Ria Raya

Ria Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keringat di dahi Pak Abu disedut deras oleh terik matahari tanpa belas kasihan terhadap kulit tua yang berusia 70 tahun itu. Rambutnya yang memutih sudah mula menipis di bahagian tengah kepalanya. Matanya yang sudah mula diselaputi katarak melihat dunia di dalam warna-warna yang kabur. Tetapi hidup ini mesti diteruskan.

Setiap kali menjelang raya, beginilah sibuknya Pak Abu. Motosikal yang dicuri Atan (masih meringkuk di dalam penjara) masih boleh digunakan. Bukan Pak Abu ingin bersubahat mengambil hak orang lain. Dia tahu dosa itu apa. Tetapi keluarganya terlalu miskin. Hidup di hujung kampung yang terpinggir. Masih belum merasa sinar eletrik di malam yang gelita. Ustazah Azizah seorang aktivis menjanjikannya untuk membaiki teratak usangnya.

Membina rumah baharu dan memasang tenaga suria untuk bekalan elektrik. Dia masih menunggu.

Pak Abu menyapu keringat di dahi dengan tuala kecil Good Morning di bahunya. Tuala itu pun sudah lusuh benar dan berbau hapak.Tahun ini dia nekad ingin mencari ria raya walaupun Atan masih di penjara, isterinya Mak

Mah masih terlantar menderita tulang rapuh dan tidak bisa bangun membantunya menjual lemang di tepi jalan seperti Ramadan yang sudah-sudah.

Tahun ini agak mencabar. Ekonomi seperti tidak pulih-pulih selepas Covid. Orang begitu takut berbelanja. Sama ada takutkan jangkitan Covid atau memang ingin berjimat cermat kerana ramai yang telah kehilangan pekerjaan.

Pak Abu bukan orang bijak-bijak. Pergi ke sekolah pun tidak tetapi dia yakin kerja sentiasa ada. Apa juga keadaan ekonomi negara, kena rajin. Dan ada daya imaginasi tinggi untuk mencari sesuatu yang baru yang orang lain minat hendak beli.

Setiap Ramadan dia berniaga lemang. Bukan setakat berjual lemang sudah masak tetapi dia juga berjual buluh lemang yang kadang kala sama mahal dengan lemang yang sudah dimasak (jika dijual kepada pembeli dari kota). Dari harga RM2 sebatang, Pak Abu menjual RM5 sebatang buluh lemang kepada pembeli dari kota. Lemang dah siap, Pak Abu menjualnya antara RM5 hingga ke RM12 sebatang. Rendang harganya lain. Maklum harga lembu dan ayam juga telah meningkat.

Dia pernah mendengar perbualan anak-anak universiti di kampung tentang food crisis dan food security.Dia tak faham apa ke jadah benda itu semua. Baginya yang penting dia ada wang yang cukup untuk makan dan membeli ubat-ubat untuk isterinya, Mak Mah.

Anak-anak muda ini juga bercakap tentang membanteras korupsi dan mempunyai integriti yang tinggi untuk maju dan bertamadun.

Sekali lagi Pak Abu tidak faham sebab selepas sekian lama merdeka dan orang kaya bertenaga suria di sana sini, dapurnya masih menggunakan kayu getah untuk berasap. Malamnya masih diterangi bulan dan bintang. Atau pelita yang kadang-kadang hidup. Kadang-kadang tidak. Minyak gas pun sukar dibeli sekarang.Tetapi sesuatu yang dia masih bersyukur adalah dia mempunyai telefon bimbit Atan. Yang juga dicuri Atan sebelum dia ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Di sinilah dia berhubung dengan Ustazah Azizah yang sedang mengusahakan untuk membaiki rumah dan membekalkannya tenaga suria untuk menyinari malamnya.

Dia masih menunggu. Tetapi dia mempercayai Ustazah Azizah sebab saban Ramadan dialah yang menyedekahkan berkampit-kampit beras pulut dari negara jiran untuk jualan lemangnya.

Tanpa bantuan Ustazah Azizah, tidak mungkin Pak Abu boleh bertahan menjual lemang sepanjang Ramadan dan selepas Ramadan dan tahun ini dia nekad mencari ria Raya iaitu mencari tambang yang cukup untuk menziarahi Atan di penjara. Sudah tiga tahun Atan di dalam. Entah sihat atau tidak. Entah berubah, entah tidak. Entah insaf, entah tidak, Bagaimanapun,kau tetap anak aku, Atan, bisik hati Pak Abu.

“Assalamualaikum Pak Abu, Mak Mah,” suara lembut Ustazah Azizah kedengaran di luar pintu teratak using mereka. Ustazah Azizah yang bertubuh kurus, sederhana tinggi, berkaca mata ialah seorang guru agama di sekolah di kampung mereka.

Dia yang berasal dari Pantai Timur juga mempunyai pasar mini yang membekalkan barang-barang runcit di kampung itu. Hasil daripada jualan pasar mini ini dan kutipan wang orang ramailah digunakan Ustazah Azizah untuk membantu orang miskin di kampung itu.

Kampung Batu Tiga itu rata-ratanya diduduki oleh orang Melayu dan hanya ada satu dua keluarga Cina dan India yang tinggal bersama. Mereka pun begitu fasih berbahasa Melayu kerana bergaul sesama orang Melayu.

Mak Mah menjawab salam Ustazah Azizah dengan suara nyaring. Yang patah hanya tulangnya tetapi suaranya tetap nyaring dan semangatnya masih kental. Mak Mah yang berusia lewat 60-an itu bingkas bangun dari baringnya, membetulkan ikatan kain batiknya dan mengengsot perlahan-lahan arah ke pintu. Dia mencapai tudung using dan mengikatnya di kepala.

Ustazah Azizah membawa banyak barang makanan di samping bahan-bahan untuk perniagaan lemang dan rendang mereka. Dia bersalaman dengan Mak Mah,

“ Pak Abu ke mana Mak Mah? Dah lama saya tidak berjumpa dengan dia,” lembut bicara Ustazah Azizah berwajah bersih ini. Tudungnya sentiasa labuh menutupi pinggangnya.Dia membetulkan kaca matanya yang sedikit terjatuh kerana memegang terlalu banyak barang dapur untuk pasangan wargamas itu.

“Entah. Dari pagi tadi keluar mencari buluh lemang. Ada tempahan orang kota sebanyak 400 batang katanya,” Mak Mah bangga suaminya kuat bekerja. Tidak seperti anak-anak muda sekarang.

“Banyak tu, Mak Mah. Kalau sebatang buluh berharga RM5, dah RM2,000 dah tu,” Ustazah Azizah tumpang bangga dengan rezeki Pak Abu. Jika Sahaja anak-anak muda kampung mempunyai semangat bekerja seperti Pak Abu ini, bisik hati Ustazah Azizah.

“Peraihnya Zaheed dari Bangladesh. Zaheed ini rajin bekerja dan dia bayar tunai kepada Pak Abu. Itu yang Pak Abu seronok. Kalau orang kita, berhutang, bayar separuh dahulu. Jadi, Pak Abu lebih suka berniaga dengan

Zaheed atau Ali dari Sumatera. Mereka ini serius berniaga,” Mak Mah bercerita panjang tentang rakan-rakan niaga baru Pak Abu.

“Memang betul, Mak Mah. Lemang di kota pun banyak dikuasai oleh mereka,” tambah Ustazah Azizah.

“Bumi Allah ini luas. Siapa yang rajin, jujur, dialah yang untung. Kita jangan dengki mendengki,” hujah Mak Mah sambil membetulkan kedudukan letak kakinya.

“Masalahnya kita dengki. Orang berusaha, berjaya, kita sakit hati. Cuba kita sama-sama berusaha. Peluang sangat banyak. Negara ini kaya,” Ustazah Azizah meneruskan perbualan.

“Pak Abu bekerja lebih keras daripada biasa untuk mencari tambang melawat Atan di penjara. Ria rayanya tahun ini, kata Pak Abu.Dah tiga tahun kami tidak berjumpa Atan.

“Pak Abu terlalu rindu. Terik siang tidak diendahkannya. Akan dia redah sungai dan hutan mencari rezeki. Kadang-kadang Mak Mah pun risau keselamatannya. Dia bukan muda lagi. Hutan itu masih banyak binatang liar. Harimau, ular dan babi hutan.Telefon bimbit yang kamu belikan kad itu hanya boleh dipakai bila Pak Abu keluar ke pekan,” Mak Mah meluahkan kerisauan hatinya tentang keselamatan suaminya.

“Insya-Allah dia akan selamat, Mak Mah. Saya ada berita baik untuk Mak Mah dan Pak Abu. Persatuan kami berjaya mengumpulkan dana untuk membuat rumah yang lebih selesa untuk Mah Mah suami isteri. Kami juga akan pasangkan tenaga suria untuk rumah ini agar Mak Mah dan Pak Abu ada bekalan lampu sekali,” kata Ustazah Azizah.

Tergamam Mak Mah mendengar berita ini. Cepat-cepat dia menadah tangannya ke langit dan mengucapkan Syukur ke hadrat Allah Taala. Sesungguhnya manusia yang ikhlas itu membantu tanpa memikirkan balasan.

Undi. Populariti. Pujian. Semua ini tiada di dalam fikiran Ustazah Azizah. Dia buat kerana dia percaya kekayaan individu itu harus dikongsi dengan mereka yang memerlukan. Kebahagiaan hakiki adalah apabila kita meringankan penderitaan mereka yang memerlukan. Ini fitrah. Tetapi bagi mereka yang angkuh dan kering hatinya, tiada empati atau belas kasihan melihat kesusahan orang lain.

“Tetapi ada juga yang mengambil kesempatan di atas belas kasihan orang lain,” pelajarnya Tini pernah berdiskusi dengan Ustazah Azizah di dalam kelas usrah mereka.

“Mereka tidak mahu berusaha. Suka meminta-minta daripada berikhtiar mencari lubang-lubang rezeki di bumi Allah yang luas ini.

“Yang saya pelik lelaki meminta wang dengan Perempuan. Suami dari isteri. Kita tahu hukumnya salah, kan Ustazah?” petah Tini berbicara. Dia melihat ini di dalam keluarganya. Yang bekerja bertungkus lumus ialah si isteri. Si suami hanya pandai menghabiskan wang isterinya. Lepas itu, gila mahu kahwin lain.

Tini takut untuk dewasa dan berkawin. Pemandangannya tidak indah langsung.

“Itu yang penting kita memilih pasangan kita dengan teliti, Tini. Jangan main redah. Kenal betul calon itu, keluarganya, sahabat-sahabatnya,” nasihat Ustazah Azizah.

“Dan kita sendiri sebagai wanita kena faham agama kita dan hak-hak kita sebagai wanita Islam.J angan dok bersandarkan ceramah-ceramah ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah di luar sana. Kuasai ilmu Islam itu sendiri. Faham Quran dan hadis.” Ustazah Azizah mula melipat telekong dan kain sejadahnya dan perlahan-lahan memasukkanya ke dalam beg berbunga-bunga merah yang dihadiahkan oleh salah seorang ahli usrahnya.

“Bila tukang rumah tu datang nak mulakan kerja mereka, Ustazah?” Mak Mah membawa Ustazah Azizah kembali ke teratak uzur itu. Diskusi Tini ditelan angin terik petang itu.

“Insya-Allah lepas raya, Kak Mah. Sekarang kebanyakan tukang dah balik bercuti ke kampung di Indonesia,” Ustazah memicit betis Mak Mah.

“Iyalah. Jika Atan keluar nanti, ada dah bilik cantik dan berlampu untuk dia,” Mak Mah senyum penuh harapan.

Tiba-tiba dari jauh mereka nampak sebuah kereta polis menuju arah teratak using itu. Mak Mah menjengokkan lehernya. Cemas. Ustazah Azizah bingkas bangun dan berdiri menunggu pegawai polis itu turun dari kereta.

Juga tertanya-tanya mengapa mereka di situ.

“Ini rumah Pak Abu?”

“Iya, betul. Mengapa Tuan?”

“Pak Abu dilanggar lori semasa memunggah batang-batang buluh lemang untuk dijual. Keadaannya parah. Kami ingin memaklumkan kepada warisnya.”

Ustazah Azizah berpaling ke arah Mak Mah. Mak Mah sudah terbaring. Pengsan terkejut.

################
Pak Abu selamat dikebumikan di perkuburan kampung tidak jauh dari teratak usangnya. Ria Rayanya terkubur bersama. Mungkin dia akan berjumpa Atan di alam seberang sana. Mak Mah tinggal bersama Ustazah Azizah

sehingga pihak berwajib membantunya mendapatkan penempatan yang lebih selamat.

Nasib warga tua tiada yang terancang. Yang pasti mereka akan tua dan mati. Mungkin sendirian.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya