Bunga harapan

Bunga harapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAK Hamid kelelahan memikirkan keinginan anak bongsunya itu. Beria-ia benar mahu mewarisi pekerjaannya. Silap diakah? Dahulu dia juga yang bersungguh-sungguh mengajar anak daranya itu menukang wau.

Bahkan sejak Idayu belum bersekolah lagi, ke hulu, ke hilir, membuntuti ayahnya mencari bahan membuat wau. Bengkel kecil yang berdindingkan buluh di sebelah rumahnya itu, dibina oleh Pak Hamid sendiri. Cukup sekadar memenuhi syarat untuknya fokus di ruangan kerja.

“Ayah tak setuju!” Bantah Pak Hamid.

Dia agak terkejut berbaur bimbang tatkala anak kesayangannya itu menyatakan keinginan untuk menceburi bidang pembuatan wau. Sekali gus, menyambung tradisi pekerjaannya selama empat dekad.

“Ayu dah lama bersama ayah. Ya, ayah akui bakat dan kemahiran Ayu sangat bagus dan menyerlah. Tapi…”
“Tapi apa, ayah?” Soal Idayu, memangkas.

Keputusan itu diambil bukan sembarangan. Sudah lama dia menimbang tara. Sejak kecil, dia begitu mengagumi seni warisan wau Kelantan yang begitu unik dan halus buatannya.

Tidak keterlaluan dikatakan, cinta terhadap seni pembuatan wau telah subur dan sebati dalam dirinya. Asbab itu jugalah, dia memilih bidang ini sebagai kerjaya. Fikirnya, melakukan dengan rasa cinta, pasti hasilnya lebih bagus dan cemerlang.

Gadis berkelulusan Sarjana Muda Perniagaan itu telah menamatkan pengajiannya dua bulan lalu.

Dua orang abang dan kakaknya yang masing-masing berkelulusan universiti, telah pun bekerja dan menetap di ibu kota. Idayu tahu, ayahnya mengharapkan dia mengikut jejak mereka.

Pak Hamid menghela nafas panjang. Bukan dia tidak gembira Ayu mahu mewarisi pekerjaannya. Seharusnya dia menyambut baik hasrat anak gadisnya itu.

“Masa depan Ayu, bagaimana?” Tanya Pak Hamid. Itu yang menjadi keresahannya.

Lebih empat dekad, dia begitu memahami selok-belok dunia pembuatan wau. Pendapatan tidak menentu, meski harga jualannya kini meningkat. Dia bimbang, sejauh mana gadis itu mampu bertahan dilambung gelombang.

Idayu menyentuh tangan Pak Hamid, mengelusnya lembut. “Ayah jangan risau. Bukan baru setahun dua ayah kenal Ayu,” pujuk Idayu cuba meyakinkan.

“Bukankah Ayu anak ayah yang paling degil? Paling jarang menitiskan air mata, biarpun luka bermandi darah. Ayah tahu, Ayu kuat. Ayah juga tahu, setiap apa yang Ayu lakukan, pasti bersebab.”
Jeda. Idayu melontar pandang ke pohon pauh yang elok lebat berbuah. Gugusan buah bersaiz penumbuk lelaki dewasa itu berjuntaian di ranting-ranting, begitu menggiurkan sesiapa yang lalu lalang di situ. Setiap kali itulah, hasilnya dibahagi-bahagi bersama jiran tetangga.

“Ayu mengambil jurusan perniagaan kerana Ayu sudah merancang dengan teliti masa depan Ayu.”

Dia pernah berselisih pendapat dengan Pak Hamid yang lebih cenderung menasihatinya menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan.

“Habis belajar nanti Ayu boleh menjadi guru, melahirkan anak bangsa yang celik ilmu. Jika tidak, jadilah pensyarah seperti Kak Lina, juga menyumbang ilmu, menjadi jariah pahala yang mengalir tanpa henti.”

Bukan membangkang, tetapi Idayu lebih cenderung menyusun masa depannya dalam bidang perniagaan. Dia mahu berbakti mempertingkat ekonomi ummah, menyediakan peluang pekerjaan untuk masyarakat. Dia yakin, perjuangan ini juga menawarkan pahala yang besar.

“Abang dah mandikah?” Tanya Mak Wan. Dia hairan melihat suaminya masih bersandar di pangkin dengan tuala mandi berlingkar di lehernya. Wajah tua itu tampak sugul.

Ada dia mendengar keluhan Pak Hamid mengenai hasrat yang disuarakan oleh Idayu. Mak Wan tidak membantah. Baik pada Idayu, baiklah kepadanya. Dia sentiasa akan menjadi pendukung paling kuat di belakang anak-anak.

Begitu juga keputusan anak-anak yang lain sewaktu ingin berhijrah ke kota, tidak seorang pun yang dilarang. Anak-anak sudah besar, pandailah mereka mengatur kehidupan, fikir Mak Wan.

“Awak tahu apa? Dunia awak di dapur tu saja!” Sanggah Pak Hamid.

Malas Mak Wan mengambil hati dengan kata-kata suaminya tempoh hari. Tawar asin perangainya sudah puas dijamah. Jika diikutkan rajuk, panjang pula jadinya.

Dua minggu itu Idayu membuat kerjanya sendiri, tidak mengasak ayahnya memberikan keizinan. Dia sibuk menyiapkan kertas kerja dan mengumpulkan maklumat penting berkaitan kerjaya yang bakal diceburinya.

Sengaja dia membiarkan Pak Hamid bertenang. Panas api biarlah disejukkan dengan air, begitu fikirnya. Perlahan-lahan nanti dia akan memujuk kembali lelaki yang menjadi idolanya itu. Dia turut melakukan solat istikharah meminta petunjuk dan juga solat hajat agar urusannya dipermudahkan oleh Tuhan.

Pagi itu dia mempunyai temu janji bersama Encik Yatim. Beberapa dokumen dan kertas kerja dirapikan ke dalam beg bimbitnya.

“Ayah, Ayu pinjam kereta ya?” Pinta Idayu sewaktu mereka bersarapan bersama.

Pak Hamid mengerutkan dahi. “Nak ke mana?”

“Ayu nak ke Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.”

“Ada urusan apa di situ?” Soal Pak Hamid lagi.

“Nak cari jodoh, ayah,” jawab Idayu berseloroh.

Mak Wan membeliakkan matanya sementara Pak Hamid tersedak air kopi yang baru dihirupnya.

Idayu tergelak. “Maaf, mak, ayah. Ayu ada pertemuan dengan pegawai di situ. Boleh ya, ayah?”

Viva berwarna hijau pucuk pisang itu membelah jalan raya menyusuri jalan bandar yang agak sibuk. Adakala terpaksa beratur panjang untuk melepasi lampu isyarat. Bagi yang kurang sabar, hon kenderaan sekejap-sekejap berdecit atau lantang berlagu panjang.

Encik Yatim mendepang tangan menyambut kedatangannya dan Encik Rizqi, wakil dari Amazon Malaysia. Lancar Idayu membentangkan kertas kerja yang telah disusun rapi. Pengalaman semasa belajar banyak membantunya membina keyakinan dan keterampilan diri.

“Boleh Cik Idayu terangkan jenis-jenis wau yang terlibat dalam kerjasama ini? Kalau ada gambarnya lebih bagus kerana jujurnya saya tidak mempunyai pengetahuan luas tentang wau,” tanya Encik Rizqi menunjukkan minat.

“Saya fokus kepada lima jenis wau. Ini gambar-gambar wau yang saya hasilkan sendiri,” jelas Idayu seraya memaparkan bahan-bahannya.

“Ini Wau Bulan, yang paling popular dan dikenali ramai serta mendapat pengiktirafan sebagai wau kebangsaan. Selepas pengiktirafan tersebut, Kelantan telah memperkenalkan Wau Puyuh pula sebagai wau negeri.”

“Ya, Wau Bulan ini memang saya biasa lihat tercetak di mata wang kita. Wau Puyuh pula, pertama kali saya lihat,” sampuk Encik Rizqi.

“Wau Bulan ini dikatakan berasal dari zaman kerajaan Srivijaya. Bahagian dada wau ini melambangkan ‘Nusaratang’ iaitu merangkumi Semenanjung Indonesia, Thailand dan Burma,” terang Idayu.

“Bahagian pinggang pula melambangkan ‘Nusakancana’ iaitu Tanah Melayu. Sementara bahagian bawah wau melambangkan ‘Nusantara’ iaitu seluruh kawasan Indonesia, Sabah, Sarawak dan Filipina. Ia juga dianggap sebagai lambang penyatuan,” tambahnya.

Idayu kemudian menerangkan tentang motif bunga dan awan larat yang disobek menghiasi wau bulan yang membawa maksud penyebaran syiar Islam oleh Dewa Muda.
“Ini pula Wau Kekek dan Wau Jala Budi. Terakhir adalah Wau Kebayak.” Idayu meneruskan penjelasan lanjut berkaitan wau yang diperkenalkan.
“Saya tertarik dengan produk wau ini. Buat pengetahuan Cik Idayu, saya merupakan wakil daripada Amazon Malaysia yang turut bekerjasama dengan kementerian pelancongan ini untuk memasarkan hasil seni warisan tempatan,” jelas Encik Rizqi.

“Apa pendapat Encik Yatim? Boleh kita bekerjasama?”

“Amat dialu-alukan. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Itu peranan Encik Rizqi untuk bersama-sama memperkenalkan kesenian kita ke peringkat antarabangsa.”

“Saya kagum dengan seni pembuatan wau ini. Satu perkataan yang tepat, unik!” puji Encik Rizqi.

“Saya percaya, warisan berharga ini akan mendapat tempat di pasaran dunia.”

“Ada masa nanti Encik Rizqi boleh sertai kami bermain wau. Tidak lama lagi musim menuai tiba. Angin pada musim itu sangat sesuai untuk bermain wau,” pelawa Idayu.

“Cik Idayu jangan menyesal ya ajak saya. Saya ini agak jakun kalau masuk kampung orang. Habis satu kampung nanti kenal saya,” seloroh Encik Rizqi.

Idayu pulang membawa kemenangan. Encik Yatim, mewakili kementerian pelancongan telah bersetuju untuk bekerjasama mengadakan pameran wau, menjelajah ke seluruh Malaysia.

Bahkan, pameran ini akan mendapat liputan daripada stesen televisyen dan tidak ketinggalan, stesen radio. Pantas Idayu mengatur langkah seterusnya.

Dia akan mendapatkan maklum balas segera daripada Majlis Belia Malaysia berkaitan permohonan bantuan modal menerusi Program Inisiatif Belia Negara yang dipohon dua minggu lalu.

Idayu yakin, surat sokongan yang diberikan Encik Yatim pasti dapat membantu menyegerakan proses tersebut.

Menjelang musim menuai. Encik Rizqi benar-benar mengotakan janjinya. Pak Hamid dan Mak Wan begitu berbesar hati menyambutnya sebagai tetamu.

Dia dibawa bermain wau di kawasan lapang berhampiran bendang. Encik Rizqi memilih Wau Puyuh bersaiz enam kaki dengan ukiran flora yang berwarna-warni. Wau itu adalah air tangan Idayu sendiri.

“Cantik dan halus sungguh ukirannya,” puji Encik Rizqi.

Corak di bahagian atas memaparkan juluran umbi yang keluar daripada bunga, menjalar menuju pucuk, dihiasi dengan daun yang sedikit bergulung untuk memberi kesan hidup. Tali air pula mengelilingi ukiran sebagai pagar.

Melihat gambar sahaja, ternyata tidak sama dengan memegangnya sendiri. Jemari Encik Rizqi mengelus ukiran yang dibuat dengan kaedah sobek secara berlapis warna itu.

“Hanya mereka yang tekun dan sabar sahaja boleh menyiapkannya,” komen Encik Rizqi. Idayu tersenyum bangga dengan warisan budaya itu.

“Wah, yang itu tampak sangat besar!”

Kelihatan Pak Hussin bersama anak kembarnya Jalal dan Jalil sedang berusaha menaikkan Wau Puyuh bersaiz gergasi ke udara.
“Biasanya begitu ukurannya dalam lima belas kaki,” beritahu Idayu.

“Saya fikir wau yang saya pegang ini sudah cukup besar.”

“Dengar tak bunyi ‘wau’ itu?” soal Pak Hamid.

“Itulah bunyi yang dihasilkan oleh daun ibus yang dipasangkan pada busur apabila ditiup angin. Daripada situ jugalah dikatakan nama wau diberi.” Encik Rizqi mengangguk-angguk.

Sepeninggalannya, Idayu kembali berbincang dengan ayahnya.

“Ayu hendak minta izin ayah. Ayu sungguh-sungguh nak ceburi bidang pembuatan wau ni.”

Idayu memaklumkan tentang perkembangan usahanya mendapatkan kerjasama daripada kementerian pelancongan dan pihak Amazon Malaysia.

Dia juga beroleh khabar gembira bahawa dana perniagaan yang dipohon telah pun diluluskan. Beberapa orang kampung yang dirisik untuk bergabung, turut bersetuju menyumbang kepakaran masing-masing.

“Apa lagi yang boleh ayah katakan, selain bersetuju?” Balas Pak Hamid.

Idayu pantas memeluk ayahnya seraya tidak putus-putus mengucapkan terima kasih.

Ikrarnya, pekerjaan itu akan dilakukan dengan ikhlas dan tekun agar tidak mengecewakan ibu dan ayahnya.

Tambahan pula, dia membawa nama baik ayahnya sebagai tukang pembuat wau.

Tiga puluh ukiran yang telah siap dilukis akan dipatenkan nanti, tekadnya. Idayu akan terus melangkah ke hadapan dengan berkat restu dan doa daripada kedua orang tuanya.

Pak Hamid menyimpul senyum. Berbangga warisan berharga itu akan kekal dinikmati oleh generasi akan datang. Pada Idayu disandarkan bunga-bunga harapan.
‘Kembanglah anakku, mengharumkan Malaysia yang kita cintai!’ –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya