

Along sering merendah-rendahkan ayah yang bekerja sebagai pemandu lori. Namun, ayah sering menyatakan dia tidak pernah rasa menyesal kerana berhenti kerja sebagai seorang pegawai dari sebuah syarikat yang korup.

Dia lebih rela dihina membuat kerja halal daripada dipuji membuat kerja haram, demi sesuap nasi buat makan isteri dan anak-anak.

Sepatutnya, Along menghargai pengorbanan ayah dan ibu, serta mengagumi kejujuran dan keazaman ayah untuk mencari yang halal.

Ibu menenangkan ayah dengan kata-kata lembut untuk menguatkan kembali semangat ayah. Mereka berdua akan dihadapkan ke mahkamah pada petang nanti di atas tuduhan mengabaikan dan memukul Along dengan penyangkut baju dan tali pinggang. Aku yang masih berpura-pura tidur, dapat mendengar bunyi esakan tangis ayah yang sedih diperlakukan begitu oleh anak sulung, harapan keluarga.

Petang itu, aku ditinggalkan di rumah Mak Munah, jiran sebelah rumah bersama-sama Angah. Kami asyik bermain apabila tiba-tiba terdengar suara Mak Munah beristighfar kuat. Dia dan suaminya yang sedang duduk di hadapan televisyen, kelihatan sangat marah dan kecewa.

“Dasar anak tak kenang budi! Si Rosli dan Salmah tu besarkan kamu macam menatang minyak yang penuh. Tapi kamu buat mereka masuk mahkamah. Kamu lapor dia pukul kamu, tetapi perangai kamu tu sendiri mengalahkan iblis! Hai Along, Along! Apa yang kamu dapat dengan buat ayah dan ibu kamu tu kena bayar denda sampai RM10,000.00!” Bebel Mak Munah.

“Astaghfirullahal’azim. Rosli. Salmah. Kasihan aku tengok kamu. Jual kuih pagi petang siang malam. Bawa lori berhari-hari untuk bayar yuran sekolah anak. Beli baju seragam sekolah anak. Besarkan anak-anak, tetapi ini balasan Along kepada kamu berdua. Apa sudah jadi dengan dunia?” Keluh Pak Manan, suami Mak Munah.

Aku dan Angah terpinga-pinga memandang satu sama lain. Rupa-rupanya, terpampang di skrin televisyen kelibat ibu dan ayah yang sedang bergari, keluar dari mahkamah dengan diiringi oleh beberapa orang pegawai polis. Di bawahnya tertera ayat dengan huruf besar, ‘DENDA RM10,000 MEMUKUL ANAK SENDIRI’.

“Itu ayah! Itu Ibu!” jerit Angah, yang berusia tujuh tahun di sisiku apabila melihat kelibat mereka. Kami masing-masing masih terlalu muda untuk memahami situasi sekeliling yang sangat meruntun jiwa itu.

Selepas hari itu, aku menjadi pemerhati utama yang melihat perit jerih ayah dan ibu, ke sana ke sini mencari sumber untuk berhutang bagi membayar denda yang dijatuhkan oleh mahkamah.

Oleh kerana mereka mengaku salah kerana mengabaikan dan memukul Along menggunakan penyangkut baju besi dan tali pinggang, maka mereka dijatuhkan hukuman RM5,000.00 setiap seorang atau boleh berhadapan dengan hukuman penjara jika gagal dibayar dalam tempoh yang ditetapkan. Mujurlah, akhirnya denda tersebut berjaya dibayar oleh ayah dan ibu dengan berhutang keliling pinggang. Selepas beberapa bulan kes itu berlalu, ayah akhirnya jatuh sakit kerana terlampau letih bekerja mengumpul duit untuk membayar hutang.

Masih jelas diingatan, aku dan Angah ditinggalkan sebentar di rumah Mak Munah ketika ayah sibuk memandu lori ke seluruh Semenanjung Malaysia dan ibu berlari mundar-mandir untuk menghantar kuih-muih bagi membayar hutang yang masih banyak berbaki. Ketika tidak memandu lori, ayah mengambil upah mengecat rumah atau memotong rumput untuk membantu ibu.

Tetapi walau dalam kesibukan itu, kebajikan aku dan Angah tidak pernah diabaikan. Sungguhpun kepenatan, ayah bermain dinasour mainan denganku.

Angah pula sering meminta ibu mengajarnya membuat kerja sekolah pada setiap malam. Walaupun ayah dan ibu masih menjaga Along seperti biasa, tetapi ternyata Along tidak pernah sekali pun datang memohon keampunan daripada mereka. Aku dapat melihat kedinginan Along kepada ayah dan ibu. Malah, Along sering keluar rumah dan menyendiri di dalam bilik selepas pulang dari melepak. Sedikit pun tidak membantu ayah dan ibu melunaskan hutang yang terpaksa ditanggung gara-gara dakwaan dangkal Along.

Jasad ayah yang terkujur lesu di pembaringan kini, mencetus rasa sedih di hatiku. Jiran-jiran terdekat sudah duduk melingkungi jasad ayah yang nazak, dengan bacaan surah Yaasin. Ibu, yang kelihatan kurus dan cengkung kerana keletihan dan kesedihan, tidak berhenti-henti menangis dan mengajar ayah mengucap. Sedangkan lidah ayah hanya menyebut, “Along! Along!”

Mak Munah dan Pak Manan sudah mengarahkan anak-anak jiran untuk pergi mencari Along kerana sejak pagi tadi sehingga kini, kelibat Along masih belum ada. Selepas beberapa jam menunggu, akhirnya ayah menghembuskan nafas terakhir dengan titis air mata kecewa.

Aku yang tidak mengerti apa-apa, akhirnya turut sama menangis apabila menyedari bahawa pelukan ibu yang memangku aku di sisi jasad ayah sejak tadi, longlai bersama-sama hela nafas akhir ibu akibat terkejut dengan pemergian ayah. Ayah dan ibu pergi dijemput Ilahi dalam kekecewaan diperlaku tanpa kasih oleh insan bergelar anak.

Kini, hidup Along, Angah dan aku, yatim piatu. Mak Munah dan Pak Manan menawarkan diri untuk menjaga kami sehingga Along berusia lapan belas tahun.

Dan aku mula melihat kafarah perbuatan Along kepada ayah dan ibu dahulu. Di dalam usia yang muda, Along terpaksa bekerja keras sendirian seperti memotong rumput, mengecat rumah dan menjual kuih muih yang dibuat oleh Mak Munah, untuk membayar hutang ayah dan ibu daripada pemiutang dahulu kerana membayar denda mahkamah sebanyak RM10,000.00.

Selepas cukup usia lapan belas tahun, Along mengambil lesen membawa lori sebagai punca pendapatan kerana dia tidak mempunyai sebarang sijil persekolahan yang melayakkannya menjadi pekerja kolar putih akibat tidak ke sekolah. Along juga adalah pemandu lori, seperti arwah ayah. Perbuatan Along tak ubah seperti meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka sendiri. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya